JHO LOW MANIPULASI JIWA MELAYU

DALAM pengakuan langsung kepada akhbar Straits Times, Singapura, semalam, orang buran jenayah Jho Low mendakwa bahawa dia hanya orang tengah dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tetapi katanya, hanya dia yang diburu oleh media massa sedangkan banyak lagi individu, institusi, penasihat dan perunding yang terlibat dan lebih berperanan daripada dirinya.
Secara langsung dia merujuk kepada orang dan institusi seperti bekas Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, bank pelaburan Amerika, Goldman Sachs dan agensi penguatkuasaan tempatan seperti Bank Negara.

Untuk menjadi “orang perantaraan” dalam skandal kewangan terbesar di dunia itu bukanlah sesuatu yang berlaku sekelip mata atau tanpa perancangan rapi.

Analisis ini saya padankan daripada rencana Bahasa Inggeris yang saya siarkan dalam Blog ini pada 19 Mei tahun lalu bertajuk “How Jho Low Exploits the Malay Psyche” (Bagaimana Jho Low Memperalatkan Jiwa Melayu).

Sejak setahun lalu, banyak perkembangan baru telah berlaku yang melibatkan Jho Low, ketua kepada gerombolannya, Najib serta berpuluh-puluh individu dan parti politik yang dituduh menerima duit curi 1MDB.

Kira-kira sebulan selepas saya menyiarkan rencana tersebut, perbicaraan ke atas Najib bersabit kes 1MDB dimulakan iaitu pada 28 Ogos.

1MDB adalah skim capat kaya yang mengikat erat Najib dan Jho Low. Dalam proses itu, mereka mengheret dan membabitkan istana, parti-parti politik, badan-badan penguatkuasaan perbankan, bintang filem Hollywood dan suri dalam dapur.

Dalam rencana tahun lalu itu saya berkata, skim penipuan 1MDB adalah hasil kejayaan luar biasa Jho Low memperalatkan jiwa Melayu atau dalam bahasa Inggeris “the Malay psyche”.

Maka dalam kaitan ini, kita bolehlah menyifatkan Jho sebagai apa yang disebutkan dalam bahasa Inggeris sebagai “evil genius” – orang pintar yang jahat.

Kawan Dengan Raja

Kalau tidak, bagaimanakah kita hendak memahami kejayaannya dalam usia 28 tahun merapatkan diri dengan seorang Raja Melayu?

Selepas itu dengan Perdana Menteri yang juga seorang Melayu. Tambahan pula bukan Melayu sembarangan tetapi Melayu yang mendakwa dirinya pahlawan dan pendekar Bugis.

Adalah tidak mustahil bahawa keluarga Jho Low yang berasal dari Pulau Pinang sejak awal marancang agar dia membesar sebagai pemain dunia korporat yang licik dan bergeseran bahu dengan golongan elit.

Maka mereka menghantarnya belajar di sebuah sekolah eksklusif untuk anak orang kaya, Harrow College di England.

Di situ dia bergaul dengan budak-budak keturunan mulia atau yang membeli kedudukan tinggi menggunakan wang ringgit.

Kata kunci di sekolah persendirian Inggeris ini adalah wang, kekayaan dan kelas. Mungkin di sinilah Jho Low membentuk selera untuk menjadi kaya raya, berkelas dan berfoya-foya.

Dan tidak ada tempat yang lebih baik untuk memulakan perjalanan ini daripada di kalangan mahasiswa dari kelas “bourgeois” di Wharton Business School, Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Pikat Hati Melayu

Dia juga sedar bahawa di Malaysia, di mana Melayu (Bumiputera) menguasai politik dan Cina mendokong ekonomi, ada beberapa perkara perlu diutamakan.

Misalnya dia tahu majoriti orang Melayu amat setia kepada Raja dan memandang tinggi orang Arab. Dia tahu dengan perkenan Raja, lebih mudah baginya mendapat kerjasama pemimpin politik dan kakitangan awam Melayu.

Orang Arab yang dipandang tinggi oleh orang Melayu amat berguna bagi Jho Low kerana mereka mempunyai apa yang dia idam-idamkan iaitu duit yang banyak.

Maka itulah yang dia gunakan untuk membina kekuatannya sebagai “wheeler-dealer”. Dia mengabungkan daulat Raja, kuasa politik dan pentadbiran Melayu dan duit Arab.

Jho Low bukan budak Cina biasa yang membenamkan muka ke dalam buku dan bekerja keras siang malam mencari duit. Dia adalah “playboy” montel yang suka berfoya-foya dengan bintang filem Hollywood.

Justeru itu dia tahu bahawa “diamonds are the girls’ best friends” – emas permata adalah teman setia wanita. Maka dengan segala murah hati dia menaburkan mereka emas pertama yang berjuta ringgit nilainya menggunakan duit curi 1MDB.

Emas permata yang dirampas daripada kediaman-kediaman Najib, Rosmah

Dengan gabungan daulat Raja, kuasa politik dan birokrasi Melayu serta berkat nama Arab, Jho Low mengubah dirinya menjadi serigala dunia kewangan seperti yang digambarkan oleh filem terbitan sahabat karibnya, Riza Shahriz Abdul Aziz, “Wolf of Wall Street”.

Riza adalah anak tiri Najib iaitu salah seorang daripada dua orang anak Datin Seri Rosmah Mansor dengan suami pertamanya.

Jho Low menggunakan Riza sebagai ayam tambatan untuk memikat dan mengikat hati Rosmah kerana dia tahu siapa raja dalam rumah tangga Najib. Rosmah gembira, Najib suka dan Jho Low dapat apa yang dikehendakinya.

Maka dengan bantuan beberapa orang lelaki dan perempuan Melayu inilah, Jho Low muncul sebagai “brain” (otak) di belakang tabung kemakmuran Terengganu Investment Authority (TIA) dan kemudian 1MDB.

Dengan menggunakan 1MDB sebagai “front” dan atas bantuan Najib serta beberapa orang birokrat Melayu, Jho Low meminjam berpuluh bilion ringgit kononnya untuk melabur dalam projek milik keluarga di raja Arab.

Skim Penipuan Terbesar

Semua itu palsu dan menjelang tahun 2011 mulalah terbongkar kebajingan Jho Low-Najib tersebut.

Menjelang waktu itu, berpulih bilion telah dicuri dan dihantar ke merata dunia bagi mengabui mata pihak berkuasa termasuk Bank Negara.

Sebanyak AS$681 juta atau kira-kira RM2.6 million masuk ke dalam akaun peribadi Najib di Ambank (milik Tan Sri Azman Hashim) antara tahun 2011 dan 2013.

Dalam perbicaraan Najib sekarang, mahkamah diberitahu bahawa Bank Negara Malaysia tahu mengenai pengaliran masuk wang dari luar negara ke dalam akaun Najib.

Jadi tidaklah menghairankan kalau wartawan luar negara terus menyiasat hubungan Jho Low dengan Bank Negara sehingga wang yang begitu banyak boleh masuk keluar tanpa sebarang reaksi luar biasa daripada bank pusat itu.

Inilah keistimewaan “evil genius” Jho Low ini. Dia kenal semua orang Melayu yang ada kuasa dan berjaya memperalatkan mereka.

Dan inilah juga masalah dengan ramai orang Melayu yang berkuasa. Mereka tamak dan cair kerana duit. Kalau bukan mereka, anak, isteri dan suami mereka. Jho Low tidak teragak-agak memperalatkan kesemua mereka.

Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Kerana nafsu badan binasa.

Jho Low Selamat

Silap-silap ramai Melayu masuk jel atau menjadi hina tetapi Jho Low lepas bebas. Buat masa ini itulah gambarannya.

Najib, Rosmah dan gerombolan mereka sedang dibicarakan. Ada yang berkaitan 1MDB dan ada kerana tuduhan jenayah lain.

Tatapi Jho Low masih bebas dan dipercayai dilindungi oleh kerajaan atau kerajaan-kerajaan yang terlibat dalam skandal penipuan 1MDB khasnya atau dengan rasuah era Najib amnya.

Dalam temu ramah dengan Strait Times Jho Low mendakwa dia rapat dengan negara-negara Arab sehingga berjaya membantu Malaysia mendapatkan kuota haji tambahan.

Yang terbaru, dia juga sudah terlepas daripada tuduhan jenayah oleh Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ) apabila akhir tahun lalu dia bersetuju menyerahkan harta bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion) di negara tersebut yang didakwa dibeli dengan duit curi 1MDB.

Jho Low bukan lagi keutamaan DoJ. Keutamaan DoJ adalah membicarakan dan mendenda bank pelaburan Goldman Sachs yang menjadi agen hutang 1MDB dan terlibat dalam proses menyonglap sebahagian duit tersebut.

Laporan penyiasatan antarabangsa mengatakan sehingga AS$4.5 bilion (RM18 bilion) duit 1MDB telah disonglapkan melalui pencurian dan pengubahan duit haram oleh Jho Low, Najib dan gerombolan mereka.

Sekarang 17 orang eksekutif dan bekas eksekutif Goldman Sachs sedang dibicarakan dan bank yang beribu pejabat di New York itu mungkin didenda hingga AS$9 bilion (RM36 bilion). Yang DoJ mahu ialah Jho Low jadi saksi pihak pendakwa raya.

Silap-silap yang terlepas dan terpelohong adalah kita. Jho Low terlepas, pampasan yang kita tuntut daripada Goldman Sachs tak dapat dan kes timbang tara dengan Arab entah ke mana.

Tanggungjawab ke atas hal ini adalah di atas bahu Menterian Kewangan, Jabatan Peguam Negara dan Menteri yang jaga hal ehwal undang-undang.

Moral ceritanya ialah ramai Melayu bercakap besar tentang maruah, mendabek dada kerana kuasa politik dan menuduh orang bukan Melayu berkonspirasi menjatuhkan Melayu.

Tetapi boleh dikatakan setiap kali seorang Melayu dituduh di mahkamah kerana melakukan rasuah, pemberinya adalah orang bukan Melayu.

Maruah Melayu yang kononnya tinggi dan kuasa politik yang kononnya kuat hanya mampu menajadikan orang Melayu dan Bumiputera warganegara ekonomi kelas tiga.

Mengapa semua ini terjadi?

Kerana ramai pemimpin Melayu dalam perbagai bidang khianat dan curang, mabuk kuasa, kemaruk harta, suka berfoya-foya dan tidak segan-silu memperhamba dan memperbodohkan bangsa sendiri ala “malu apa bossku”.

Di pihak lain pula, majoriti orang Malayu berpuas hati dengan ekonomi cukup makan, lumba haram motosikal dan subsidi tahi hidung masin di sana sini.

Maka orang macam Jho Low yang faham jiwa dan tabiat Melayu boleh dengan mudah memperalat dan memperhambakan orang Melayu. Itulah yang terjadi dalam kes 1MDB.

-https://kadirjasin.blogspot.com/

.