GUAN ENG SINDIR MAHATHIR

Dengan pantas Ketua Penerangan Bersatu, Dr. Radzi Jidin mengeluarkan kenyataan media membantah cadangan Lim Guan Eng agar soal pengganti Dr. Mazlee Malik sebagai Menteri Pendidikan dibincangkan dalam PH.

Kata beliau, memilih pengganti Dr. Mazlee adalah hak dan kuasa Perdana Menteri menentukannya kerana kerusi itu merupakan kouta Bersatu.

Sehubungan itu, katanya, tidak perlu sama sekali perkara itu dibincangkan dalam PH.

Kepantasan Dr. Radzi mengeluarkan kenyataan media berkaitan perkara ini agak memeranjatkan kerana sejak dilantik selaku Ketua Penerangan Bersatu pada September 2018 lalu, beliau dilihat agak pasif dan seolah-olah tidak berfungsi.

Bukan saja jentera Penerangan Bersatu bagaikan tidak bergerak di bawahnya, terutama dalam beberapa PRK yang diadakan, bahkan meski banyak isu politik yang berlaku dalam negara, beliau juga tidak pernah bersuara atau mengeluarkan apa-apa kenyataan media.

Kalau tak silap, ini adalah kenyataan media yang pertama pernah dikeluarkan oleh Dr. Radzi atas kapasiti Ketua Penerangan Bersatu.

Bahkan, ada pemimpin Bersatu sendiri tidak lama sebelum ini pernah menyebut, beliau sendiri tidak pasti sama ada Biro Penerangan di bawah Dr. Radzi pernah mengadakan mesyuarat atau pun tidak.

Tetapi, mengapa bila Guan Eng bersuara tentang pengganti Dr. Mazlee, tiba-tiba Dr. Radzi begitu cepat memberi reaksinya?

Apakah beliau sedang cuba menonjolkan diri bagi menarik perhatian Perdana Menteri agar dirinya dilantik sebagai Menteri Pendidikan yang baru?

Dalam soal kenyataan Guan Eng yang mencadangkan pengganti Dr. Mazlee dibincangkan dalam PH, Menteri Kewangan itu sebenarnya bukan tidak faham tentang hak dan kuasa Perdana Menteri.

Sebagai orang lama dalam politik dan pernah menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang sejak 2008, mustahil Guan Eng tidak arif membezakan mana satu kuasa mutlak Perdana Menteri dan mana satu perlu dibawa dalam mesyuarat PH.

Apabila beliau menyarankan agar soal pengganti Dr. Mazlee dibincangkan dalam PH, sedangkan ia merupakan sesuatu yang difahami umum sebagai hak mutlak Perdana Menteri memilihnya kerana dibawah kouta Bersatu, Menteri Kewangan itu sebetulnya sedang menyindir Tun Mahathir.

Ini kerana, memandangkan Tun Mahathir masih berdolak-dalik untuk menentukan tarikh peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim dan seolah-olah ingin memilih sendiri penggantinya mengikut kehendak hatinya, maka itulah tujuan sebenar Guan Eng menyentul soal pengganti Dr. Mazlee itu

Ia bertujuan untuk mengingatkan Tun Mahathir bahawa kuasa memilih pengganti selepasnya iaitu sebagai PM8 adalah hak dan kuasa PH, bukan hak serta kuasa Perdana Menteri secara sendirian.

Berikutan Dr. Radzi dengan pantas memberi reaksi kepada saranan Guan Eng itu, bermakna umpan kail yang dipasangnya sudah mengena.

Bermakna, kalau diakui bahawa kuasa memilih pengganti Dr. Mazlee adalah hak dan kuasa Perdana Menteri, maka mestilah juga diakui hak serta kuasa PH dalam menentukan kedudukan bakal Perdana Menteri seterusnya.

Selepas ini dengan sendirinya Tun Mahathir tidak boleh berdolak-dalik lagi tentang kedudukan Anwar sebagai bakal penggantinya serta tidak sepatutnya terus cuba-cuba mahu menonjolkan calon lain atau ingin menubuhkan kerajaan baru melalui pintu belakang.

Bijak tak Guan Eng?

-https://shahbudindotcom.net/

.