KALAU TAK BERUBAH, UTUSAN TETAP BERDEPAN MASALAH

Akhbar Utusan sepatutnya sudah tutup dan tidak diterbitkan lagi hari ini. Ia berikutan keputusan syarikat itu mahu memberhentikan penerbitan akhbarnya sejak Rabu lalu.

Disebabkan gagal membayar gaji pekerja dan mereka sudah berpiket menuntut gaji yang tidak dibayar sejak tiga bulan lalu, sebagai jalan pintas, pengurusannya memutuskan untuk memberhentikan terus penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Bagaimanapun, melalui campurtangan UMNO yang menyumbang RM1.6 juta untuk memberi pendahuluan gaji RM2,000 kepada 800 pekerja Utusan, di samping seruan pelbagai pihak agar akhbar bahasa Melayu tertua itu terus dipertahankan, langkah memberhentikan penerbitannya dibatalkan.

Berdasarkan jasa dan sumbangan Utusan selama ini, pelbagai seruan juga kemudiannya kedengaran agar rakyat sama-sama menyokong dengan membeli Utusan senashkah setiap hari sebagai jalan memastikannya terus bernyawa.

Dengan itu, sejak dua tiga hari lalu dilaporkan akhbar Utusan telah laris di pasaran. Banyak pihak melaporkan sebelum tengahari lagi ia sudah habis dijual. Ada juga yang merungut kerana tidak sempat membelinya.

Alhamdulillah, Utusan nampaknya sudah dapat nafas baru.

Namun, harus diingat kedaaan ini mungkin tidak lama. Ia boleh jadi hanya fenomena sementara dengan tujuan menunjukkan sokongan dan bantuan kepada Utusan.

Selebihnya, bagaimana untuk menjadikan Utusan terus bertahan, ia terpulang kepada pengurusan dan sidang pengarang akhbar berkenaan.

Mereka mesti sedia berubah menjadi akhbar rakyat. Selama ini Utusan adalah akhbar UMNO dengan mainan sentimen kaum dan agama yang melampau. Sebab itu, ia sedikit demi sedikit mula merosot jualannya. Rakyat jadi meluat.

Utusan harus menjadi akhbar rakyat. Walaupun ia milik UMNO, tapi janganlah totok sangat dengan UMNO. Lagi pula, UMNO sudah jadi pembangkang sekarang ini.

Maka, ia kena berubah dan pandai menyesuaikan diri. Jangan salahkan agensi kerajaan atau kementerian yang tidak lagi melanggan Utusan atau enggan membeli iklan sebagai punca kejatuhan Utusan.

Sekarang adalah kerajaan PH memerintah negara. Mustahil mereka mahu melanggan atau membeli iklan kalau berita dalam Utusan terlalu totok UMNO dan banyak menghentam PH.

Macam juga ketika BN berkuasa dahulu, tidak ada kementerian atau agensi yang mahu melanggan atau membeli iklan dalam Harakah dan Suara Keadilan kerana kedua-duanya adalah totok kepada Pas dan PKR.

Situasinya lebih kurang sama begitu.

UMNO kena berubah seperti akhbar The Star. Ia milik MCA tetapi tidak totok kepada MCA. Ia menjadi akhbar untuk semua.

Tidak ada orang membeli Star merasa seperti ia menyokong MCA. Tetapi ramai malu membeli Utusan kerana dilihat seperti orang UMNO. Masalahnya, orang UMNO sendiri ramai tak beli Utusan. Malah ramai yang beli Star daripada Utusan.

Utusan kini seperti diberi peluang kedua untuk terus hidup. UMNO tidak mungkin terus menolong Utusan dengan menyumbang wang secara bulanan untuk membayar gaji kakitangannya.

Utusan harus hidup sendiri. Menjual harta untuk hidup adalah pilihan paling lekeh bagi perniagaan. Syarikat akhbar mesti jual akhbar dan jual iklan.

Yang mustahak, Utusan mesti tampil dengan wajah baru yang benar-benar berbeza dengan Utusan yang totok UMNO sebelum ini.

Kalau ia totok UMNO seperti dulu, orang UMNO tetap tidak beli sangat pun Utusan. UMNO ada 3.5 juta ahli, jika sejak dulu ahli UMNO menyokong Utusan, mustahil ia berdepan masalah kewangan.

Maknanya, yang boleh menyokong dan membantu Utusan ialah rakyat biasa. Dengan perubahan wajah, perubahan laporan, perubahan kandungan dan perubahan pemikiran di kalangan pengarang-pengarangnya, Utusan diyakini boleh terus hidup.

Tetapi, jika tidak sedia berubah, Utusan akan terus berdepan masalah di masa-masa akan datang. Ia sama seperti UMNO, yang sepatutnya berubah sebelum ia rebah pada PRU14 lalu.

Belajarlah daripada sejarah.

– https://shahbudindotcom.net

.