PAS ENGGAN BERKONGSI?

Ketika sidang akhbar selepas memetrai Piagam Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas minggu, Hadi Awang berkata, pihaknya mempunyai rancangan untuk memasukkan UMNO dalam pentadbiran kerajaan di negeri Terengganu dan juga Kelantan.

Katanya, UMNO kini adalah keluarga Pas.

“Itu tunggu bila tiba masa… akan lihat kepada perkembangan selanjutnya.

“Memang ada rancangan, itu dalam keluarga kami,” katanya lagi.

Bagaimanapun, hanya selepas enam hari Hadi berkata demikian, nada Pas sudah nampak berlainan.

Naib Presiden Pas, Mohd Amar Nik Abdullah berkata, hubungan kerjasama antara Umno dan PAS yang dimeterai melalui Piagam Muafakat Nasional baru-baru ini umpama persefahaman (MOU) yang masih awal dan hanya bersifat kerjasama longgar.

Justeru katanya, terlalu awal untuk kedua-dua parti itu menubuhkan kerajaan campuran di negeri-negeri yang dikuasai mereka.

“Muafakat Nasional ini lebih kepada MOU, kita meletakkan satu tanda secara rasmi memandangkan sebelum ini kita jalinkan kerjasama tidak rasmi seperti dalam beberapa pilihanraya kecil.

“Jadi apabila kita tandatangani Piagam Muafakat Nasional ini kita rasmikan kerjasama itu, ia lebih kepada garis panduan macam mana hubungan PAS dan Umno.

“Ada yang boleh dibuat dan ada tak boleh buat,” kata beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Semalam, Pas Perlis juga menyatakan tiada keperluan untuk pihaknya menyertai kerajaan negeri itu yang ketika ini dipimpin oleh UMNO.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, oleh kerana kerajaan negeri itu yang diketuai UMNO berjalan dalam keadaan baik ketika ini, tiada keperluan buat parti itu menjadi sebahagian daripada kerajaan Perlis.

Apakah makna semua ini?

Bukankah jika sudah menjalin kerjasama secara rasmi, ia sepatutnya dibuktikan dengan berkongsi mengurus negeri-negeri yang mereka kuasai?

Tentu lebih bermakna kerjasama itu jika dimasukkan UMNO dalam kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu yang ditadbir oleh Pas, sementara Pas pula dimasukkan dalam kerajaan negeri Pahang dan Perlis yang dikuasai UMNO.

Ia juga dengan sendirinya membuatkan rakyat dapat merasakan benar-benar ada keikhlasan dalam kerjasama yang dijalin itu.

Tetapi, mengapa tiba-tiba Pas seolah-olah tidak mahu berkongsi?

Apabila Pas awal-awal sudah mengatakan tidak mahu menyertai kerajaan Perlis, dengan sendirinya UMNO jadi segan silu untuk minta dimasukkan dalam kerajaan Kelantan dan Terengganu.

Apakah ia disebabkan Pahang dan Perlis merupakan negeri yang lebih miskin dan tiada sumber asli berbanding Kelantan dan Terengganu?

Bagaimana dengan perkongsian seterusnya – pembahagian kerusi, jawatan menteri dan Perdana Menteri?

– https://shahbudindotcom.net

.