PINTAS PIAGAM TA’AWUN SIYASI PAS – UMNO DENGAN ROMBAKAN KABINET

SAYA tidak sedia untuk mengulas panjang berhubung kata-kata (kenyataan) Dr Mahathir Mohamad yang mahu mengambil tindakan (pecat) terhadap Ketua Operasi dan Strategi PPBM, Rais Hussin (foto) sebagai tepat ataupun satu kenyataan bersifat peringatan.

Atau apakah kenyataan – tindakan dicadangkan itu menunjukkan Dr Mahathir sebagai PM yang sudah tidak relevan?

Bagaimana pun ramai terkejut dan tidak sangka reaksi Mahathir kepada kenyataan berupa prediction dikeluarkan Rais itu, yang berpendapat sekiranya PH gagal menunaikan janjinya dalam manifesto PH akan kalah sekiranya diadakan pilihan raya dalam masa terdekat, (esok).

Kenyataan berupa pendapat Rais itu tidak disenangi Mahathir yang disifatkan ia sebagai boleh menjejaskan kedudukan PH. Menunjukkan Mahathir marah dengan Rais sampai beliau menafikan kedudukan Rais dalam PPBM sebagai Ketua Strategis, kononnya ia tidak pernah diwujudkan. Maka berpolemik di antara keduanya.

Sekali lagi saya ulangkan, saya tidak mahu mengulas panjang berhubung polemik itu, cuma hendak jelas mengenai sikap Dr Mahathir yang pernah saya saksikan. Beliau seorang yang sensitif dengan soal-soal yang boleh menjatuhkan moral dan reputasinya sebagai pemimpin dan kerajaan.

Tarik permit akhbar.
Saya masih ingat macam mana beliau bertindak drastik mengharamkan sebuah akhbar tabloid yang dianggap menyiarkan berita boleh menganggu fikiran dan reputasinya. Sebuah akhbar tabloid dalam keluaran sulungnya, telah meletakkan tajuk dengan memilih Mahathir sebagai subjeknya. Akhbar itu menggunakan tajuk besar berbunyi; MAHATHIR GAGAL, sebagai keluaran sulungnya, begitulah jika tidak silap ingatan.

Tajuk itu bersifat subjektif  yang merupakan gimik, (sensasi) sahaja. Surat khbar itu tidak pun bermaksud hendak memburukkannya cuma menggunakan tajuk bersifat subjektif itu bagi menumpang tuah namanya agar ia mendapat perhatian pembaca.

Namun Mahathir tidak dapat menerimanya, permit akhbar itu terus ditarik. Jadi akhbar itu hanya sempat berkeluaran sekali sahaja selepas itu tidak lagi kerana permitnya diharamkan. Mungkin akhbar itu jadi akhbar di era Dr Mahathir sebagai terpendek nyawanya.

Apa yang hendak saya bangkit dan ingatan di sini bukan perlunya PH bergaduh sesama sendiri, apa lagi sampai pecat memecat, sabotaj mensabotaj di antara satu sama lain.

Tetapi ada perkara besar perlu dilihat dan diambil tindakan oleh seluruh pimpinan PH terutamanya Dr Mahathir, sekiranya beliau ikhlas mahu melihat kerajaan PH kekal dan tidak kalah seperti mana diramalkan oleh Rais itu.

Perkara yang dimaksudkan ialah peristiwa yang bakal berlaku dalam gabungan parti oposisi.  Apa yang yang sedang dirancang oleh oposisi kini sesuatu yang perlu dipandang berat oleh PH khasnya Dr Mahathir dan ia tidak boleh dianggap enteng. Ia yang saya maksudkan itu ialah persetujuan diantara Pas dengan Umno untuk bergabung dan bekerjasama yang akan dipamerkan dalam majlis menandatangani Piagam Ta’awun Siyasi 14 September nanti.

Peristiwa 14 September bersama 11 Muharram 1441 itu adalah peristiwa besar yang penting bagi umat Melayu khasnya dan dunia politik amnya. Peristiwa itu akan disambut dengan takbir, Allahuakbar dan gemaan Hidup Melayu! oleh Pas dan Umno. Bagi mereka kejayaan mengadakan gabungan dan kerjasama politik itu merupakan satu kelahiran politik baharu di negara ini.

Ia akan ditahnik kemudian akan diselawatkan. Politik baharu itu akan dijaja ke seluruh negara. Dan orang ramai yang melihat gabungan itu amat mustahil sebelum ini akan teruja dan bangga dengan apa yang berlaku itu.

Apa lagi Pas dengan Umno berbalah dan bersengeketa panjang selama ini, sudah sedia duduk di atas satu saf dalam bumbung sama tentu dialu-alukan. Mereka yang mahu damai dan kuasa politik menerusi Islam dan Melayu akan bergembira.

Natijah daripada peristiwa itu, oposisi akan dilihat sebagai bersatu dan insaf. Tindakan dan langkah itu boleh mengancam gabungan PH.

Adalah silap kalau PH mengatakan peristiwa itu hanya gimik dan sia-sia sahaja, atau Umno dan Pas sudah kehabisan modal dan sengaja mencari bala kerana bukan mudah untuk kedua parti itu merealisasikan kerjasama dalam pilihan raya. Soal mudah atau payah itu soal lain, yang penting ianya berlaku penanda tangan dan piagam itu yang perlu difikirkan implikasi dan kesannya.

Perkara yang kena dinilai kini ialah kesan kepada himpunan itu kelak. Dari konteks orang Melayu ia akan dilihat sejarah besar yang berlaku setelah lima dekad. Ada yang menyifatkan peristiwa itu sama penting dengan himpunan Kongress Melayu di Kampung Baharu pada tahun 1946 kerana menuntut kemerdekaan. Menandatangani piagam itu akan dilihat sebagai orang Melayu memberi komitmen tinggi kepada bangsa dan agama menerusi kedua parti Melayu terbesar itu.

Piagam itu juga menjadi syahadat baharu politik orang Melayu.

Pastinya bagi Umno dan Pas, peristiwa itu sebagai mencacak bayang harapan besar kepada mereka dan akan dijadikan modal dalam pilihan raya umum ke 15 kelak. Kedua parti menerima dan menganggap ia adalah “wahyu” untuk parti itu membentuk kerajaan pertama kali di Malaysia selepas 62 tahun merdeka. Ia akan disifatkan penyatuan Umno dengan Pas,  perkahwinan yang dihalalkan setelah kesekian waktu bermukah itu seperti terpecahnya tembok Berlin yang akan menyatukan rakyat Jerman Barat dan Jerman Timur selama ini berpecah dan sengketa kerana perbezaan fahaman ideologi.

Justeru Dr Mahathir sebagai pengerusi PH dan perdana menteri harus melakukan sesuatu bagi mengatasi impak yang bakal meletus dari peristiwa itu. Itu pun kalau beliau ikhlas dan jujur, tidak menjadikan PH,  (kini memerintah Malaysia) sebagai satu cita-cita akhirnya sebelum mati. Jika itulah apa tertanam dihatinya Mahathir tidak akan pedulikan apa yang akan berlaku selepas ini.

Dalam tilikan saya hanya ada satu tindakan terbaik bagi Mahathir untuk menenggelamkan majlis 14 September nanti ialah dengan melakukan rombakan kabinetnya. Beliau harus membedah kabinetnya yang kini masih terkial-kial atau pun “meluyur.”

Benar seperti mana kata Rais itu PH dalam kritikal kerana gagal memenuhi janji dalam manifesto. Kegagalan itu adalah kena mengena dengan ketidakmampuan para menteri kabinet berfikir untuk melaksanakan janji itu bagi keselesaan rakyat.

Jika Mahathir bersetuju mengambil cadangan ini, – merombak kabinet untuk mengatasi impak Piagam itu ia sangat tepat. Pada saya di saat beliau sedang berkira hendak melakukan rombakan kabinet elok beliau langsung menjadikan rombakan itu sebagai gema yang boleh menenggelamkan peristiwa 14 September nanti. Dr Mahathir dan PH harus mendahului membangkit apa-apa gelombang kepada rakyat sebelum gema menandatangani Piagam itu mengombak.

Seperti mana katanya, beliau menafikan akan berlaku rombakan kabinet dan apa yang akan dilakukan hanya menukar portfolio beberapa menteri sahaja. Menurut kenyataan terbarunya, tidak ada menteri yang hendak berundur, maka tidak ada muka baharu yang dibawa masuk. Itu menggambarkan kedudukan wajah-wajah berkedut dalam kabinet tidak berbuah. Tetapi sekiranya Dr Mahathir akan melakukan pertukaran portfolio tanpa menukar dan membawa muka baharu yang tidak memberi apa-apa erti.

Rombakan itu hanya seperti mengalih tempat sahaja, tetapi tidak ada apa-apa signifikan.

Maksud Dr Mahathir hendak mengemaskan dan membaiki kabinetnya tidak menjadi kalau setakat menukarkan jawatan. Apabila seseorang menteri itu sudah gagal dengan portfolio yang dipegang kini, letaklah mereka dimana-mana pun mereka akan gagal.  Ikan ubi tidak akan menjadi selincah ikan haruan walaupun ia dilepaskan ke dalam sungai deras.

Yang terbaik Dr Mahathir lakukan merombak dan membedah kabinet secara besar-besaran.  Keluarkan mereka yang gagal, bawa masuk muka baharu lebih berwibawa dan ada track record. Masa untuk berbulan madu dan mengambil hati kerana hendak membalas jasa menteri yang berkedudukan dalam parti masing-masing dengan kekalkan dalam kabinet sudah pun berlalu setelah 15 bulan memerintah. Dan mereka yang sedar akan kelemahan juga perlu ikhlas untuk berundur. Mereka perlu lebih mementingkan kerajaan dan PH daripada diri sendiri.

Mereka perlu insaf dan tawaduk Dr Mahathir tidak akan tergamak untuk mengenepikan mereka begitu sahaja. Tetapi sebagai seorang pejuang yang mengaku ikhlas, perlulah mengambil tindakan sendiri, berundur secara terhormat. Mereka perlu meletakkan keutamaan kepada negara dan bangsa di hadapan daripada memikir diri sendiri.

Apabila mereka sudah diperkatakan rakyat mengenai prestasi dan pencapaian kerja masing-masing jangan tunggu lama untuk bertindak (berundur), sampai rakyat mendesak untuk berundur. Perangai menteri di zaman dahulu sanggup berlapuk dan berakar tunjang di kerusi kerana dia orang penting parti tidak perlu dijadikan amalan lagi. Zaman berkeras dengan kebodohan diri sudah berakhir.

Tiga tokoh.
Untuk merombak kabinet dan menjadi kabinet itu nanti berimpak besar, Dr Mahathir perlu membawa muka baharu ke dalam kabinetnya. Dalam hal ini saya melihat ada tiga sosok yang boleh dipertimbangkan Dr Mahathir. Dan saya yakin tokoh ini dapat memberi sesuatu impak kepada kebinat itu nanti.

Cuplikan muka surat 300 buku PBP.

Pertama ialah Anwar Ibrahim, kedua Mustapa Mohamed dan ketiga Husam Musa.Ketiga mereka mempunyai pengalaman cukup untuk membina kerajaan dan juga parti. Perkara ini saya sudah lama menyebutnya dan dirakamkan dalam buku baru saya Penjara Bukan PusaraAnwar Ibrahim PM Yang Didambakan. Dan mungkin nama mereka juga ada dalam hati Mahathir tetapi keadaan dan kedudukan mereka yang sedikit menganggu Dr Mahathir untuk membuat keputusan.

Demi kebaikan dan perubahan dalam kerajaan PH berlaku, Dr Mahathir tidak perlu berfikir panjang dan banyak menghitung untuk membawa masuk mereka ke dalam kabinet.

Mahathir tidak perlu berfikir mengenangkan nasib mereka yang menjadi mangsa, kena berundur dengan kemasukan mereka. Atau Mahathir tidak perlu mendengar pandangan dan pendapat mana-mana individu mengenai ketiga mereka ini untuk tidak membawa mereka masuk, apa lagi individu yang bernafsu besar bertindak sebagai God Father kerajaan.

Dan untuk melakukan ini Mahathir tidak perlu juga tunggu ada mereka yang sukarela berundur untuk memberi ruang kepada tiga orang ini. Beliau kena menggunakan kuasa prerogatif sebagai PM bagi melakukannya. Perlu tegas dan prihatin.

Inilah iklan buku baru saya, PBP.

Apa yang perlu diambil kira oleh Mahathir juga peranan kepada kerajaan yang dapat dimainkan oleh tiga orang ini dalam hubungan sokongan kepada PH. Kebetulan mereka mewakili parti berlainan, apabila mereka berada dalam kabinet kehadiran mereka sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat kepada ahli parti masing.

Nescaya kalau rombakan kabinet dilakukan dengan membabitkan tiga orang ini dibawa masuk ke dalam kabinet, kerajaan dan PH dapat menenggalam peristiwa yang ditunggu-tunggu 14 September nanti.

Kegahan mereka akan memberi suntikan baharu kepada kabinet dan ini memberi keyakinan kepada rakyat. Atau sekiranya Dr Mahathir terlebih ikhlas dan sudah tidak mempunyai apa-apa agenda lagi boleh juga beliau berundur sebelum 14 September dan Anwar mengambil alih tempatnya.

Sekiranya Anwar jadi PM, besar kemungkinan majlis 14 September itu juga mungkin terbatal.  Namun maksud kita bukanlah sampai ke tahap itu, cukup Dr Mahathir membahwa mereka masuk untuk mengemaskan kabinet kerana tindakan itu akan mengatasi aura bakal dicipta oleh peristiwa 14 September itu.

– http://msomelayu.blogspot.com/

.