ANWAR PM – JANGANLAH CEPAT NAK STRESS…

In this Oct. 8, 2018, file photo, Malaysia's Prime Minister Mahathir Mohamad, right, raises the hand of Malaysia's reform icon Anwar Ibrahim during a rally in Port Dickson, Malaysia. Anwar is contesting a by-election in Port Dickson, a southern coastal town after a lawmaker vacated the seat to make way for Anwar Ibrahim's political comeback. (AP Photo/Vincent Thian, File)

Nampaknya ramai yang stress, malah sesetengahnya kelihatan seperti mula seram sejuk macam nak demam bila semalam Tun Mahathir Mohamad berkata, beliau akan menetapkan tarikh penyerahan jawatannya kepada Anwar Ibrahim.

Kenyataan Tun Mahathir itu adalah susulan interbiu Bloomberg dengan Anwar Ibrahim di mana beliau menzahirkan keyakinan akan mengambil alih teraju pentadbiran negara pada tahun 2020 iaitu tahun depan.

Kata Tun Mahathir, “saya tetap berpegang kepada janji saya dan tarikh penyerahan jawatan akan ditentukan kemudian”.

Walaupun Tun Mahathir belum lagi menyebut bila tarikh yang tepat beliau akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar, sekurang-kurangnya kenyataan terbaru ini menunjukkan ada sedikit perkembangan yang lebih memberangsangkan.

Jika sebelum ini beliau hanya mengatakan akan berpegang kepada janji, malah tempoh yang disebutnya juga tidak menentu – mula-mula dua tahun, kemudian dua setengah tahun, selepas itu tiga tahun dan seterusnya sehingga ekonomi pulih serta selalu mengelak untuk bercakap tentang tarikh – yang nyata Tun Mahathir kini sudah agak terbuka dan tidak lagi kabur dalam kata-katanya.

Kata-katanya bahawa beliau akan menetapkan tarikh penyerahan jawatan menunjukkan Tun Mahathir sudah sedia untuk mengundurkan dirinya.

Dengan usianya menuju 95 pada tahun depan dan perlunya PH tambah diperkukuhkan menghadapi cabaran penyatuan ummah UMNO dan Pas, mahu tidak mahu Tun Mahathir juga sedar beliau tidak punya banyak pilihan, selain kudrat yang terbatas, meskipun mungkin nafsu dan kehendaknya adalah berlainan.

Di samping Anwar satu-satunya pilihan yang relevan untuk menggantikannya, ditambah dengan janji yang sudah lama dipersetujui, menyimpang daripada konsensus itu adalah ibarat mengundang bala buat PH sendiri.

Dalam hal ini, apabila mungkin tidak lama lagi Tun Mahathir akan menetapkan sendiri tarikh pengundurannya bagi membolehkan Anwar menggantikannya, ia adalah detik penting dalam memastikan kelangsungan PH sebagai sebuah kerajaan.

Pentadbiran Anwar selepas itu bukan saja suatu kesinambungan kepada dasar-dasar Tun Mahathir, tetapi juga merupakan suatu gambaran bahawa PH adalah gabungan yang boleh terus diyakini untuk mentadbir negara ini dengan lebih lama.

Oleh itu, terutama mereka daripada Bersatu atau pentaksub Tun Mahathir atau pembenci Anwar, janganlah mudah stress atau menggelupur tak tentu pasal melihat peralihan kuasa yang seolah-olah semakin hampir menjadi kenyataan ini.

Jika dalam waktu terdekat ini Tun Mahathir tiba-tiba terbuka hati menetapkan sendiri tarikh pengundurannya sebagaimana yang dijanjikannya untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar, ia adalah suatu berita baik sebenarnya.

Dengan itu PH boleh terus berfungsi sebagai kerajaan yang berkesan sebagaimana mandat diberikan rakyat pada PRU14 yang lalu.

Berbanding jika Tun Mahathir enggan menyerahkan jawatan kepada Anwar yang tentunya menyebabkan PH berpecah dan memberi lebih peluang kepada UMNO dan BN berkuasa semula, tindakan beliau menunaikan janji seharusnya diberikan pujian, sanjungan serta sokongan.

Kita hanya ada dua pilihan saja dalam politik negara ini – terus meyakini PH atau menyerahkan kembali kuasa dalam PRU akan datang kepada UMNO dan BN yang telah kita sama-sama tumbangkan.

Kalau hati dan keyakinan kita masih kepada PH, tanyalah diri kita, tidakkah dengan menolak penyerahan jawatan kepada Anwar itu bermakna kita mahu UMNO dan BN merakus kuasa semula dalam negara ini?

Relaks dulu dan janganlah cepat sangat nak stress.

Takut bila UMNO dan BN berkuasa semula nanti, kita jadi lebih lebih stress lagi akhirnya.

– https://shahbudindotcom.net

.