SELEPAS KALAH TERUK DI TG PIAI, TUN M TIDAK SEPATUTNYA MELEWATKAN LAGI PERALIHAN KUASA

Apabila Tun Mahathir Mohamad mengumumkan untuk melewatkan tarikh penyerahan kuasa sehingga selepas Sidang APEC pada November 2020, tidak banyak yang gembira dengan perkhabaran itu.

Sebaliknya, lebih ramai yang kecewa serta rasa berduka atas pengumuman itu.

Kalangan orang Cina yang merupakan peniaga dan penggerak ekonomi negara, mereka merasakan pengumuman Tun Mahathir itu bermakna mereka perlu menahan sengsara lebih lama dalam kehidupan mereka.

Sejak bertukar kerajaan pada Mei 2018 lagi, harapan golongan peniaga ini tidak lain ialah agar sektor ekonomi lebih berkembang dengan beberapa dasar serta rangsangan baru akan diperkenalkan.

Malangnya, setelah beberapa bulan menunggu, ternampak tiada yang positif diperkenalkan oleh Tun Mahathir, sebaliknya beliau dilihat lebih banyak bermain politik serta menyalahkan kerajaan lama semata-mata.

Itulah yang menyebabkan di mana-mana, jika kita rajin berbual dan bertanya khabar dengan peniaga-peniaga Cina, rata-ratanya mengeluh kerana perniagaan serta pendapatan mereka yang lebih merosot berbanding dulunya.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga tidak segan-segan menunjukkan betapa banyak ruang-ruang niaga di sekeliling mereka yang kini kosong atau sudah tutup kedai.

Lantaran itu, mereka mula menyedari Perdana Menteri yang sudah berusia 94 tahun ini tidak berdaya lagi memulih dan mengembangkan ekonomi negara ke arah yang lebih baik serta memuaskan.

Begitu pun, mereka juga tidak mahu lagi kepada BN dan harapan mereka dengan pengunduran Tun Mahathir setelah dua tahun menjadi Perdana Menteri di mana selepas itu kepimpinan negara akan diambil alih oleh Anwar Ibrahim yang lebih bertenaga, proaktif serta ada rekod cemerlang ketika menjadi Menteri Kewangan sebelum ini, sesuatu yang lebih positif akan segera terhasil.

Kata mereka, Tun Mahathir tidak perlu berada lebih lama di jawatannya sekarang dan beliau patut sedar ketidakmampuan serta faktor umur adalah halangan utamanya.

Bagi orang Melayu yang merupakan golongan pengguna pula, kekecewaan mereka tidak kurang dengan orang Cina kerana kelembapan ekonomi telah menyebabkan mereka sukar memperolehi wang, anak-anak tiada pekerjaan dan tiada lagi lebihan duit dalam duit untuk bercuti atau berjalan-jalan.

Ditambah dengan jawapan Tun Mahathir mengenai janji manifesto serta kelibatnya yang lebih banyak bermain politik dan menghuru-harakan rakan dan lawan, kebencian dalam diri mereka pun berkembang dengan sendirinya.

Tidak kurang yang secara terbuka menyatakan rasa menyesal menyokong Tun Mahathir dan mengundi PH dalam PRU14 lalu.

Mesej penolakan kepada Tun Mahathir itu secara umumnya boleh dirasa di mana-mana dan telah pun dizahirkan dalam PRK Tanjung Piai, baru-baru ini.

Keputusan pilihanraya itu bukanlah bermakna pengundi mahu menerima kembali BN atau menyokong semula MCA, tetapi lebih merupakan mesej kepada Tun Mahathir selaku “kepala ikan” agar mengelakkan keseluruhan badan ikan berbau dan membusuk dek kerana kegagalannya memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Maka itu, apabila tiba-tiba Tun Mahathir mengumumkan hanya akan berundur dan melakukan peralihan kuasa selepas Sidang APEC pada November 2020 akan datang, tidak sedikit yang rasa kecewa dan tidak gembira dengan keputusannya itu.

Kata mereka, dengan mesej daripada keputusan PRK Tanjung Piai, tidak wajar sama sekali bagi Tun Mahathir melewatkan lagi tarikh penyerahan kuasa kepada Anwar.

Beliau, kata mereka, sepatutnya mempercepatkan lagi peralihan kuasa dan memberi peluang kepada Anwar mengambil alih teraju kepimpinan negara ini.

-https://shahbudindotcom.net/

.