IMPLIKASI DAN RAHSIA PENYATUAN UMMAH

SEBAGAI seorang Melayu dan Islam apa-apa usaha untuk menyatukan ummah (bangsa) saya mengalu-alukan. Sesiapa yang tidak bersetuju ia boleh dianggap sebagai anti perpaduan. Benci ukhwah.

Sebenarnya perpaduan bagi sebuah negara bukan terbatas kepada satu kaum sahaja, tetapi kaum-kaum lain juga perlu dipersatukan apalagi bagi Malaysia yang dibangunkan oleh rakyatnya pelbagai kaum. Ia perlu dibuat dengan penuh keikhlasan, kesaksamaan dan berpaksikan kepada apa yang Tuhan suruh bukan bermotifkan politik.

Adalah munasabah dan relevan kalau himpunan penyatuan ummah yang diadakan di PWTC semalam bukan sahaja penyatuan sesama Melayu, khasnya Umno dan Pam, tetapi ia perlu membabitkan kaum dan parti lain juga. Sekurang-kurangnya sesama parti-parti pembangkang, baharulah ia boleh dinamakan penyatuan ummah. Tetapi kalau ia terbatas kepada dua kaum dan dua parti sahaja, ia bukan penyatuan seperti mana dituntut oleh Islam yang mahukan penyatuan sejagat.

Cara penyatuan terpilih itu adalah penyatuan bermotif politik dan ia tergelecah daripada maksud penyatuan sebenarnya.

Sambutan hangat.

Sebahagian orang Pam dan Umno di Dewan Merdeka.

Penyatuan semalam disambut hangat oleh orang Melayu yang menjadi ahli dan penyokong Pam dan Umno. Mereka datang dari seluruh negara. Jumlah himpunan mencecah puluhan ribu. Kehadirannya melepasi target 10,000. Saya tidak dapat pastikan berapa, kerana tidak melihat sendiri.

Jumlah kehadiran tidak penting. Moment semalam adalah sejarah, bersatunya dua buah parti dari satu root sama yang selama ini bergaduh sampai pernah tertumpah darah.

Kerana penyatuan semalam adalah penyatuan, gabungan politik (Umno dan Pam) untuk menumbangkan kerajaan, maka ia perlu dilihat dari segi politik apakah kesan kepada himpunan itu. Itu lebih penting daripada menerimanya sebagai bukan penyatuan hakiki seperti disuruh dan dituntut Tuhan.

Seperti dikatakan tadi, himpunan semalam cuba digambarkan bersifat nasional, tetapi nampaknya dari segi praktik ia tidak mencerminkan akan “kenasionalan” itu apabila pemimpin utama daripada parti-parti komponen BN, yang masih setia, MCA dan MIC yang “setia waspada”, berkeadaan “tunggu dan lihat” bergabung dengan Umno tidak kelihatan. MCA dan MIC hanya menghantar wakilnya sahaja, tidak pemimpin utama. Apakah maksudnya kalau mereka hanya hantar wakil dan tidak hadir sendiri? Ertinya penyatuan itu tidak menjerap dan tidak diterima sepenuh hati.

Tanpa kehadiran presiden dan pemimpin utama parti-parti itu ia menunjukkan himpunan semalam gagal melambangkan penyatuan nasional dan mendapat restu sesama oposisi. Kegagalan itu menunjukkan kerjasama politik Umno dan Pam melalui penyatuan itu tidak akan berjaya kerana ia tidak menyeluruh dan mendapat sokongan umum. Penyatuan ummah semalam diragui dan dicurigai oleh kaum lain yang sah menjadi warganegara ini.

Dalam konteks politik, hakikat yang kena diinsafi, kekuatan Umno dan Pam sahaja tidak mencukupi untuk menguasai sekurang-kurang 122 kerusi parlimen untuk memerintah negara ini. Suka atau tidak, gabungan itu memerlukan juga sokongan undi daripada kaum lain. Paling banyak pun kalau gabungan itu berjaya menguasai kerusi-kerusi Melayu tidak lebih 90 kerusi, angka itu tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Realiti politik negara ini mana-mana pakatan atau gabungan memerlukan sokongan tambahan daripada parti dan kaum lain. Tertakdir gabungan Umno Pam dapat 90 kerusi ia masih memerlukan sokongan pihak lain bagi membolehkan ia menubuhkan kerajaan. Apakah penggabungan itu hanya mengharapkan kemenangan yang tidak boleh dilakukan apa-apa itu? Meletakkan kemenangan hanya kepada gabungan Umno – Pam seperti mengharapkan mimpi tanpa tidur atau mahu mengapai pelangi di hujung langit.

Justeru kecacatan dan kegagalan pertama himpunan semalam, ialah tanpa penyertaan serius daripada parti-parti pembangkang lain. Bukan presiden MIC dan MCA sahaja tidak kelihatan presiden parti semut lain yang bergabung dalam Gagasan Sejahtera bersama Pam juga tidak nampak batang hidung. Atau mungkin saya tidak ternampak dalam mana-mana gambar atau kilk video. (Maaf).

Lantaran itu bagi saya, Umno tidak ikhlas atau percaya dengan gabungan itu mereka dapat membentuk kerajaan. Gabungan itu hanya untuk dijadikan helah (batu loncatan) dan jalan macam mana Umno menjamin kerusi yang ada sekarang ini kekal. Dengan kerusi itulah nanti ia akan “gadai” kepada PH yang sudah pasti akan memerintah semula. Jadi gabungan itu adalah helah tertentu daripada mereka oportunis dalam Umno? 

Tiada elemen wow dalam piagam.
Apa yang sangat ditunggu kepada acara semalam bukan sahaja simbolik kepada tandatangani piagam penyatuan itu, tetapi isi atau kandungan piagam itu yang hendak diketahui. Orang menanti apakah kejutan atau tawaran-tawaran yang akan dimeteraikan. Orang ramai ingin tahu lebih dari itu, apakah isi piagam berkenaan, kelainan dengan tawaran Umno dan Pam selama ini. Orang bukan begitu teruja dengan dua tanda tangan Zahid Hamidi dan Hadi Awang.

Kehibaan dan perasaan sebak melihat Zahid berpimpinan tangan dengan Hadi Awang bukan tarikan boleh menjamin kekuatan gabungan itu untuk menguasai Malaysia. Perasaan sebak dan sayu itu akan berlalu begitu sahaja sesudah majlis itu selesai. Orang Melayu memang berjiwa lemah lembut, penyedih dan mudah lupa.

Sedih sekelip mata.

Sebelum ini pun Dewan Merdeka itu sudah kerap kebasahan dengan air mata para perwakilan yang terkesan melihat lakonan dan sandiwara para pemimpinnya. Dewan itu akan digema dengan isak tangis setiap kali dihujung perhimpunan. Bukan itu sahaja mendengar lagu Anak Kecil Main Api pun orang Umno boleh menangis “jebek jebek” (terisak penuh dengan lelehan airmata).

Di Dewan itu juga mereka diberi semangat agar meneruskan perjuangan dan dirayu bersatu, bersatu, bersatu dan jangan mudah mengalah. Melihat kepada jeritan dan semangat dikobarkan semacam langit pun akan runtuh. Al hasilnya apabila mereka pulang ke kawasan dan negeri masing-masing meninggalkan Dewan itu, Umno tetap berada dalam keadaan sama, tidak berubah. Semangat yang dicanang hancur belum pun sampai ke rumah. Umno kalah, bahkan tumbang kerajaanya.

Nah, begitu juga air mata kesebakan kerana melihat dua parti berseteru itu bergabung, ia akan kering, lekang dan tinggal kulut di karpet tebal di Dewan itu sahaja dan tanpa membawa apa-apa erti dan perubahan. Mungkin apa yang baharu dan sesuatu signifikan dari majlis orang Pam dan Umno berjumpa teman baharu. Pemuda “ansarullah” pula dapat melihat “seripundi” Puteri Umno.

Pemasyhuran piagam berkenaan dibaca oleh Annuar Musa dan Takiyuddin Hassan secara berduet mengandung lima perenggan yang cukup umum sifatnya untuk mempertahankan hal-hal yang sudah dilembagakan dalam perlembagaan negara, mempertahankan agama, bangsa, bahasa dan raja. Semuanya sudah menjadi sumber aspirasi bangsa negara ini.

Piagam itu juga menegaskan ke arah muafakat nasional untuk semua bangsa, di samping berjanji mengiktiraf secara kolektif satu citra dan tawaran baru.

Meneliti kepada lima perenggan yang menjadi moke-up piagam itu tidak ada butiran yang mempunyai unsur-unsur “wow” yang boleh mengejutkan orang mendengar dan membacanya.

Apa yang orang ingin tahu, ialah bentuk kerjasama, pengisian dalam kerjasama itu, terma-terma diguna pakai yang lebih kemas dan konkrit. Sekiranya kerjasama itu berjaya mengambil alih kerajaan, apakah tawaran dan tajdid baharu seperti disebut itu. Apakah keutamaan dan priority kerajaan baharu nanti. Dan dalam konteks ini tentulah keistimewaan yang lebih istimewa diberikan kepada Islam dan Melayu. Kalau setakat janji hendak perkasa Islam dan Melayu, janji itu sudah bersepah.

Sepatutnya piagam semalam mencatat dengan jelas dan tegas juzu-juzu (aspek) Islam yang akan diperjuangkan dan dilaksanakan nanti. Misalnya berjanji untuk melaksanakan Hukum Hudud yang dituntut oleh Pam selama ini. Misalnya juga menyatakan nekad untuk mengharamkan parti chauvinis  DAP yang sangat dibenci dan dicemburui itu. Bukankan Pam dan Umno sangat membenci DAP maka wajar dalam piagam itu menyebut dengan jelas agar parti itu diharamkan.

Sayang tidak ada sepatah perkataan menyebut dan menyentuh soal Hudud.  Tanpa memasukkan Hudud ini jelas bahawa pembentukan dan pembinaan piagam itu dibuat oleh mereka yang berfikiran sekular?

Atau pun dari segi pendidikan piagam itu perlu mencatatkan semua sekolah akan menggunakan satu sistem sahaja dan silibus syariah Islam akan diwajibkan di sekolah dan peringkat universiti. Dan paling ditunggu oleh orang Pam kecil dan besar, ialah mahu melihat nama Abdul Hadi dicatat sebagai satu-satunya PM sekiranya gabungan itu berjaya menguasai Malaysia.

Itu semua yang patut menjadi teras dan tunjang utama piagam itu  tetapi sayang ia tidak ada dalam moke-up piagam itu.

Kita tahu piagam yang dibentang semalam bukan bersifat manifesto tetapi wawasan dan gagasan serta iltizam. Katanya butiran dan isi kandungan piagam seterusnya menjadi rahsia kepada para pemimpin kedua-dua buah parti itu. Kenapa dirahsiakan kepada umum, patutnya didedahkan untuk dinilai secara terbuka dan saksama. Bila ia bersifat misteri, kemungkinan ada dua, ia tidak ada apa-apa yang istimewa atau pun baharu, kedua, mungkin rahsia itu sebagai satu perangkap.

Di sini kedua pihak akan saling ragu meragui antara satu sama lain siapakah akan terperangkap. Berpandu kepada sejarah yang dikira akan terperangkap ialah Pam kerana sebelum ini sudah berkali-kali parti itu kena main dengan Umno. Pam dijadikan kayu buruk oleh Umno untuk dijadikan titi sahaja. Setiap kali kesempitan dan kesusahan Umno akan berpaling kepada Pas untuk dijadikan membantunya, Selepas selamat ia akan lupa Pas bahkan akan menghinanya. Umno akan ingat kembali kepada Pam apabila ia terhimpit lagi sekali.

Kahwin lari.
Kesimpulan bagi mereka mengharap piagam itu memberi sesuatu yang lebih menarik dan menyentuh perasaan mereka, nampaknya tidak ada. Dan bagi saya piagam yang ditandatangani semalam, tak ubah hanya sebagai sekeping sijil nikah lari Umno dan Pas sahaja. Piagam itu sijil nikah yang ditanda tangani atau disahkan oleh pendaftar nikah, Zahid Hamidi dan Hadi Awang. Nikahnya pula di Selatan Thai secara kahwin lari.

Bagaimana pun penggabungan Umno Pam itu akan mula menampakkan kesannya sekiranya keduanya benar-benar ikhlas dan jujur. Keadaan ini boleh ditunjukkan dalam kerjasama semua peringkat. Pam dan Umno tidak sahaja sedia menubuhkan jawatankuasa bersama disemua peringkat pelaksanaan penggabungan itu terus dibawa dan dipraktis ke dalam kerajaan sekali.

Lama sebelum ini saya mencadangkan formula 2: 2: 2: 1 boleh dilaksanakan. Pam dan Umno perlu bekerjasama dan membahagi kekuasaan dalam kerajaan negeri yang dimiliki masing-masing. Kerajaan Kelantan dan Terengganu perlu melantik dua orang wakil rakyat Umno sebagai anggota Exco dan keadaan sama di Perlis dan Pahang dimana kerajaan Umno Pahang perlu melantik atau berikan dua kerusi Exco kepada Pam dan satu kerusi Exco di Perlis. Jika ini dapat dilaksanakan maka nampak kerjasama itu dibangun secara serius dan ikhlas. Tindakan ini juga lebih diyakini umum.

Formula berkenaan juga boleh diperluaskan ke dalam aspek lain, PBT atau agensi-agensi yang dimiliki oleh kedua-dua kerajaan itu. Jika ini tidak dapat dilaksanakan, ia tidak akan memberi keyakinan bahawa kerjasama atau gabungan itu sebagai ikhlas, sebaliknya hanya jadi satu mekanisme sahaja kepada individu atau puak tertentu dalam Umno khasnya bagi mencapai maksud dan strategi politiknya.

Dalam pada itu hatta perjalanan dan maksudnya tidak jelas, cacat dan kabur acara penyatuan semalam perlu dilihat penuh waspada oleh pihak kerajaan PH kerana gerakan selepas ini kalau ia diadakan secara agresif, penuh provokatif dan prejudis ia boleh membakar semangat rakyat sedikit sebanyak menjejaskan kestabilan negara dan juga menggugat masa depan kerajaan.

– http://msomelayu.blogspot.com

.