BERGURU BIAR DENGAN YANG PAKAR

 Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

DFr Mahathir santai dan intim dengan generasi muda

BEBERAPA hari selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad balik dari Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) September lalu, saya menyatakan kepada beliau kegembiraan saya melihat beliau di PBB, khususnya dan di New York, amnya.

Saya gembira melihat di televisyen, surat khabar dan media sosial bagaimana beliau dikelilingi oleh orang muda yang terdiri daripada wartawan, pegawai kerajaan dan peminat dari dalam dan luar negara.

Saya memberitahu beliau, ini mengingatkan saya kepada tahun-tahun awal beliau menjadi Perdana Menteri kali pertama mulai 1981.

Waktu itu, beliau dikelilingi oleh wartawan, pengarang, kakitangan awam, ahli politik dan usahawan yang umumnya muda walaupun beliau tidak menyisihkan generasi yang sebaya dengan beliau. Mereka ada, tetapi tidak begitu ketara.

Melalui pergaulan itu, beliau melahirkan satu generasi baru wartawan, pengarang, kakitangan awam, ahli politik dan ahli korporat yang sebahagiannya cergas sampai ke hari ini.

Malah kalau kita lihat di kalangan ahli politik veteran yang ada hari ini, majoriti daripada mereka muncul, mendapat didikan dan bertapak pada zaman awal pemerintahan beliau.

Darah Muda

Saya ingat lagi beberapa peristiwa menarik sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum 1982 yang berupa PRU sulung Dr Mahathir.

Ketika itulah beliau mengambil risiko membawa masuk Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam politik arus perdana. Langkah itu mencetuskan penghijrahan pemimpin muda Melayu-Islam, khususnya dari Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ke arena politik. Ada yang masuk Umno dan ada yang menyertai PAS.

Dr Mahathir juga memberi kuasa yang luas kepada timbalan beliau ketika itu, Tun Musa Hitam untuk mencari dan membawa masuk calon-calon muda daripada pelbagai latar belakang.

Secara tidak langsung langkah pembersaraan pemimpin veteran era Almarhum Tun Abdul Razak dan Almarhum Tun Hussein bermula dan digantikan oleh pemimpin pelatih dan pelapis.

Selain Anwar, pemimpin pelatih dan pelapis yang mendapat anjakan, perlindungan dan keutamaan Dr Mahathir termasuklah Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dr Mahathir amat terhutang budi kepada Tun Abdul Razak kerana menyelamatkan kerjaya politik beliau dan kepada Tun Hussein kerana melantik beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan mendahului Naib-naib Presiden Umno yang lebih kanan, iaitu Almarhum Tun Abdul Ghafar Baba dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Mentor Kali Kedua

Justeru itu, saya katakan kepada Dr Mahathir yang saya amat gembira melihat beliau dikelilingi oleh pegawai, wartawan dan audiens muda kerana dengan itu beliau berpeluang sekali lagi melatih generasi pewaris.

Saya perhatikan generasi muda lebih berani, terus terang dan santai berinteraksi dengan beliau. Salah satu sebabnya adalah mereka tidak tertekan oleh beban masa lampau.

Dr Mahathir pun nampak cukup selesa dan bersemangat berinteraksi dengan generasi muda dan terhadap isu-isu berkaitan generasi muda.

Saya pernah mendengar beliau menyatakan pengakuan mengenai sumbangan dan potensi pemimpin generasi muda seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Nurul Izzah Anwar, Liew Chin Tong dan Rafizi Ramli.

Saya perhatikan beliau amat lega dan selesa melayan pemimpin muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Kementerian Masa Depan

Saya dimaklumkan bahawa sekumpulan orang muda daripada pelbagai latar belakang telah mendapat restu beliau untuk merangka agenda generasi muda dan masa depan.

Matlamat mereka adalah ke arah mewujudkan makanisme atau badan yang seakan-akan “the ministry of the future” (kementerian masa dapan) di mana isu, dasar dan program masa depan negara dirancang dan dilaksanakan.

Secara peribadi, saya tidak melihat wujud harapan yang cerah bagi Malaysia atau mana-mana negara juga kalau masih terperangkap dengan politik, ekonomi dan pemikiran pascapenjajahan.

Malah dalam konteks ini, melihat daripada apa yang dipamerkan melalui media sosial, amat jelas bahawa masyarakat kita, khususnya Melayu-Islam semakin daif dari segi pemikiran, semakin lucah, semakin kurang toleransi dan semakin curang.

Jadi kita memerlukan agenda generasi baru yang mampu mengubah arah haluan daripada pemikiran hambar, lucah, tidak toleransi dan curang ini kepada yang lebih positif, kekal dan membina. Kalau tidak Melayu mungkin hilang dari dunia.

– https://kadirjasin.blogspot.com/

.