CAMPURI HAL EHWAL NEGARA, TIADA ALASAN LAGI TUN M NAK PERTAHAN ZAKIR NAIK

Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sebelum ini berkeras untuk mempertahankan Zakir Naik agar terus tinggal di negara ini.

Katanya, walaupun dalam keadaan diluah mati emak, ditelan mati bapa, tetapi pendakwah itu perlu dibenarkan tinggal di negara ini.

“Kita tidak akan menghantarnya balik ke India kerana beliau berisiko akan dibunuh jika kita berbuat demikian,” tambah Tun Mahathir.

Begitu pun, Tun Mahathir mengalu-alukan jika ada negara lain yang sedia menerima Zakir Naik.

Ketegasan Tun Mahathir dalam membela Zakir Naik itu segera mengundang pujian banyak pihak kerana ia dilihat keputusan yang amat tepat sekali.

Namun demikian, kenyataan terbaru Zakir Naik mengenai orang Cina telah melanggar sempadan yang sepatutnya atas kapasiti beliau yang hanya merupakan penduduk tetap atau bertaraf PR saja di negara ini.

“… Malaysia menjadi Muslim sepenuhnya. Kemudian Cina datang, India datang, orang Inggeris (British) datang. Mereka adalah tetamu baru kita.

“Kamu tahu tak ada orang yang panggil saya seorang tetamu?

“Jadi saya kata, sebelum saya (datang), kaum Cina adalah tetamu. Jika kamu mahu tetamu baru keluar, minta tetamu lama pulang dahulu,” demikian antara kata-kata yang diungkapkan Zakir Naik.

Sebagai penduduk tetap, adalah salah Zakir memberi kenyataan demikian kerana ia dianggap mencampuri hal ehwal dalaman Malaysia, tak kira mereka yang disasarkannya itu Melayu, Cina atau India.

Apa lagi dengan kenyataan berbaur keangkuhan yang menggambarkan seolah-olah dirinya lebih istimewa berbanding orang Cina yang jelas merupakan warganegara di negara ini.

Sedarkah Zakir Naik bahawa beliau hanya bertaraf PR sahaja, manakala orang Cina yang dimaksudkannya itu adalah warganegara Malaysia yang sah?

Selain mencampuri soal dalam negara, kenyataan Zakir Naik itu juga hanya mengundang perpecahan dan merosakkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini jika beliau dibenarkan terus tinggal di negara ini, sedangkan kebenaran mengizinkannya tinggal di Malaysia lebih kerana faktor simpati serta kasihan semata-mata.

Dengan itu, adalah tidak berbaloi, malah sia-sia saja jika Tun Mahathir mahu terus mempertahan dan mengizinkan Zakir Naik tinggal di negara ini.

Risiko perpecahan dan rosaknya perpaduan berbilang kaum yang dicetuskannya adalah lebih besar berbanding melindunginya atas kerja dakwah yang dilakukannya.

Kepada Tun Mahathir, jika tidak mahu mengancam nyawa Zakir Naik dengan menghantarnya pulang ke India, usaha mesti dimulakan daripada sekarang untuk memindahkannya ke mana-mana negara yang lain.

Mengusir dan tidak membiarkannya merosakkan keharmonian negara ini bukan saja satu-satunya pilihan yang tinggal bagi Tun Mahathir, malah untuk mengelakkan Perdana Menteri terus terbeban melindunginya kerana pemimpin Bersatu sendiri sudah mula tidak senang dengan keberadaannya di negara ini.

– https://shahbudindotcom.net

.