MASZLEE’S EXIT TO PAVE WAY FOR MUKHRIZ TO JOIN FEDERAL CABINET? KEMPEN #SUPPORTMAZLEE HANYA SIA-SIA, APAKAH PENGUNDURANNYA UNTUK MEMUDAHKAN MUKHRIZ DIBAWA KE PUSAT?

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kad keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia kepada Ahli baru PPBM, Maszlee Malik pada sidang media di Galeri PPBM Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. foto AQIRA AZEMI, 12 MAC 2018

Tidak berapa lama selepas Dr. Mazlee Malik mengumumkan pemulangan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan semalam, tiba-tiba muncul kempen di media sosial agar jawatan itu dikembalikan semula kepadanya.

Sehingga artikel ini ditulis, hampir 300 ribu sudah menandatangani menyokongnya.

Sementara sebelum ini, Dr. Mazlee banyak dikecam atas beberapa pendekatan atau kenyataannya, kini setelah beliau meletakkan jawatan, ramai pula yang seolah-olah merindui dan ingin beliau kembali.

Sebenarnya, mengharapkan untuk Dr. Mazlee dikembalikan ke jawatannya adalah sesuatu yang mustahil, sekurang-kurangnya dalam waktu yang terdekat ini.

Asasnya ialah Dr. Mazlee bukan berundur dengan sukarela atau dengan kehendak hatinya.

Beliau sebenarnya dinasihatkan (atau dalam bahasa lebih mudah – dipaksa) untuk meletakkan jawatannya.

Dalam kenyataannya semalam, Dr. Mazlee antara lain menyebut – Di atas nasihat YAB Perdana Menteri, dan atas dasar ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti dan kerajaan, maka dengan hati yang reda walaupun berat, saya Mazlee Malik, dengan ini meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan Malaysia berkuatkuasa 3 Januari 2020.

Kenyataan itu jelas menggambarkan Dr. Mazlee telah diminta atau dipaksa untuk berundur atas dasar ketaatan kepada kepimpinan parti dan kerajaan yang mahukannya berbuat demikian, walaupun beliau berat hati untuk melakukannya.

Dalam hal ini, selain Tun Mahathir selaku Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu, siapakah lagi yang boleh meminta atau memaksa Dr. Mazlee untuk meletakkan jawatan?

Mustahil Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu yang meminta atau memaksa Dr. Mazlee untuk meletakkan jawatan, malah kalau beliau berbuat demikian pun, tidak mungkin Ahli Parlimen Simpang Renggam itu akan menurutinya.

Bermakna, yang boleh meminta atau memaksa Dr. Mazlee untuk meletakkan jawatan dan permintaan atau paksaan itu pula tidak boleh ditolak hanya jika ia dilakukan Perdana Menteri.

Tetapi, apakah sebabnya yang mendorong Tun Mahathir meminta atau memaksa Dr. Mazlee meletakkan jawatan?

Apakah ia berkaitan isu-isu yang berlegar di sekitar Kementerian Pendidikan atau ada sebab-sebab lain?

Dalam kenyataan medianya juga, Dr. Mazlee ada menyebut – Saya dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan terutama melibatkan isu Jawi, internet sekolah dan dan isu sarapan percuma.

Dalam hal ini, adakah Tun Mahathir meminta atau memaksa Dr. Mazlee meletakkan jawatan kerana adanya tekanan daripada DAP, NGO tertentu atau tauke-tauke berkaitan kontrak di Kementerian Pendidikan?

Atau Tun Mahathir ada perkiraan lain berkaitan politik?

Menguatkan lagi asas bahawa perletakan jawatan Dr. Mazlee adalah atas permintaan atau kehendak Tun Mahathir kerana hanya beberapa ketika selepas beliau mengumumkan perletakan jawatannya, dengan pantasnya keluar kenyataan media oleh Pejabat Perdana Menteri yang memakluman perletakan jawatan tersebut telah diterima.

Betapa pantasnya kenyataan media itu dikeluarkan seolah-olah ia telah disiapkan atau ditaip sebelum pun Dr. Mazlee mengadakan sidang medianya lagi.

Lantaran itu, oleh kerana yang meminta atau memaksa Dr. Mazlee meletakkan jawatan adalah Tun Mahathir sendiri, maka adalah membuang masa saja mengadakan sebarang kempen untuk mengembalikan beliau semula ke jawatan tersebut.

Selain mungkin Tun Mahathir ada muslihat atau perkiraan lain di sebalik tindakannya terhadap Dr. Mazlee itu, beliau juga diketahui jarang tunduk kepada tekanan.

Walaupun kerap melakukan U-Turn, Tun Mahathir pasti tidak akan berbuat demikian jika untung tidak memihak kepadanya. U-Turn Tun Mahathir adalah U-Turn yang boleh membawa untung.

Dalam hal ini, tidak nampak ada untungnya kepada Tun Mahathir jika Dr. Mazlee dikembalikan semula sebagai Menteri Pendidikan.

Sebaliknya, dengan ketiadaan Dr. Mazlee, Tun Mahathir mungkin ada ruang yang lebih terbuka untuk mencatur sesuatu, bukan mengenai rakyat atau negara, tetapi lebih tentang dirinya.

Semua ini hanya akan dapat diketahui atau dibaca selepas pengganti Dr. Mazlee diumumkan atau melalui rombakan kabinet dalam waktu terdekat ini.

Mungkinkah Mukhriz Mahathir yang kini merupakan Menteri Besar Kedah akan dibawa ke Pusat dalam rombakan kabinet nanti?

-https://shahbudindotcom.net/

.