KALAU PKR TAK PILIH BULU, ZURAIDAH PUN PATUT DIPECAT JUGA?

Walaupun tidak menghadiri mesyuarat MPP PKR semalam, Zuraidah Kamaruddin terus membebel melalui media berhubung keputusan yang dibuat oleh parti itu.

Semalam PKR membuat keputusan memecat dua ahlinya, temasuk seorang Ahli MPP, Zakaria Abdul Hamid dan seorang lain yang bernama Ismail Dulhadi.

Pemecatan itu berikutan cadangan yang diusulkan oleh SPRM berkaitan kes rasuah yang dihadapi oleh kedua-duanya.

Bagi Zuraidah yang juga merupakan Naib Presiden PKR, keputusan PKR itu adalah tidak adil dan pilih bulu.

“Pemecatan itu hanya mendatangkan tanda tanya apakah ia dilakukan dengan memilih bulu?

“Memandangkan hanya individu tertentu yang dilihat berpihak kepada pimpinan tertentu saja diambil tindakan.

“Saya mengecam tindakan pilih bulu yang dilakukan parti dan menggesa reformasi kepimpinan dilakukan segera, jika parti ini ingin diselamatkan.

“Jika benar ada saranan daripada SPRM untuk parti politik mengambil tindakan terhadap anggota yang masih tak dibuktikan bersalah di mahkamah, maka parti wajib juga mengambil tindakan terhadap anggota yang jelas melanggar undang-undang negara,” tegas beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menolak bebelan Zuraidah dengan mengatakan beliau akan memahami pemecatan itu jika hadir mesyuarat MPP semalam.

“Saya rasa kalau beliau hadir mesyuarat Biro Politik dan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat semalam, maklumat penuh disampaikan kepada kami. Ia cukup jelas untuk tindakan tersebut (pecat) diambil.

“Jadi saya tegaskan sekali lagi, semua pimpinan lain hendaklah peringatkan diri sendiri untuk sentiasa hadir mesyuarat.

“Gunakan platform pertemuan parti untuk bincangkan perkara-perkara ini, bukannya keluarkan kenyataan melalui media,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Dalam hal ini, harus difahami bahawa urusan parti adalah kuasa peringkat tertinggi iaitu MPP membuat keputusan setelah diperbincangkan dengan mendalam.

Sebab itu, menghadiri mesyuarat adalah penting.

Maka, kalau MPP boleh membuat keputusan memecat ahli yang rasuah, bagaimana dengan mereka yang sengaja tidak hadir mesyuarat tanpa sebab selama setahun lamanya?

Lepas itu, sudahlah tidak hadir mesyuarat, kuat pula membebel dan menentang keputusan parti di luar mesyuarat?

Apakah orang seperti ini tidak boleh dipecat juga daripada PKR?

Kalau tidak dipecat, bukankah bermakna PKR telah pilih buli dan bersikap tidak adil, sedangkan peraturan juga menetapkan mereka yang tidak hadir tidak kali berturut-turut tanpa sebab turut boleh dipecat?

Tidakkah Zuraidah sendiri tidak suka PKP bersikap tidak adil dan pilih bulu?

-http://syedsoutsidethebox.blogspot.com/

.