GOJEK IDEA TERBURUK SYED SADDIQ

Kabinet dilaporkan telah bersetuju dengan cadangan memperkenalkan perkhidnatan teksi motorsikal atau Gojek di negara ini.

Idea ini diusulkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sebelum itu membawa pengasas Gojek daripada Indonesia bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Menurut Syed Saddiq, Gojek diperkenalkan untuk memastikan mat motor diberi peluang pekerjaan demi kelangsungan hidup mereka.

Jelas beliau, menerusi perkhidmatan teksi motosikal atau lebih dikenali sebagai Gojek adalah langkah terbaik bagi mat motor menjana pendapatan.

“Dalam kehidupan realiti, mat motor mahukan pekerjaan demi kualiti hidup yang lebih baik. Mereka juga mahukan peluang pekerjaan diberikan kepada mereka,” katanya.

Yang menjadi persoalan, apakah Gojek ini yang diperlukan dalam erti kata untuk membantu anak muda dan mat motor menambah pendapatan mereka?

Kenapa Syed Saddiq selaku Menteri Belia dan Sukan tidak memberi penekanan kepada menambah program latihan, kemahiran dan jati diri untuk anak-anak muda menghadapi cabaran kehidupan?

Adakah Gojek sebahagian daripada janji 1 juta pekerjaan yang mahu diwujudkan oleh PH?

Apakah juga Gojek benar-benar perlu di negara kita, sama seperti perlu dan larisnya ia di Indonesia?

Memperkenalkan Gojek sebenarnya adalah idea terburuk Syed Saddiq, bukan saja untuk anak-anak muda dan mat motor, tetapi juga untuk negara.

Tiada keperluan mendesak untuk memperkenalkan perkhidmatan itu kerana kesesakan jalanraya di ibukota Kuala Lumpur belumlah di tahap begitu teruk seperti di Jakarta di mana seseorang perlu menaiki teksi motorsikal untuk mempercepatkan perjalanan.

Di Kuala Lumpur ini, jadual pertemuan atas pelbagai urusan masih boleh diatur sama ada dengan menaiki kereta sendiri, teksi, grab, LRT, MRT, komuter, monorel dan sebagainya.

Yang penting, mesti bijak menyusun masa dan dapat menetapkan waktu yang munasabah untuk setiap urusan yang mahu dilakukan.

Selain itu, kadar kemiskinan di negara kita tidak sekritikal di Indonesia di mana menjadi pemandu Gojek merupakan antara pilihan untuk menyara kehidupan.

Di negara kita, masih banyak peluang terhidang untuk menambah pendapatan, malah menjadi penghantar makanan seperti Grab Food atau FoodPanda turut menjanjikan pendapatan yang lebih lumayan.

Yang paling dibimbangi ialah dengan adanya Gojek ini akan menambah lagi kadar kemalangan jalanraya berikutan lebih ramai penunggang motorsikal yang akan memandu laju untuk mengejar pelanggan.

Tidak seperti khidmat perkongsian kereta Grab, teksi motorsikal Gojek lebih mendedahkan penumbang kepada risiko keselamatan seperti kemalangan, terjatuh dan sebagainya.

Sebab itu, ada cubaan sebelum ini untuk memperkenalkan perkhidmatan teksi motorsikal ini telah ditolak oleh pentadbiran BN atas faktor-faktor keselamatan.

Kalau BN pun pernah menolaknya, apa hebatnya PH bila setuju pula memperkenalkannya?

Atau ini bukan saja idea terburuk Syed Saddiq, bahkan juga sebagai tanda-tanda awal menunjukkan PH akan jadi lebih buruk lagi daripada BN?

– https://shahbudindotcom.net

.