INI KOT NAMANYA BODOH SOMBONG?

Di sebalik kecaman pelbagai pihak mengenai projek kereta terbang, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof berkata, projek tersebut akan tetap diteruskan.

Katanya, eko sistem industri berkaitan projek tersebut adalah kira-kira AS$500 bilion di seluruh dunia.

“Ini industri besar yang kita harus sokong,” ujar beliau.

Baru-baru ini pelapor khas PBB, Prof Philip Ashton mengkritik projek tersebut sebagai suatu pembaziran.

Menurut Prof Philip, negara ini terdedah kepada banyak cuaca ribut dan oleh yang demikian ia tidak prakrikal untuk dilaksanakan.

Malah, kalau dilaksanakan, tambah beliau, ia banyak menggunakan bahan bakar fosil.

Mohd Redzuan bagaimanapun melahirkan rasa tidak senang dengan kritikan pelapor khas PBB itu, sambil membidas campurtangannya dalam urusan negara ini.

“Komen mereka (PBB) mungkin memberi kesan kepada pendapat orang ramai tetapi mereka sepatutnya lebih baik meneruskan kerja yang mereka tahu sahaja.

“PBB sebaiknya tidak perlu terlibat dalam ‘perniagaan’ negara ini,” kata Mohd Redzuan.

Sebelum ini, bekas Menteri Perdagangan Antarabangss dan Industri, Rafidah Aziz juga mengecam projek kereta terbang yang mahu dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan.

Kata Rafidah, ia adalah idea semberono dan sepatutnya hanya sesuai sebagai idea peribadi sahaja.

“Apabila anda mempunyai kecenderungan semborono dalam membuat keputusan, kita akan menghadapi masalah.

“Saya berharap penentu dasar akan membimbing pihak sepatutnya untuk memberi fokus apa yang betul.

“Maksud saya, OK-lah, awak mahu membuat kereta terbang, teruskan, (tetapi lakukannya) sebagai hobi peribadi. Siapa yang halang anda (untuk berbuat demikian)?

“Tetapi jangan jadikannya sebagai projek untuk negara.

“Kita sedangkan tidak mempunyai basikal untuk diberikan sebagai bantuan kepada pelajar-pelajar di Sabah dan Sarawak yang berjalan kaki berbatu-batu setiap hari,” kata beliau.

Selain pelapor PBB, Rafidah, pemimpin politik, pemimpin masyarakat, malah rasanya lebih 99 peratus rakyat negara ini tentu tidak setuju dengan projek kereta terbang tersebut.

Projek kereta atas jalanraya pun masih terkial-kial nak hidup, di mana logiknya kereta terbang ternampak rasional untuk dilaksanakan?

Lagi pula, sebagai Menteri Pembangunan Usahawan, apakah fokus beliau dalam tugasnya?

Apakah yang sudah dilakukannya untuk membangunkan usahawan kecil dan sederhana di negara ini?

Tetapi, Mohd Redzuan yang pertama kali dan baru jadi menteri serta sebelum ini tidak terlibat dalam politik, waima tidak pernah menjadi ketua cawangan mana-mana parti sekali pun, nampaknya tetap bertegas mahu meneruskan juga projek kereta terbang ini.

Macam mana?

Adakah beliau tidak peduli dengan kecaman dan pendapat ramai?

Atau ini bodoh sombong namanya?

– https://shahbudindotcom.net/

.