KALAU PENYATUAN NASIONAL, KENAPA HANYA ADA LOGO PAS DAN UMNO?

Projek kerjasama UMNO dan Pas yang sebelum ini bertemakan penyatuan ummah dilaporkan akan ditukar kepada penyatuan nasional.

Menurut sumber, dengan penggunaan kalimah “ummah” ada pihak dalam parti terbabit bimbang ia disalahertikan kepada agenda khusus untuk orang Islam semata-mata.

“Penyatuan nasional mungkin menjadi tema baru bagi piagam kerjasama Umno dan PAS yang akan dimeterai pada 14 September nanti.

“Kedua-dua parti mahu agenda itu dilihat lebih inklusif dan tidak berfokus semata-mata kepada agenda untuk umat Melayu dan Islam,” kata satu sumber yang rapat dengan kedua-dua parti.

Pada 31 Ogos lalu, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan memaklumkan pihaknya memutuskan untuk menukar tema penyatuan ummah yang digunakan secara meluas ketika ini kepada nama lain.

Menurut Mohamad, perkara itu diputuskan ekoran terdapat pertikaian berhubung tema tersebut, selain mahu menggambarkan penyertaan semua kaum dalam penyatuan tersebut.

Tetapi, apa yang musykilnya, jika tema penyatuan nasional mahu digunakan, mengapakah logo yang digunakan hanya menggunakan logo UMNO dan Pas saja?

Malah baju T yang dikatakan akan dipakai oleh mereka yang hadir pada 14 September nanti juga hanya menampakkan logo UMNO dan Pas?

Kenapa tidak dilibatkan sekali, misalnya logo MCA dan MIC jika tema penyatuan nasional mahu digunakan dan penyertaan semua kaum diperlukan?

Kalau hanya UMNO dan Pas yang ditonjolkan, di mana penyatuan nasionalnya?

Bukankah lebih baik guna saja tema penyatuan ummah sebagaimana rancangan asal?

Janganlah tipu-tipu, guna tema penyatuan nasional tapi hanya menonjolkan dua logo parti Melayu saja.

Lagi pun, bukankah juga UMNO dan Pas sekarang ini sedang giat berkempen memboikot barangan keluaran bukan Melayu?

Maka, terlanjur dengan itu, tidakkah sepatutnya diboikot sekali pengundi bukan Melayu untuk menghadapi PRU akan datang?

– https://shahbudindotcom.net

.