PAS, PEMBANGKANG YANG KERJANYA LEBIH BANYAK MENJILAT PM

Pas adalah parti pembangkang di peringkat persekutuan dan atas kedudukan itu, ia sepatutnya memainkan peranan “semak dan imbang” terhadap kerajaan dengan sebaik-baiknya.

Tetapi, kerja Pas kebelakangan ini lebih banyak mengampu, malah kadang-kadang menjilat siapa saja yang menjadi Perdana Menteri daripada menjadi pembangkang dalam erti kata yang sebenarnya.

Barangkali kali terakhir Pas berperanan sebagai pembangkang yang benar-benar pembangkang ialah ketika bersama Pakatan Rakyat sebelum meninggalkan gabungan itu pada pertengahan tahun 2015.

Selepas itu hinggalah sekarang, Pas seolah-olah lupa kerjanya sebagai pembangkang, tetapi mencipta peranan baru – pembangkang yang asyik mengampu Perdana Menteri.

Sebaik meninggalkan PR dan bergerak sendirian atas kuasa ketiga kononnya ketika itu, Pas memilih untuk berbaik-baik dengan UMNO dan BN yang dipimpin oleh Najib Razak.

Selain berbaik dengan UMNO dan BN sebagai kerajaan serta secara terbuka menjadi penyerang kepada sesama pembangkang iaitu PH, terdapat juga dakwaan Pas dan pemimpin tertentunya ada menerima sumbangan wang yang lumayan daripada pemimpin tertentu untuk aktiviti partinya.

Oleh itu, meskipun bergerak secara sendirian dan sebagai kuasa ketiga, kerja utama Pas ialah untuk memecahkan undi bagi memberi kelebihan kepada UMNO dan BN memenangi PRU14.

Pilihan itu dijadikan keutamaan berdasarkan keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada tahun 2016 yang memperlihatkan pertandingan tiga penjuru – BN, PH dan Pas – memberi laluan mudah untuk BN memenanginya.

Bagi mencapai tujuan terselindung itu, sebelum PRU14, bukan saja PH yang menjadi sasaran kecaman serta serangan Pas, bahkan Tun Mahathir Mohamad, calon Perdana Menteri PH pada ketika itu, turut diserang dengan pelbagai kata nista dan penghinaan seperti sudah tua nyanyuk, patut banyakkan beramal ibadat dan bermain dengan cucu serta hanya layak menjadi doktor di Klinik 1Malaysia.

Bagaimanapun, dengan takdir Tuhan dan kuasa rakyat yang benar-benar mahukan perubahan, cubaan Pas membantu BN dalam PRU14 tidak menjadi kenyataan sepertimana keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, sebaliknya PH yang berjaya menjadi kerajaan.

Sebaik saja PH menjadi kerajaan dan Tun Mahathir menduduki kerusi Perdana Menteri, dengan 18 kerusi Parlimen yang dimilikinya, walaupun masih kekal sebagai pembangkang, Pas mula mengubah haluan menjadi parti yang “makan keliling”,

Oleh sebab sudah akrab dengan UMNO dan barangkali kerana ada “budi yang perlu dibayar dengan body”, Pas terus mengukuhkan kerjasamanya dengan parti assabiyah itu sehingga membentuk Muafakat Nasional bagi tujuan memberi saingan kepada PH dalam PRU akan datang.

Bagaimanapun, dalam masa yang sama Pas tetap mengampu dan menjilat Tun Mahathir sehingga kerap membuat kunjungan, memberi puji-pujian dan menyokong agar Perdana Menteri berusia 94 tahun itu terus kekal berkhidmat sehingga habis penggal.

Terbaru, Hadi Awang sekali lagi memuji Tun Mahathir ibarat kelapa tua yang makin tua makin menjadi serta dianggap satu-satunya tokoh yang dianggap mampu menyelamatkan negara ini.

Dalam waktu yang sama, sementara bekerjasama dengan UMNO untuk menumbangkan PH dalam PRU15 akan datang, bukan saja Pas tidak pernah menyerang Tun Mahathir, malah mengkritik kerajaan pun jarang-jarang sekali dilakukan.

Sebaliknya, meriam serangan Pas lebih banyak dihalakan kepada Anwar Ibrahim dengan pelbagai persepsi dan andaian buruk mengenai nasib orang Melayu, kedudukan Islam dan negara apabila Presiden PKR itu menjadi Perdana Menteri nanti.

Juga dikatakan di belakang Anwar sebagai Perdana Menteri nanti adalah DAP, walhal dalam PH sekarang pun di mana Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, DAP adalah sebahagian parti yang berada di dalamnya.

Sesekali, kalau ada pun kritikan kepada kerajaan, ia hanya yang berkaitan pemimpin DAP dan Amanah saja.

Hakikatnya, serangan Pas kepada Anwar amat melucukan dan seolah-olah ada dendam peribadi yang tak sudah-sudah kerana Ahli Parlimen Port Dickson itu belum lagi berkuasa dan belum terbukti apa-apa kesalahan, kecurangan dan kerosakan kepada agama, bangsa serta negara telah dilakukannya.

Realitinya, itulah Pas sekarang, duduk sebagai pembangkang, tapi kerjanya tak sudah-sudah mengampu dan menjilat Perdana Menteri, manakala kerja membangkang atau memberi pandangan bernas tidak lagi menjadi keutamaan.

Barangkali tiada ilmu sains politik yang dapat menghuraikan pendekatan dan caca marba pendirian serta hala tuju parti Islam yang dipimpin Hadi sekarang ini.

Najib sudah dibodek dan dijilat, kini giliran Tun Mahathir pula dibodek dan dijilat.

Walaupun berbeza parti dan sebagai pembangkang, tindakan membodek dan menjilat itu hanya kerana satu sebab – jawatan Perdana Menteri yang Najib dan Tun Mahathir sandang.

Maknanya, Pas di era Hadi ini wajib mengampu dan menjilat siapa saja yang menjadi Perdana Menteri, walaupun pernah mengutuk dan mencaci sebelum itu.

Untuk itu, walaupun tetap sebagai pembangkang, bila Anwar jadi Perdana Menteri nanti, janganlah terkejut jika ampu dan jilat Pas serta Hadi kelak akan segera beralih kepada Presiden PKR itu pula.

Sudah biasa mengampu dan menjilat Perdana Menteri – siapa pun yang duduk di kerusi itu, sama ada Najib, Tun Mahathir atau Anwar – nikmat dunianya tetap sama bagi Pas.

-https://shahbudindotcom.net/

.