MUNGKINKAH SEJARAH TELUK INTAN AKAN BERULANG DI TANJUNG PIAI?

Seperti yang dijangka, beserta desakan berterusan MCA agar kerusi Tanjung Piai dikekalkan milik mereka, BN akhirnya akur dengan kehendak itu.

Dalam mesyuarat bersama UMNO, MCA dan MIC semalam, difahamkan sudah diputuskan secara muktamad bahawa MCA yang akan bertanding di Tanjung Piai.

Wajah gembira Presiden MCA, Wee Ka Siong selepas mesyuarat semalam adalah perkhabaran yang menyenangkan buat parti itu.

Diberitakan juga, calon BN yang kalah 524 undi pada PRU14 lalu, Wee Jeck Seng akan dijadikan pertaruhan sekali lagi di Tanjung Piai ini.

Bermakna, setakat ini akan berlaku pertandingan tiga penjuru di Tanjung Piai iaitu PH diwakili oleh Karmaine Sardini daripada Bersatu, BN oleh Wee Jeck Seng daripada MCA dan Gerakan yang meletakkan Wendy Subramaniam sebagai calonnya.

Bagaimanapun, pertarungan sebenar adalah antara PH dan BN, sementara Gerakan sekadar untuk memecahkan undi bukan Melayu semata-mata yang belum diketahui sejauh mana mampu dilakukannya.

Walaupun bertembung dengan MCA, tetapi ia tetap merupakan pertarungan yang tidak mudah buat PH untuk mengekalkan kerusi Tanjung Piai di mana faktor utama menyukarkan untuk mengekalkan kemenangan adalah kerana UMNO dan Pas sudah bekerjasama sekarang ini.

Malah, sudah ada cakap-cakap yang mengatakan PRK Tanjung Piai ini bakal mengulangi sejarah PRK Teluk Intan pada 2014 lalu.

Pada PRK Teluk Intan itu, BN diwakili oleh Mah Siew Keong, manakala DAP mempertaruhkan Dyana Sofya sebagai calonnya.

PRK Teluk Intan itu diadakan berikutan kematian wakilnya, Seah Leong Peng daripada DAP.

Di sebalik banyak pihak ketika itu meramalkan DAP mampu mengekalkan kerusi Teluk Intan, tetapi akhirnya BN membuat kejutan dengan kemenangan tipis sebanyak 238 undi.

Berdasarkan perkembangan semasa, mungkinkah sejarah Teluk Intan akan berulang di Tanjung Piai pada 16 November nanti?

-https://shahbudindotcom.net/

.