MENGENANG TARIKH 2 SEPTEMBER 1998

Semalam, 2 September adalah tarikh yang sentiasa diingati setiap kali kita memperkatakan tentang kebangkitan reformasi di negara ini.

Bermula 2 September 1998 di mana ketika itu Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kemudian pada sebelah malam keesokannya, keahlian UMNOnya pula dilucutkan yang bermakna semua jawatan beliau dalam parti itu gugur secara automatik, di situlah titik mula kebangkitan reformasi yang sehingga akhirnya BN berjaya ditumbangkan pada 9 Mei 2018 yang lalu.

Tanpa pemecatan Anwar, PKR tidak akan wujud dan kebangkitan reformasi juga tidak mungkin berlaku.

Tanpa pemecatan Anwar, tidak mungkin wujud sebuah gabungan pembangkang yang kuat yang setelah 20 tahun berjuang, berjaya menjadi kerajaan menggantikan BN.

Tanpa pemecatan Anwar, BN tentu saja masih jadi kerajaan sampai sekarang ini.

Tanpa pemecatan Anwar, Tun Mahathir Mohamad barangkali tidak keluar UMNO sampai dua kali dalam hidupnya.

Tanpa pemecatan Anwar, Tun Mahathir tidak mungkin menubuhkan Bersatu, berbaik dan bergabung semula dengan Anwar yang pernah dipecatnya semata-mata untuk menumbangkan BN yang pernah meletakkan dirinya sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun.

Pendeknya, tanpa peristiwa pemecatan Anwar, banyak perkara tidak berlaku di negara kita ini.

Malah, jika kita sebagai rakyat merasa bertuah kerana kerajaan BN berjaya ditukar pada 2018 lalu, haruslah diingat segala-galanya bermula dengan beliau dipecat pada tarikh 2 September 1998 itu.

Tanpa pemecatan Anwar, tanpa beliau menubuhkan PKR dan kemudian menggabungkan parti-parti pembangkang serta sejak itu melaungkan reformasi dan perubahan, biar bagaimana besar sekali pun skandal yang dilakukan oleh sesiapa yang menjadi Perdana Menteri, BN tetap sukar untuk ditumbangkan.

Hanya kerana tapak untuk perubahan itu sudah tersedia sejak 2 September 1998, itulah yang sebenarnya memberi dorongan paling kuat untuk Tun Mahathir sedia berbaik semula dengan Anwar, bergabung, berpadu tenaga serta menggunakan logo PKR untuk menumbangkan BN pada PRU14 lalu.

Lantaran itu, mereka yang hari ini banyak menuai hasil perjuangan PH dengan pelbagai nikmat jawatan dan kedudukan dalam kerajaan, jangan sesekali lupa bagaimana semua yang ada ini bermula.

Jangan terlalu mudah lupa diri seolah-olah mereka telah berjasa besar kepada perjuangan dan perubahan ini, walhal peristiwa 2 September 1998 dan kerana yang dipecat itu Anwarlah yang memungkinkan semangat reformasi berterusan selama 20 tahun sehingga akhirnya era BN sebagai kerajaan dapat diakhiri.

Seperkara itu, meskipun pemecatan Anwar adalah atas tuduhan salah laku moral dan dakwaan liwat yang mana beliau kemudian dibebaskan di peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan pada 2004, realitinya penyingkiran beliau pada 1998 itu tidak lebih kerana soal kuasa dan bermotif politik semata-mata.

Mengapa dikata demikian?

Pertama, meskipun pernah memecat dan mengaibkan Anwar pada 1998, Tun Mahathir kemudian sedia berbaik dan berdamai semula dan setuju menamakan Anwar sekali lagi sebagai bakal penggantinya untuk jawatan Perdana Menteri ke-8.

Jika benar kerana isu moral itu menyebabkan tidak layaknya Anwar menjadi pemimpin sehingga dipecat pada 1998, bagaimana Tun Mahathir pada 2017 setuju kembali dengan konsensus menamakan Presiden PKR itu sebagai bakal penggantinya?

Keduanya, jika benar Tun Mahathir berpegang kepada isu moral dan dakwaan salah laku pemimpin sebagai asas tidak layak seseorang itu menjadi pemimpin, mengapakah beliau tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap Azmin Ali yang dikaitkan dengan dakwaan salah laku moral yang sama?

Apakah bezanya Anwar dengan Azmin?

Sudah tentu jawapan paling mudah ialah Azmin bukan ancaman kepada Tun Mahathir, maka sehingga ini setelah lebih dua bulan berlalu, bukan saja hasil siasatan masih tidak diketahui, malah beliau seolah-olah dilindungi dengan terus diberi peranan penting dalam kerajaan sama ada untuk tugasan dalam dan juga luar negara.

Untuk itu, mengenang tarikh 2 September 1998 yang genap 21 tahun usianya hari ini, ia bukan saja tentang perjuangan, perubahan dan kegigihan Anwar, tetapi juga membuatkan kita semakin mengenali siapa Tun Mahathir sebenarnya.

– https://shahbudindotcom.net

.