BERITA SEDIH

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Tanjung Piai, Dr Farid Md Rafik meninggal dunia awal pagi ini kerana serangan jantung.

Beliau yang berusia 43 tahun meninggal dunia di Hospital Pontian, Johor.

Takziah diucapkan kepada keluarganya atas kepulangan ke rahmatullah beliau secara mengejut ini.

Bagaimanapun, sebagaimana peruntukan perlembagaan apabila ada kematian wakil rakyat, maka suatu pilihanraya kecil terpaksa di Tanjung Piai untuk memilih Ahli Parlimen yang baru.

Oleh kerana Dr Farid adalah daripada Bersatu, sudah tentu calon PH bagi pilihanraya kecil itu nanti juga adalah daripada Bersatu.

Tetapi, berikutan sudah wujud kerjasama antara UMNO dengan Pas ketika ini, siapakah calon pembangkang untuk pilihanraya kecil Tanjung Piai itu nanti?

Dalam PRU14 lalu, Dr Farid mengalahkan Wee Jeck Seng daripada MCA yang mewakili BN dan calon Pas, Nordin Othman dengan majoriti 524 undi.

Dr Farid memperolehi 21,255 undi, Wee mendapat 20,731 undi dan Nordin dengan undi sebanyak 2962.

Adakah BN akan mempertaruhkan calon MCA sekali lagi dalam pilihanraya kecil nanti?

Ataukah MCA akan memberi laluan kepada UMNO meletakkan calonnya untuk berhadapan dengan Bersatu bagi membolehkan berlakunya apa yang disebut Melayu lawan Melayu?

Mungkinkah juga UMNO dan MCA akan berlapang dada memberi lorongan terbuka kepada Pas meletakkan calonnya atas nama Piagam Muafakat Nasional?

– https://shahbudindotcom.net

.