PENYATUAN UMMAH PAM – UMNO VERSI POLITIK

RENCANA KHAS 

Pemimpin Umno dan Pam bermesyuarat. Foto FTM.

DI DALAM al Quran Nur Karim Allah s.w.t. menyeru dan memberi peringatan kepada hamba-Nya supaya bersatu padu dan tidak berpecah belah. Sejajar itu juga jika ada persengketaan antara dua pihak Allah meminta agar ia didamaikan. Firman-Nya yang popular sering dirujuk untuk ini ialah ayat surah Ali Imran 103 bermaksud: Berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah.

Manakala firman bersangkutan adalah dalam surah al Hujurat ayat 10, bermaksud: “Sebenarnya orang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang berbalah), dan bertakwalah agar mendapat rahmat daripada Allah.”

Dalam ayat ini ada tugas dan tanggungjawab besar manusia yakni menjadi pendamai kepada pihak yang berbalah. Ertinya tugasan ini sangat penting kerana tanpa melaksanakannya mereka (pendamai, membiarkan perbalahan) menyebabkan semua pihak tidak mendapat rahmat disebabkan kegagalan mendamaikan dua pihak bersengketa. Maknanya persengketaan tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Peringatan dan tuntutan daripada dua ayat itu sangat besar sekali dan ia memberi jalan bagaimana untuk melihat sesebuah masyarakat dan negara itu maju. Kemajuan sesebuah negara itu dapat dicapai apabila rakyat bersatu padu.  Sesebuah negara itu akan aman makmur apabila tidak ada sengketa, rusuhan, perbalahan terjadi. Jadi hikmah bersatu padu dan tidak berpecah belah sungguh besar dan indah sekali. Perlu ingat perpaduan (unity) adalah modal utama kemajuan kepada sesebuah negara.

Penyatuan ummah anjuran Pam-Umno.

Mengenai rancangan Parti Islam (Agama) Se Malaysia (PAM) dan UMNO yang kini sedang mendendang lagu penyatuan ummah ia adalah berdasarkan kepada firman dan ayat Tuhan diatas itu. Bagi orang yang beriman kepada Allah dan bernabikan Muhammad s.a.w. sangat teruja apabila disebut perkataan “ummah”. Mereka akan menjadi lebih damai dengan tiba-tiba bila disebut “penyatuan ummah”.  Makanya apabila Pam dan Umno hendak membentuk penyatuan ummah ia satu kerja yang baik (amal maaruf) yang perlu disokong. Dengan mengambil kira hikmah dan keberkatan daripada berkerjasama, dan tidak berpecah belah nanti, pastilah tujuan itu baik sekali.

Sebelum itu baik kita fahami dahulu perkataan “ummah” termalogi yang digunapakai oleh rancangan penyatuan itu. Bila disebut “ummah” kita mudah terbawa kepada pengertian teologi, ianya sebagai Islam, Muslim. Walhal “ummah” adalah sama pengertian dengan  arti “masyarakat” (komuniti) atau “bangsa”. Di sini jangan rigid kan perkataan “ummah” itu dengan kalangan Islam sahaja, kononnya “ummah” itu tidak termasuk orang atau masyarakat bukan Islam. Jangan mudah meng”agama”kan perkataan ummah itu sehingga kita khilaf dalam memahami dan bertindak.

Tanda tangani Piagam.

Pam dan Umno akan menandatangani piagam penyatuan ummah pada 14 September ini bertempat di PWTC, Kuala Lumpur. Seluruh rakyat diseru agar menghadiri bagi menyaksikan upacara itu. Caning dan gong gendang kedamaian juga dipalu untuk menarik perhatian. Sudah bergemercingan seantero nusa. Ia disifatkan upacara bersejarah untuk bangsa Melayu negara ini. Dan ada yang menganggap penyatuan itu sebagai tuah dan koramah setelah Dr Mahathir Mohamad tidak lagi memimpin Umno. Aduhai.

Agenda itu menimbulkan pro kontra di kalangan orang ramai. Apa lagi komuniti politik membuat tafsiran, ulasan dan spekulasi masing-masing. Bagi yang bersifat jauhari mengenal maknikam sudah dapat membaca kilau dalam kilat dengan agenda itu.

Bagi orang Pam khasnya yang tidak menjenguk ke luar, tidak membaca kitab-kitab lain kecuali menghafal perukunan, hadith, sirah dan Quran juzu amma, dan menutup telinga kepada percakapan bukan dari pemimpinnya, menganggap kehadiran pada majlis itu sebagai wajib (compulsory)

Kehadiran ke PWTC itu adalah sebagai jihad dimana jika berlaku musibah dan kemalangan saat dalam perjalanan pergi dan pulang dari majlis itu disifat sebagai jihad dan jika mati ianya digolongkan sebagai mati syahid yang tempatnya Jannah.  Begitu sekali penerimaan dan keyakinan orang Pam kepada doktrin perjuangannya.

Di sini kita tidak menafikan kepentingan bersatu padu, (ukhuwah) berpegang kepada tali Allah, dan tidak dapat menolak kerugian terpeluk kalau kita berpecah belah. Tetapi soalnya disini apakah penyatuan ummah dilakukan itu menepati (relevan)  dengan kehendak atau maksud ayat Quran dalam surah Ali Imran tadi? Apakah ia dibuat berdasarkan roh seruan itu, atau pun ia hanya diambil fizikal (seruan tanpa menghayati tujuannya) sahaja tetapi membuang roh maka ia jadi ada motif lain?

Tujuan dan maksud penyatuan itu dicurigai apabila ia diukur timbangkan dengan apa yang dimaksudkan Allah itu dengan apa yang sedang berlaku. Ada beberapa perkara menyebabkan penyatuan anjuran Pam dan Umno itu persis melencong daripada seruan dan tuntutan dalam surah Ali Imran itu;

  1. 1.Penyatuan ummah itu hanya dilakukan kepada sebahagian ummah atau rakyat sahaja, yakni di kalangan orang-orang Melayu. Sedangkan ummah dimaksudkan daripada seruan itu mencakupi seluruh manusia, semua bangsa dan setiap mereka yang bermukim dalam sesebuah negara.

Ertinya dalam konteks bernegara, mereka yang termasuk dalam ummah itu adalah juga orang-orang Cina, India, Dayak, Kadazan, Dusun, Murut, Orang Asli dan lain-lain.  Jadi mereka ini adalah automatik tergolong dalam pradiket “Ummah”.  Justeru mereka juga harus diseru dan diajak sama.

  1. 2.Kenyataan Timbalan Presiden Pam Tuan Ibrahim Tuan Man jelas bahawa penyatuan itu dikalangan Melayu sahaja, apabila beliau berkata tujuan penyatuan itu untuk menyatukan 70% kekuatan undi Melayu yang dipecahkan oleh PH. Apa maksudnya ini? Jelas ianya hanya tumpu kepada Melayu sahaja. Makanya penyatuan itu bersifat bertompok “assobiyah jahiliah.”
  2. 3.Menurut Setiausaha Agung Umno Annuar Musa isi kandungan piagam itu tidak akan didedahkan sepenuhnya kerana ia menjadi rahsia dalaman kepada pemimpin kedua-dua buah paritu itu, ini menjelaskan bahawa piagam itu tidak telus. Kenapa harus ada sesuatu yang hendak dirahsiakan. Berkemungkinan rahsia itu bagi mengelakkan isi perjanjian (Piagam) itu diketahui oleh ummah, khususnya bangsa lain menyebabkan mereka akan menolak atau membantahnya.
  3. Penyatuan itu seharusnya membabitkan semua orang Melayu dalam semua parti bukan sahaja daripada Pam dan Umno. Kalau penyatuan Melayu itu dibuat dalam kerangka parti, maka parti-parti itu juga perlu dipanggil sama untuk bersatu. Pihak penganjur, Umno Pam, perlu mengajak Melayu dalam Bersatu, Amanah, PKR dan DAP.

Penyatuan paling afdal dan utama yang perlu dilakukan oleh Pam dan Umno adalah penyatuan sesama sendiri, menyatu, mencantum balik perpecahan dialami oleh parti itu. Mereka kena utamakan penyatuan sesama mereka terlebih dahulu sebelum mengajak kelompok luar bersatu. Misalnya Pas perlu mengajak orang-orang Amanah untuk bersatu dengan mereka. Bukankah orang-orang Amanah dahulu adalah saudara, kawan dan sahabat mereka?

Sepatutnya keperluan dan kepentingan untuk berbuat begini, sangat diarifi oleh orang-orang Pas, kerana ada kata-kata Nabi Muhammad s.a.w. yang diriwayatkan berbunyi; “Tidak halal bagi seseorang Muslim tidak bertegur sapa kepada saudaranya lebih daripada tiga hari.” Riwayat Abu Daud dan al Bukhari.

Manakala dalam riwayat lain pula menyebut lebih keras lagi, bermaksud: “Tidak masuk Syurga sesiapa memutuskan silaturahim.” (Al Bukhari). Memutuskan hubungan politik sampai mencerca (ta’afirin) adalah termasuk dalam kategori memutus silaturahim?

Demikian juga dengan orang-orang Umno, mereka harus menyatu sesama sendiri terlebih dahulu, mengajak bekas ahlinya yang kini menyertai Bersatu.

Tetapi apakah sedia dan sanggup mereka lakukan? Tidak. Inilah yang dikatakan penyatuan itu tidak ikhlas dan bukan bertolak daripada perintah dan anjuran Allah tadi. “Hendaklah kamu berpegang kepada tali Allah dan jangan berpecah belah.”

Selepas mereka mengajak saudara mereka yang dahulu berada dalam satu parti bersama, baharulah mereka perluaskan skop penyatuan itu kepada ummah atau rakyat di luar, meliputi ahli berbangsa Melayu sekurang-kurangnya di dalam parti PKR dan DAP juga. Mereka tidak boleh meninggalkan Melayu dalam kedua-dua parti itu. Kemelayuan dan keIslaman mereka tidak termansuh apabila mereka menjadi ahli parti itu. Syahadat mereka masih tetap berbunyi; “aku naik saksi tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah rasulnya.”

Bukan itu sahaja, berdasarkan kepada semangat penyatuan yang dituntut tadi, ahli-ahli PKR dan DAP berbangsa bukan Melayu dan beragama Islam juga perlu diajak sama bersatu kerana mereka adalah rakyat negara ini. Mana-mana rakyat negara ini atau mereka bermukim di sini secara automatik kena bertanggungjawab dan amanah kepada tempat dimana bumi dipijak dan langit dijunjung, mereka mereka harus bersatu. Begitulah cara bersatu (ukhwah) yang dianjurkan Islam.

Malangnya agenda penyatuan diagendakan Umno dan Pam itu tidak merangkumi keperluan dan kepentingan itu semua. Ia hanya terbatas kepada penyatuan Melayu sahaja. Disini menjelaskan bahawa konsep penyatuan yang hendak dibawa itu bukan syumul (ideal) maka ia bertentangan dengan semangat penyatuan sebenar.

Penyatuan bermotif politik.

Apabila penyatuan dirangka itu bermotifkan politik maka ia tidak kekal lama. Sudah lumrah dan menjadi sunatullah sesuatu (kebatilan) yang bertentangan dengan prinsip kebenaran (haq) ia akan musnah. Begitu juga dengan penyatuan ummah anjuran Umno dan Pam itu. Apa lagi maksud dan tujuan penyatuan dibuat sangat jelas, adalah untuk menentang kerajaan PH yang mana sifatnya sementara dan berhelah. Dengan penyatuan itu nanti Pam dan Umno berharap akan berlaku perlawanan satu lawan satu dengan PH dalam pilihan raya akan datang. Mereka bermaksud untuk menumbangkan kerajaan PH dan kerja menumbangkan itu sebagai fardu wajib.

Perjuangan sebegitu adalah batil kerana kewujudan kerajaan sekarang bagaimana rupa dan kapasitinya ia adalah halal dari sisi demokrasi. Tidak pantas dihukum sebagai “wajib” menjatuhkannya seperti mana kata seorang ulama “gogat” daripada Pam. Apakah kesalahan kerajaan yang ada kini maka ia hendak ditumbangkan. Apakah ia berdasarkan kertas strategi disebarkan kerana kerajaan hari ini kononnya dikuasai oleh DAP?

Tidak ada satu bukti jelas dan berfakta menunjukkan kerajaan hari ini dikuasai atau menjadi tunggang DAP. Ia hanya tohmahan, provokasi dan persepsi semata-mata. Menganggap kerajaan hari ini dikuasai DAP adalah prejudis liar.

Justeru kalau ada orang menganggap penyatuan itu bermotif politik, dan ia jauh dari kebenarannya (haqiqi), tepat. Maka kalau Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof mengingatkan agar jangan bersetuju dengan Piagam yang Meragam itu tepat sekali.

Menurut Mujahid piagam itu hanya sebagai keperluan politik kesepakatan untuk kekal bersaing. Beliau berharap jangan kedua-dua parti Melayu itu tertipu dengan ilusi mahukan kuasa dan “dendam” untuk jatuhkan PH, menjadi motivasi lalu memperjudikan nasib agama, bangsa dan negara dengan taktikal politik perkauman dan agama sempit yang akhirnya menenggelamkan bahtera semua.

Sesungguhnya penyatuan ummah yang akan dilambangkan menerusi menandatangani Piagam tanggal 14 September adalah penyatuan yang palsu dan bukan ikhlas, seratus peratus bermotifkan politik.

– http://msomelayu.blogspot.com

.