DID LATHEEFA HAVE MAHATHIR’S OK TO RELEASE THE NAJIB RECORDINGS? MALAYSIA KINI JADI NEGARA BISU DAN BAKAL LUMPUH – KP SPRM WAJIB LETAK JAWATAN

Satu kesan paling ketara dan menakutkan berikutan pendedahan sembilan rakaman audio oleh SPRM semalam ialah Malaysia akan menjadi negara yang lumpuh dari segi komunikasi mulai sekarang hingga beberapa bulan akan datang.

Jika nasib tak baik, komunikasi itu akan terus lumpuh selagi Tun Mahathir Mohamad memegang jawatan Perdana Menteri.

Ini berikutan pendedahan rakaman perbualan Najib Razak yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri, antaranya dengan isteri sendiri, Rosmah Mansor, dengan pegawai tinggi kerajaan dan dengan Putera Mahkota UAE, Mohammad bin Zayed Al Nahyan itu dengan sendirinya telah menimbulkan ketakutan kepada semua orang untuk berkomunikasi.

Kebimbangan itu bukan saja kerana kemungkinan perbualan telefon akan dirakam secara curi, bahkan tidak mustahil perbualan secara langsung pun ada alat rakaman dipasang di mana-mana seperti di bawah meja, pada dinding, siling dan sebagainya tanpa diketahui.

Selepas ini, bukan saja pegawai kerajaan jadi takut berhubung melalui telefon atau bercakap dengan sesiapa, malah rakyat biasa juga jadi fobia untuk berkomunikasi sesama sendiri.

Logiknya, kalau Perdana Menteri pun boleh dirakam curi perbualannya, apatah lagi rakyat biasa yang tiada apa-apa keistimewaan.

Pemimpin negara-negara luar pula akan secara automatik menamatkan sebarang komunikasi dan perbualan dengan pemimpin negara kerana bimbang ia juga dirakam secara curi dan didedahkan kepada umum suatu hari nanti.

Akhirnya, berikutan tindakan Latheefa Koya mendedahkan rakaman audio itu, negara kita akan menjadi negara yang bisu untuk tempoh beberapa bulan akan datang.

Bukan saja komunikasi dalam negara terhenti, bahkan juga komunikasi dengan negara luar turut mati.

Apabila negara jadi bisu, bermakna tiada urusan atau perniagaan akan berjalan dengan lancar dan Malaysia akan menjadi lumpuh kerananya.

Apabila negara lumpuh, yang paling susah dan terbeban tentulah rakyat biasa kerana tiada urusan dapat dijalankan dengan sempurna.

Keadaan ini menambahkan lagi sengsara yang ditanggung negara berikutan bermusuh dengan Arab Saudi kerana menganjurkan Sidang Kemuncak KL baru-baru dan susulan tindakan pemboikotan minyak sawit oleh India lantaran komen Tun Mahathir berhubung undang-undang Imigresen negara tersebut.

Meskipun rakaman audio itu berlaku sewaktu era BN, tetapi oleh kerana pendedahannya dilakukan sekarang, kesan buruknya tidak dapat tidak akan menimpa kerajaan yang ada sekarang.

Lebih buruk lagi ia juga menimbulkan tanggapan bahawa oleh kerana kerajaan sekarang seolah-olah menggunakan rakaman itu untuk menghancurkan musuh politiknya, tidak mustahil perlakuan merakam curi perbualan lebih berleluasa dilakukan pada era masa kini dalam pelbagai sektor.

Dengan yang demikian, tindakan SPRM mendedahkan rakaman audio itu telah meletakkan masa depan negara dalam bahaya dan menuju kehancuran.

Lebih buruk lagi apabila Latheefa Koya dilihat tersenyum-senyum ketika memperdengarkan rakaman perbualan perbualan Najib dengan Rosmah kepada pihak media yang seperti memberi tanggapan tujuan pendedahan itu semata-mata bermotifkan politik dan mahu mengaibkan.

Maka itu, atas kerosakan kepada negara dan sengsara yang bakal ditanggung rakyat, Latheefa Koya wajib meletakkan jawatannya dengan segera.

Kiranya beliau enggan, Tun Mahathir selaku Perdana Menteri harus mengutus surat, setidak-tidaknya sepanjang 18 atau 19 perenggan dengan arahan kepadanya agar berhenti serta-merta.

Tetapi, jika tindakan Latheefa Koya membuat pendedahan rakaman audio itu adalah dalam pengetahuan dan dengan restu Perdana Menteri, tiada pilihan, Tun Mahathir sekali wajar berundur daripada jawatannya.

-https://shahbudindotcom.net/

.