SEBELUM MAHU HAPUSKAN PENCEN PENJAWAT AWAM, HAPUSKAN PENCEN MENTERI LEBIH DULU

Kerajaan dilaporkan dalam perancangan untuk menghapuskan skim pencen dengan lantikan baru penjawat awam di masa akan datang hanya akan dilakukan secara kontrak.

Lantikan kontrak itu adalah bagi menggantikan skim tetap dan berpencen yang menjadi amalan selama ini.

Dilaporkan bahawa perubahan ini dapat menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM5 bilion setahun di mana sekarang ini bayaran pencen yang ditanggung kerajaan mencecah RM28 bilion setahun.

Wajarkah cadangan Jabatan Perkhidmatan Awam ini?

Sedarkah kerajaan bahawa majoriti penjawat awam ialah orang Melayu dan Bumiputera?

Apakah kerajaan benar-benar sudah ketiadaan wang atau PH yang menjadi kerajaan sekarang tidak lagi memerlukan undi penjawat awam yang berjumlah kira-kira 1.6 juta orang ramainya?

Jika masih memerlukan undi mereka yang kita tahu ramai daripada mereka menjadi pengundi PH dalam pilihanraya umum lalu, kerajaan mesti menolak cadangan Jabatan Perkhidmatan Awam ini.

Cadangan ini langsung tidak praktikal dan hanya menunjukkan kelemahan PH yang baru 15 bulan menjadi kerajaan.

Ia secara langsung akan menyebabkan penjawat awam tidak lagi menyokong PH dan mereka akan beralih kembali mengundi BN dalam pilihanraya akan datang.

Lagi pula, jika mahu menjimatkan wang kerajaan, bukan skim pencen untuk penjawat awam yang perlu dihapuskan.

Sebaliknya, kerajaan sepatutnya terlebih dahulu menghapuskan skim pencen untuk menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen yang selama ini layak menikmatinya jika mereka berkhidmat melebihi tempoh tiga tahun.

Sesungguhnya dengan hanya tiga tahun menjadi menteri, timbalan menteri atau Ahli Parlimen tetapi sudah layak menikmati pencen puluhan ribu setiap bulan selepas berusia 55 tahun, ini lagi merupakan suatu pembaziran yang nyata dalam perbelanjaan wang kerajaan.

Dalam tempoh tiga tahun berkhidmat, tidak memadai sumbangan mereka dalam khidmat kepada rakyat dan negara yang melayakkan untuk diberi pencen penuh dengan menggunakan dana kerajaan.

Seharusnya selepas berkhidmat sekurang-kurangnya dua penggal atau 10 tahun, barulah menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen layak menikmati pencen yang sama seperti kakitangan awam yang biasanya perlu mencurah bakti kepada kerajaan melebihi 25 tahun sebelum bersara.

-https://shahbudindotcom.net/

.