SIA-SIA HARAPKAN TUN M BUBAR PARLIMEN AWAL

Terdapat seolah-olah kecenderungan yang berterusan ketika ini daripada UMNO dan Pas untuk mendesak agar Tun Mahathir Mohamad segera membubarkan Parlimen.

Dalam UMNO dan Pas kononnya menyokong Tun Mahathir agar menghabiskan khidmat sebagai Perdana Menteri sehingga ke akhir penggal, lidah bercabang kedua-dua parti ingin segera merebut kuasa nampaknya tidak dapat diselindungkan dalam waktu yang sama.

Seolah-olah melalui desakan itu, UMNO dan Pas sekarang ini begitu yakin mereka akan dapat mengambil alih kuasa daripada PH untuk mentadbir negara ini.

Sesuatu yang UMNO dan Pas barangkali terlupa ialah PH baru saja mentadbir negara ini dalam tempoh setahun empat bulan sejak berjaya menumbangkan BN pada 9 Mei 2018 yang lalu.

Bermakna, untuk menghabiskan tempoh lima tahun sebagai kerajaan, PH ada masa kira-kira tiga tahun lapan bulan lagi mentadbir negara ini.

Masalah dan kekurangan di sana sini adalah perkara biasa bagi sebuah kerajaan baru, tetapi adalah “bodoh” jika Tun Mahathir mahu membubarkan Parlimen hanya dalam tempoh setahun lebih baru memegang kuasa, sedangkan had yang dibenarkan ialah lima tahun.

Dalam tempoh tiga tahun lebih yang masih berbaki itu macam-macam usaha dan perancangan boleh dilakukan oleh PH sebagai kerajaan untuk menambahbaik sokongan rakyat kepada mereka.

Untuk itu, kalau pun UMNO sudah tidak tahan hidup sebagai pembangkang dan Pas pula semacam terlebih ghairah seolah-olah kerjasama kedua-dua parti mampu menawan Putrajaya, belajarlah bersabar dahulu.

Bukankah sabar itu sebahagian daripada iman?

Lagi pula, sudah pastikah UMNO dan Pas dapat mengalahkan PH jika PRU diadakan dalam waktu yang segera ini?

Cukupkah kawasan-kawasan Parlimen majoriti Melayu saja untuk UMNO dan Pas memperolehi lebih daripada 112 kawasan Parlimen sebagai jumlah minimum untuk menjadi kerajaan?

Bagaimana dengan soal pembahagian kerusi antara UMNO dan Pas, adakah ia dijamin tidak menghasilkan perkelahian dan perpecahan?

Kepada UMNO, jangan sesekali lupa bagaimana Pas ketika bersama Pakatan Rakyat dahulu kerapkali mengkhianati perjanjian pembahagian kerusi yang telah dipersetujui dengan Hadi Awang sendiri di saat-saat akhir mengeluarkan surat watikah kepada calon partinya sendiri di mana akhirnya berlaku pertandingan tiga penjuru di beberapa kawasan.

Apakah, tidak mustahil kali ini ketika bersama UMNO, Pas dan Hadi Awang akan bersikap khianat sekali lagi?

Selain itu, harus juga difahami, kerjasama UMNO dan Pas ini barangkali akan menjadi salah satu asas bagi Tun Mahathir untuk tidak membubarkan Parlimen dalam waktu terdekat ini.

Ini kerana, melalui kerjasama UMNO dan Pas itu, parti dalam PH yang paling terancam sekali untuk menang ialah Bersatu yang dipimpin oleh Tun Mahathir sendiri.

Jika dalam PRU14 lalu, Bersatu menang 13 kerusi Parlimen, tidak mustahil kerjasama UMNO dan Pas ini akan menjadikan jumlah kemenangan Bersatu bertukar menjadi kosong.

Maka, tentulah mustahil Tun Mahathir akan membubarkan Parlimen lebih awal hanya untuk memberi kemenangan kosong kepada partinya sendiri.

Sebaliknya, melalui kerjasama yang terjalin antara UMNO dan Pas yang tentunya disertai dengan mainan isu kaum dan agama yang melampau, pengundi Melayu bandar serta separa bandar dan pengundi bukan Melayu akan lebih memberi sokongan kepada PKR dan DAP.

Dalam erti kata lain, komponen BN seperti MCA dan MIC akan terus disisihkan pengundi, manakala kawasan bandar dan separa bandar lebih berpotensi untuk dimenangi oleh PKR dan juga DAP.

Melalui kerjasama UMNO dan Pas juga, BN secara tidak langsung akan bertukar menjadi gabungan yang rasis dengan mainan isu kaum serta agama bakal menjadi tunjangnya, sekali lagi keadaan ini juga memberi kelebihan kepada PH di Sabah dan Sarawak untuk memenangi lebih banyak kerusi.

Pendek kata, PRU awal, selain tidak memberi jaminan kepada Bersatu yang diketuai oleh Tun Mahathir untuk memenangi banyak kerusi, ia juga belum tentu memberi kelebihan kepada UMNO dan Pas.

Tetapi, dengan mengadakan PRU akan datang mengikut jadual sehingga tahun 2023 dan tempoh tiga tahun yang masih berbaki ini digunakan untuk menunaikan janji manifesto serta melaksanakan reformasi, selain peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim ditunaikan sebagaimana konsensus yang telah dipersetujui, bukan saja PH lebih terjamin mampu mengekalkan kuasa, malah kemenangan kosong Bersatu pun tidak mustahil dapat dielakkan.

– https://shahbudindotcom.net/

.