SETELAH BENDERA BULAN BERKIBAR DI PWTC, KENAPA TIDAK DIKIBARKAN SAMA BENDERA UMNO DI IBU PEJABAT PAS?

Pas nampaknya begitu gembira apabila bendera parti mereka akhirnya berkibar di PWTC, tempat di mana terletaknya ibu pejabat UMNO.

Setelah bertahun-tahun menjalin kerjasama, sebelum ini secara sembunyi-sembunyi dan dalam gelap sebagai kuasa ketiga untuk memecahkan undi serta untuk memberi kelebihan kepada BN, tetapi kini hubungan mereka akan diikat dalam piagam yang akan menjadikan “ikatan perkahwinan” secara rasmi, keterujaan Pas melihat bendera mereka dikibarkan di ibu pejabat UMNO tidak dapat lagi disembunyikan.

Bagi Pas, berkibarnya lambang bulan di ibu pejabat UMNO bersebelahan dengan Sang Saka Bangsa adalah detik bersejarah dan sukar digambarkan dengan kata-kata.

Iyalah…berpuluh tahun bermusuh dengan sehingga Pas melabel UMNO sebagai parti kafir yang menyebabkan berlakunya sembahyang dua imam, memulaukan kenduri dan ada pasangan yang terpaksa bernikah dua kali, manakala UMNO pula melihat Pas sebagai parti sesat, bekerjasamanya kedua-dua parti itu memang tidak pernah terbayangkan oleh sesiapa.

Rasa bangga Pas dengan berkibarnya bendera berlambang bukan di PWTC itu bagaimanapun, tentu saja bersekali kerana UMNO masih belum berjaya mengibarkan benderanya, sama di Pusat Tarbiyah Pas di Taman Melewar atau di ibu pejabat Pas di Jalan Raja Laut.

Ini bermakna, bagi Pas, seolah-olah hanya mereka yang berjaya memasuki kubu UMNO, tetapi UMNO masih belum berjaya masuk ke kubu Pas.

Secara tidak langsung memberi erti UMNO hanya boleh berbangga dengan kerjasama bersama Pas ini jika setelah bendera keris mereka berjaya dikibarkan di Pusat Tarbiyah Taman Melewar atau di Ibu Pas di Jalan Raja Laut.

Dalam hal ini, kenapakah, sempena Himpunan Penyatuan Ummah dan majlis menandatangani piagam kerjasama yang akan berlaku pada 14 September ini, Pas masih tidak terbuka hati untuk meletakkan bendera UMNO di Ibu Pejabat parti atau di Pusat Tarbiyahnya?

Apakah Pas masih ada perasaan “geli” untuk meletakkan bendera UMNO di tempat mereka?

Bukankah, jika benar-benar sudah seia sekata dan ikhlas untuk bekerjasama, Pas dan UMNO sepatutnya saling meletakkan bendera kedua-dua parti di kubu masing-masing?

Jadi, dengan hanya UMNO membenarkan Pas meletakkan bendera parti itu di bangunannya, sementara Pas tidak pula ada usaha mahu mengibarkan bendera UMNO di bangunan miliknya, apa makna rasa bangga Pas itu sebenarnya?

Ikhlaskah juga luahan rass bangga yang dilafazkan oleh Pas tentang berkibarnya bendera bulan di PWTC itu?

– https://shahbudindotcom.net

.