MENANTI KERISAUAN AMANAH KEPADA PENGGABUNGAN UMNO – PAM

Dato' Dr. Mujahid Yusof Rawa

SELEPAS saya menghantar status dalam Fb menyinggung tidak ada pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) yang memberi ulasan serta menunjukkan rasa bimbang dan cemas kepada penggabungan Umno dengan Pas yang akan dimanterai pada 14 September ini, Dr Mujahid Yusof mengirimkan catatan panjang lebarnya mengenai hal itu, sebagai menjawab dan memaklumkan kepada saya yang beliau sudah pun menjalankan kerja dan tanggungjawabnya, memberi reaksi.

Dalam tulisan beliau bertajuk PIAGAM YANG MERAGAM itu disiapkan pada 8 September, 2019 dimuatkan dalam Fbnya, beliau menyentuh hal penggabungan tersebut sambil memberi pencerahan dengan menyentuh tiga aspek tentang ketidak sempurnaan agenda penggabungan itu.

Apa disimpulkan Mujahid mengenai penggabungan Umno – Pam itu adalah taktikal dan strategi politik semata-mata bukan hal yang hakiki yang terpuji dan munasabah.

Membaca dan memahami apa ditulis Mujahid itu menepati apa yang saya singgungkan itu. Setidak-tidaknya reaksi begitulah yang dimahui daripada pemimpin Amanah, tidak mereka hanya melihat dengan mata terkulat-kulat ke atas strategi dibentuk musuh, Pam dan Umno itu.  Apa lagi melupai kepentingan dan masa depan parti kerana tertidur dengan jawatan.

Harus ada ulasan dan bacaan sebagai kaunter daripada Amanah berhubung penggabungan Umno – Pam itu kerana ia dilihat bakal memberi bekas dan kesan kepada Amanah. Pencerahan itu tentang taktik dan strategi (kebohongan) penggabungan itu akan dapat dijadikan formula dan asas untuk ahli dan penyokong Amanah khasnya dan rakyat amnya agar tahu dan sedar dengan permainan politik licik oposisi memperalat bangsa dan agama sebagai sentimen politik.

Tanggungjawab itu penting kerana sasaran Amanah untuk mendapat sokongan ialah mengajak  penyokong atas pagar dan penyokong liberal Pas dan dalam masa sama mempamerkan kemampuan Amanah untuk jadi parti Islam alternatif kepada Pam. Sehingga hari ini tidak begitu terserlah Amanah mampu membuktikan ia berjaya menjadi alternatif atau seperti kedudukan Pam dalam Pakatan Rakyat dahulu.

Tiga perkara disebut Mujahid dalam tulisan itu, beliau sangat menyakini gabungan itu strategi politik untuk berhadapan dengan PH secara satu lawan satu dalam pilihan raya umum akan datang. Manakala meragui apakah pembinaan gabungan itu, Pam benar-benar hendak membina ummah dengan penggabungan itu. Bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu jawabanya, tidak.

“Ia adalah sekadar strategi politik untuk bersaing dan taktikal ke arah mendapat sokongan ialah dengan memakai retorik Ummah, Melayu dan Islam,” tegas Mujahid.

Ertinya bagi Mujahid penggabungan itu yang dilihat sebagai satu sejarah dan moment bangsa adalah retorik dan mitos semata-mata yang tidak perlu dilayani sebagai satu peristiwa penting melainkan majlis untuk memperdaya rakyat khasnya Melayu.

Dalam tulisan itu beliau turut mempersoalkan dalam penggabungan itu pihak mana yang mempiagamkan (mengena) pihak mana. Apakah Pam akan mempiagamkan Umno atau Umno akan mempiagamkan Pam. Apa boleh difaham di sini, apakah Pam akan menyusun atur dan menjadi naqid kepada gabungan itu atau pun Umno.?

Sekiranya Pam mempiagam – menyusun aturkan Umno ia mungkin dapat diterima kerana konsep perjuangan Pam berdasar Quran dan Hadis yang mana konsep itu dinafikan Umno selama ini. Atau sebaliknya jika Umno yang akan menyusun Pam dengan ideologi perjuangannya berteras nasionalisme dan berbudayakan materialistik maka jelas Pam hanya menjadi dan dijadikan alat sahaja dalam agenda itu. Ta’awun siyasi Pam dengan Umno itu tidak lain dan tidak bukan bertolak dari hasad dengki dan kebencian Pam kepada Amanah dan berpolitik kaki tidak jejak ke bumi, hanya mata terpana-pana merenung bulan.

Dalam melihat kemurnian penggabungan itu Mujahid bertanya apakah keduanya sudah menyelesai isu lama yang membelit parti berkenaan. Pam pernah mengeluarkan “Amanat Haji Hadi” yang mengkafirkan Umno dan Umno pula pernah menuduh Pas sebagai “Parti Ajaran Sesat”. Beliau bertanya apakah kedua-dua tuduhan dan dakwaan itu sudah ditarik balik? Penarikan balik secara umum (apologetik) terhadap dakwaan dan tuduhan itu penting bagi menunjukkan Pam dan Umno sudah insaf dengan keterlanjuran dan kebejatan mereka sebelum ini.

Bagi Mujahid kalau kedua tuduhan dan dakwaan itu tidak ditarik balik maka jelas dan sahih selama ini Pam yang dakwa mewakili Islam dan Umno yang dakwa mewakili Melayu hanyalah mainan politik dan tidak ada kena mengena dengan perjuangan bangsa Melayu mahupun ia hanya soal akidah perjuangan!

Suatu yang melucukan, nadanya Parti Ajaran Sesat (PAS) dan UMNO Kafir berpiagam?

Perkara kedua disoalkan Mujahid, apakah piagam yang dicipta itu untuk kepentingan Melayu – Islam atau adakah kepentingan nasional dan memelihara perpaduan nasional? Melihat kepada gaya ucapan dan tema Islam terancam, Melayu hilang kuasa dan perpaduan ummah mengisyaratkan pada pengamatannya ia adalah kepentingan perpaduan Melayu sahaja. Di sini menurut Mujahid mereka menerima penggabungan itu untuk kepentingan Islam jelas tertipu di siang hari.

Kerana itu katanya, ada suara-suara dari UMNO sendiri yang kurang senang dengan keterbatasan ini kerana setelah 62 tahun merdeka, piagam masih dalam kerangka berfikir yang ketinggalan zaman.  Sebab itulah juga Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan mahu menggantikan slogan perpaduan Ummah kepada Perpaduan Nasional.

Apapun beliau yakin keterbatasan piagam dengan retorik Melayu-Islam akan terpaksa dinilai semula kepada konteks Malaysia yang lebih besar dan luas walaupun sekadar ‘lips service’ sebab ia adalah realiti Malaysia.

Justeru itu beliau persoalkan, apakah setelah Umno bersama PAS kini, ia telah ‘terjun’ lari meninggalkan bahtera mempertahankan identiti kepelbagaian negara yang diperjuang selama ini? Begitu juga tanya beliau apa jadi kepada PAS yang semasa pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai Mursyidul Am mengusung slogan PAS For All! Sudah buangkah slogan itu? Perpaduan Nasional atau PAS for Melayu?  Mujahid melempar kekeliruannya.

Ertinya baik Umno maupun Pam telah melupai rangka dan matlamat utama perjuangan mereka yang lebih baik dan tepat, dan sedia merosakkannya semata-mata ingin bergabung yang dibina atas memuaskan nafsu politik.

Perkara ketiga dibangkitkan Mujahid ialah; mengenai dasar pembangunan negara yang hendak dibawa oleh gabungan itu? PH menang menurutnya bukan kerana retorik kaum atau agama sempit tetapi hasrat memerangi rasuah, mereformasikan secara keinstitusian bidang parlimen, perundangan dan kehakiman serta kebebasan bersuara dan media.

PH mengemukakan dasar kebertanggungjawaban dan ketelusan pentadbiran dan menolak salah guna kuasa politik. Semua dasar PH dikemukakan kepada rakyat adalah akibat dari kecuaian BN untuk menjaga asas-asas penting pemerintahan yang baik dan mempertahankan dasar pembangunan negara yang mampan.

Jadi apabila pakatan itu hendak memusnahkan PH menerusi pakatan itu dimanakah perjuangan Pam selama ini yang menentang kebobrokan BN, alih-alih kini hendak berkerjasama pula. Di sinilah Pam nampak telor. (Pelek), soalnya.

Mujahid juga mempersoalkan apakah PM istiqamah dalam menentang rasuah? Kerana kalau benar Pam istiqamah Pam sepatutnya perlu bekerjasama dengan PH bukannya dengan BN yang telah diketahui akan kebusukan dan kebobrokannya dan sejak lebih 60 tahun lalu menzaliminya.

Dalam tulisan itu Mujahid menghurai dan mencari makna logik kerjasama itu dibentuk kerana keduanya saling bertentangan selama ini. Cuma sayang sedikit dalam tulisan itu Mujahid tidak cuba membaca dan memberi bayangan implikasi dan kesan kepada penggabungan itu. Sepatut disamping beliau menghuraikan kecacatan dan kepincangan gabungan itu beliau tidak terlupa memberi sedikit gambaran implikasinya kepada PH amnya dan Amanah amnya.

Inilah yang saya minta dan tunggu pandangan dan usaha daripada para pemimpin Amanah khasnya untuk membendung kerjasama Umno Pam itu agar tidak sampai mekecundangkan mereka kelak. Para pemimpin Amanah tidak perlu menceritakan ketidak munsabahan, kontradik kedua parti yang bergabung itu sebaliknya mengemukakan tangkisan dan formula lanjut agar rakyat tidak terpengaruh dengan retorik piagam penggabungan itu kelak.

Misalnya retorika menjadikan Islam dan bangsa sebagai modal ke arah penggabungan itu perlu diperjelaskan oleh pemimpin Amanah yang ia adalah retorik Umno dan Pas sahaja. Lebih afdal lagi dalam masa sama, Amanah perlu lebih menonjol dan membuktikan ia adalah parti yang boleh menjadi alternatif dan harapan dalam konteks kepentingan Islam dalam PH dan bukannya parti yang sekadar mencukupkan gantang sahaja.

Amanah perlu mempamerkan ia sebagai parti yang progresif sekaligus menghapuskan fahaman assobiyyah, memperluaskan skop perjuangan bangsa dan Islam yang lebih menyeluruh tidak rigid dan sempit seperti mana difahami oleh Pam.

Dan selepas ini kita mahu dengar pula apa komen dan ulasan Presiden Mohamad Sabu, Timbalan Presiden Salahuddin Ayub, serta Naib-Naib Husam Musa, Mahfuz Omar, Ketua Wanita Dr Mariah Mahmud dan lain-lain berhubung penggabungan dan piagam ta’awun syiasi itu.

– http://msomelayu.blogspot.com/2019/09/menanti-kerisauan-amanah-kepada.html

.