BUKAN SAJA JOHOR, LAIN2 PH NEGERI PUN SAMA JUGA

Rasanya masalah ini bukan berlaku di Johor saja, tetapi di negeri-negeri lain pun sama juga keadaannya.

Baik di negeri di mana PH menjadi kerajaan mahu pun mereka sebagai pembangkang, keadaannya sama saja.

Tidak seperti sebelum PRU14 lalu, di mana PH negeri-negeri nampak aktif dengan selalu bermesyuarat dan beberapa negeri turut mengadakan konvensyen masing-masing, keadaan itu nampaknya tidak berlaku lagi sekarang ini.

Apa sudah jadi?

Kenapa parti PKR, DAP, Amanah dan Bersatu di negeri-negeri seolah-olah tidak nampak lagi kesepakatannya dan seperti membawa haluan masing-masing?

Masihkah PH negeri-negeri kerap bermesyuarat dan bila kali terakhir ia diadakan?

Selepas PRU14, kenapa tidak ada PH mahu mengadakan konvensyen lagi?

Sibuk dengan tugas masing-masing dalam kerajaan?

Yang lebih malang, PH di peringkat Pusat pun sama saja keadaannya.

Walaupun Majlis Presiden PH yang dipengerusikan oleh Tun Mahathir Mohamad tetap mengadakan mesyuarat secara bulanan, tetapi kali terakhir PH mengadakan konvensyen peringkat kebangsaan ialah pada 6 Januari 2018 yang lalu.

Kenapa selepas menang PRU14 dengan kejayaan menumbangkan BN dan kini menjadi kerajaan, PH tidak lagi mengadakan konvensyennya?

Apakah PH sudah rasa cukup kuat dengan kedudukan sebagai kerajaan sekarang atau mereka tidak mahu menang lagi dalam PRU15 akan datang nanti?

– https://shahbudindotcom.net

.