PENDIRIAN TUN M SUDAH JELAS, ZAKIR NAIK NAMPAKNYA TIDAK DIPERLUKAN LAGI DI NEGARA INI

Kenyataan terbaru Tun Mahathir Mohamad mengenai Dr Zakir Naik barangkali tidaklah sukar difahami oleh sesiapa.

Daripada sebelumnya beliau mempertahankan pendakwah itu, kemudian berkata terserah kepada siasatan polis sama ada ceramahnya menggugat kesejahteraaan rakyat berbilang kaum di negara ini atau tidak, kini Tun Mahathir secara terbuka mengatakan Dr Zakir telah melampaui batas atas statusnya sebagai pemegang PR atau penduduk tetap negara ini.

Kata Tun Mahathir, Dr Zakir cuba bermain ‘politik kaum’ susulan kenyataan terkini pendakwah kontroversi itu mengenai orang Cina dan penganut Hindu rakyat Malaysia.

Menurutnya, kerajaan tidak kisah sekiranya Zakir sekadar memberikan ceramah agama semata-mata.

“Jelas Zakir mahu terlibat dalam politik perkauman di Malaysia dan ini melampaui batasnya sebagai pemegang PR.

“Pertama, saya tidak tahu siapa yang memberikan beliau taraf Pemastautin Tetap (PR). Tetapi untuk menjadi penduduk tetap kamu tidak boleh terlibat dalam politik negara ini.

“Kamu boleh berdakwah dan menyampaikan ceramah agama tetapi beliau tidak berbuat demikian. Beliau bercakap mengenai menghantar (orang Cina warga negara Malaysia) ke China… itu (tindakan) politik.

“Sekiranya kamu mahu bercakap mengenai agama, teruskan, itu adalah dibenarkan, kami tidak mahu menghentikannya daripada hal itu,” katanya lagi.

Tun Mahathir seterusnya berkata, malahan dirinya sendiri tidak pernah meminta orang lain untuk “pulang”.

“Kami sangat berhati-hati mengenai bagaimana kami mengatakan perkara yang sensitif terhadap masyarakat yang berlainan bangsa di negara ini,” tambahnya.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa apa-apa tindakan yang diambil terhadap Dr Zakir akan berlandaskan peruntukan undang-undang.

“Kerana itu, saya fikir polis perlu menyiasat sama ada dia menimbulkan pergolakan perkauman .. sudah tentu dia.

“Sekarang dia ‘meniupkan’ perasaan perkauman. Ini tidak bagus.

“Kerana itulah saya fikir polis perlu menyiasat sekiranya beliau telah menyebabkan rasa tidak tenteram perkauman… tentulah beliau berbuat begitu.

“Jadi, apa tindakan yang akan kami ambil akan mengikut undang-undang,” tegas Tun Mahathir.

Walaupun masih mengatakan polis akan meneruskan siasatan terhadap Dr Zakir, tetapi kenyataan yang dikeluarkan lebih awal oleh Tun Mahathir sementara siasatan masih dijalankan, jelas pendirian Tun Mahathir tidak lagi memihak kepada pendakwah tersebut.

Sebagaimana disebut sebelum ini, dengan ini Dr Zakir boleh dengan segera mencari mana-mana negara lain yang sedia menerimanya.

Berdasarkan kenyataan Tun Mahathir ini, nyata sekali Dr. Zakir tidak diperlukan lagi untuk terus berada di negara.

Hanya menunggu masa, status PRnya pasti akan dibatalkan tidak lama lagi.

– https://shahbudindotcom.net

.