KALAU DAH SELALU GHAIB DAN TIDAK HADIR MESYUARAT, TAK USAHLAH MENGADA-NGADA NAK RASMIKAN MESYUARAT

Walaupun sedar dirinya telah tidak hadir mesyuarat selama setahun, Azmin Ali nampaknya masih tidak berpuas hati apabila namanya digugurkan daripada merasmikan Kongres AMK Keadilan pada 6 Disember depan.

Lantaran itu, beliau menuduh wujudnya tangan ghaib di sebalik pengguguran namanya itu.

Menurut Azmin, tanpa kewujudan tangan ghaib itu, tidak mungkin Ketua AMK, Akmal Nasir ada keberanian untuk berbuat demikian.

Sementara harus disedari bahawa keputusan menggugurkan Azmin adalah keputusan mesyuarat AMK dan bukannya tindakan Akmal secara sendirian, hakikat yang mesti disedari ialah Timbalan Presiden itu sendiri yang mengghaibkan dirinya selama ini.

Dengan kedudukan sebagai pemimpin nombor dua dalam PKR, adalah tidak boleh diterima sama sekali tindakannya mengghaibkan diri dengan tidak hadir mesyuarat MPP dan Biro Politik selama setahun lamanya.

Malah, kalau ikut peraturan parti yang menyebut ketidakhadiran dalam mesyuarat selama tiga kali berturut-turut, seseorang itu boleh terlucut jawatannya, maka tidak dilucutkan jawatannya pun sebenarnya sudah cukup baik bagi Azmin.

Untuk itu, tidak usahnya Azmin terlalu berkecil hati, marah atau kecewa dengan pengguguran namanya daripada merasmikan Kongres AMK itu.

Insaf dan bermuhasabahlah bahawa semua yang berlaku ini berpunca daripada kesalahan dirinya juga.

Dalam bahasa mudah, kalau sudah setahun ghaib begitu saja dan tidak hadir mesyuarat parti, tak usahlah tiba-tiba meroyan serta mengada-ngada mahu merasmikan mesyuarat.

Kalau beliau sentiasa hadir mesyuarat, tentulah tidak jadi begini dan pasti dirinya tidak semudah itu untuk diketepikan oleh sesiapa.

Sebaliknya, jika beliau digugurkan juga daripada merasmikan Kongres AMK, sedangkan dirinya tidak pernah ponteng mesyuarat, maka ketika itu barulah kesalahan sepenuhnya boleh diletakkan kepada Akmal atau mungkin ada wujud tangan ghaib di sebaliknya.

Tetapi, nyata kini kerana beliau sendiri telah ghaib selama setahun, maka kelayakannya untuk beraksi di pentas parti tentulah tidaklah sama seperti orang yang tidak pernah mengabaikan kepada parti.

Bagaimanapun, oleh kerana parti tetap bersikap baik hati dan Azmin tidak diambil apa-apa tindakan atas keghaiban dirinya yang tidak hadir mesyuarat selama setahun itu, beliau kini masih lagi merupakan Timbalan Presiden PKR.

Sekurang-kurangnya dengan tidak dilucut atau digugurkan jawatannya sekarang ini, Azmin masih boleh lagi merasmikan satu lagi sayap parti iaitu Kongres Wanita PKR.

Maka, buat penyokong Azmin dan sekelompok kecil pemimpin AMK yang sama perangai suka tidak hadir mesyuarat sepertinya, mereka bolehlah berpindah beramai-ramai ke Kongres Wanita PKR untuk melepaskan rindu dendam mendengar ucapan pemimpin kesayangan mereka itu.

Maklumlah, sudah setahun tidak mendengar beliau berucap dalam mesyuarat dan acara-acara parti, tentulah ada yang rindu bukan saja mendengar ucapannya, malah juga untuk menatap wajahnya.

Wajah yang mirip sepertinya dalam video pula masih tidak dapat disahkan oleh pihak polis sehingga kini sama ada dirinya atau ada pelanduk lain yang hampir serupa.

Kalau tidak, boleh jugalah melepaskan rindu menonton video tersebut berulang-ulang kali.

-https://shahbudindotcom.net/

.