JIKA SAYANGKAN ZAKIR GUNAKAN DIA DENGAN BAIK

WALAUPUN keberadaan Zakir Naik (foto) di negara ini kurang disenangi oleh sesetengah pihak kerana kasus yang dihadapinya, tetapi atas dasar peri kemanusiaan dan persaudaraan Islam ia boleh diterima.

Apa lagi kerana nyawanya terancam jika beliau diiring pulang ke negara asalnya, India, menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi dan menyelamatkannya.

Melindungi nyawa seseorang atau golongan termasuk (minoriti) termasuk dalam salah satu juzu digariskan dalam Maqasid Syariah.

Walaupun dari segi undang-undang dunia, tanggungjawab itu tidak perlu kerana setiap negara dilindungi oleh hak undang-undang dan kedaulatan masing-masing, namun kita (Malaysia) mengambil risiko itu kerana ia tuntutan agama.

Bagaimana pun apabila beliau mencampuri urusan politik negara bangsa ini secara terang-terangan, tanggungjawab itu boleh difikir kembali. Tindakan Zakir itu juga dilihat tidak lagi bijak dan boleh dikatakan beliau tidak tahu berterima kasih atas perlindungan diberikan kepadanya.

Tindakannya itu sebaliknya telah mendatangkan masalah ke negara ini.  Beliau ke sini mendapat perlindungan dan memperolehi kedamaian, kontradiklah kalau sikap yang diambil itu mengeruhkan suasana di sini.

Pendakwah asal India itu sepatutnya tahu kedudukan dirinya, dan senantiasa menjunjung prinsip di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung. Benar Islam itu menyeluruh dan tanpa digaris sempadan, tetapi umatnya diajar agar tahu menghormati pihak lain, rakyat negara yang kita tumpangi. Sikap itu adalah akhlak, dan akhlak itu adalah pengidah kepada akidah itu sendiri.

Beberapa kenyataan dikeluarkan Zakir bernahu dan bernada politik telah tambah menimbulkan kekeruhan khususnya di kalangan yang tidak senang dengan kehadirannya di negara ini. Bahkan ada kenyataanya yang dikutip dalam ceramahnya dikira keras dan melampau kerana menyentuh sensitiviti pihak lain.

Zakir mungkin berani dan keberaniannya disanjung, tetapi ia tidak semua rakyat negara ini yang berbilang kaum menyenangi. Beliau sepatutnya hadam benda ini dan mereka yang teruja dengannya memberi maklum kepadanya. Jangan jadikan keberanian dan kelantangan serta kefaqihannya dalam agama itu mengundang bencana lain.  Itu tidak bijaksana. Seorang pendakwah yang syumul yang mengamankan semua orang dan bukan menyeronokkan sebahagian yang lain.

Jika Zakir terus terdodoi dengan sikapnya itu, barangkali kerajaan di samping memberi ruang dan oksigen kepadanya perlu berhati-hati dengan aktivitinya dengan mengambil kira sentimen rakyat negara ini. Zakir tidak perlu berada di pentas politik untuk menyampaikan syiar dakwah. Pentas politik bukan medium sesuai untuknya.

Beliau boleh berdakwah di pentas yang di luar politik, paling sesuai di pentas akademik. Saya percaya Zakir sendiri dapat melunakkan butiran dakwahnya kalau dia berdakwah di pentas umum bersifat akademik. Dakwahnya di dewan akademik tidak sangat menimbulkan kesangsian berbanding dewan politik yang mudah disuluh beliau menjadi alat politik pihak tertentu bagi mempengaruhi audien.

Apa yang berlaku di sini (Kota Bharu) dua tiga hari lepas, dimana kerajaan  Pam Kelantan mengadakan jelajah Zakir Naik dengan menjadikan Zakir sebagai dewa ia tidak patut berlaku. Ruang dan pentas diberikan kepada Zakir terlalu luas sehingga lupa statusnya hari ini. Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan juga Jabatan Agama Islam perlu memikirkan kesan ini dan mengawal Zakir agar tidak naik pentas politik.

Mungkin peraturan dan hak-hak sebagai seorang pemastautin tetap perlu diberi taaruf kepada Zakir.

Tempat dan ruang paling afdal bagi Zakir yang berstatus mendapat suaka politik di negara ini ialah di ruang tertutup, di bilik-bilik kuliah, di pondok-pondok pengajian, forum, seminar dan sebagainya, bukan di pentas politik terbuka apa lagi dihadiri puluhan ribu orang.

Pihak penganjur khas politik yang mahu mendapat laba dengan menjaja Zakir juga perlu insaf dan sedar risiko yang bakal diterima Zakir sendiri. Kalau sayangkan Zakir dan mahukan dia selamat, dan mahu menumpangi ilmunya, manfaatkan dia dengan bijaksana. Jangan jadikan ketinggian ilmu perbandingan agama dimilikinya sehingga menyusahkan dirinya.

Zakir sendiri perlu bijak dan kerajaan pula perlu mengawal. Apa yang kita tidak mahu ialah disebabkan seorang individu yang menjadi tetamu negara ia menimbulkan suasana tidak kondusif untuk negara ini. Kita yang berbuat baik perlu ingat kepada pepatah yang berbunyi; “buat baik berpada-pada buat jangan sekali”, manakala Zakir sebagai tetamunya pula tahu batas dan sepadannya.

Apapun keadaan dan situasi rakyat negara ini perlu diberikan keutamaan dan perasaan mereka dijaga. Apa yang kita kena sedar Zakir hanya boleh bernaung dengan selamat dan bahagia di negara ini, seharusnya peluang ini beliau tahu menghormatinya. Sebagai tetamu, apabila orang memberi ruang untuk menginap jangan pula berlebih tindak sehingga sebahagian tuan rumah lain marah.

Zakir sendiri jangan syok dengan mereka yang memuja dan membelanya. Beliau perlu tahu dan sedar diri. Jangan ikut terpesona dengan retorika agama yang dipolitikkan. Negara ini ada undang-undang dan perlembagaan. Apa yang rakyat bukan Islam di negara ini tersinggung dan kesal dengannya, adalah dalam ruang yang dibenarkan oleh undang-undang. Fahami prinsip ini.

Sekiranya Zakir gagal mengawal diri wajar sekali kerajaan memikir kembali kebenaran diberikan kepadanya hatta mengusirnya dari negara ini. Tidak guna kebenaran itu diberikan kalau si penerimanya tidak tahu menilainya.

Sekali lagi saya sebut pepatah; “buat baik berpada-pada buat jahat jangan sesekali.” Jangan kerana simpati kepada seseorang, sehinggakan kita lupa keutamaan yang perlu kita lakukan untuk negara bangsa sendiri.

– http://msomelayu.blogspot.com/

.