JANGAN SEMUA PERKARA DIKAITKAN DENGAN PERKAUMAN

KUALA LUMPUR 13 OGOS 2018. Orang ramai berjalan dibawah barisan Jalur Gemilang yang digantung di dalam sebuah pusat membeli-belah. NSTP/SUPIAN AHMAD

Sambutan Hari Raya Aidil Adha semalam, selain dipenuhi dengan cerita ibadah korban di sana sini, turut menjadi perhatian ramai ialah kisah kematian seorang lelaki akibat kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban.

Seorang lelaki Melayu meninggal dunia selepas berselisih faham dengan lelaki Cina di mana ada dakwaan mengatakan telah berlaku pergelutan serta pukulan di antara kedua-duanya.

Oleh kerana yang meninggal dunia adalah Melayu, manakala yang menyebabkan kematian pula adalah Cina, maka dengan mudah kes ini menjadi isu perkauman.

Sepanjang semalam sehinggalah hari ini, banyak sekali komen-komen di media sosial mengenai kejadian itu yang rata-rata menjurus kepada soal kaum.

Ramai yang mahu lelaki Cina itu dihukum atas tuduhan membunuh sebagai suatu keadilan kepada kematian lelaki Melayu tersebut.

Memang benar kita mahu keadilan, tetapi kejadian ini tidak harus dikaitkan dengan soal kaum. Ini adalah masalah individu atau manusia biasa.

Sesiapa saja, tidak kira bangsa, memang selalu kelihatan naik emosi apabila berada di dalam kenderaan. Mereka mudah marah atau naik angin hanya atas perkara-perkara kecil yang kadangkala bukanlah disengajakan.

Selalunya mereka bukan marah kepada orang berlainan bangsa, malah kerap juga Melayu marah kepada Melayu, Cina marah kepada Cina dan India marah kepada India.

Asal saja ada tindakan yang tidak disenangi seperti tidak memberi signal, memotong laju di sebelah kiri dan sebagainya, mereka mudah saja marah dan naik angin di jalanraya.

Kejadian semalam hanya kebetulan melibatkan orang berlainan bangsa. Jika Melayu dengan Melayu, Cina dengan Cina atau India dengan India, tiada jaminan pun kejadian semalam tidak berlaku.

Tetapi, oleh kerana ia melibatkan Cina dengan Melayu, ramai orang suka mengaitkannya dengan isu perkauman.

Ini adalah sesuatu yang malang dalam negara berbilang kaum seperti negara kita di mana jika kejadian seperti semalam berlaku sesama Melayu, sesama Cina atau sesama India saja baru ia tidak dikaitkan dengan perkauman dan semua orang diam daripada memberi komen.

Sampai bila kita mahu menjuruskan kejadian seperti ini dengan perkauman?

Tidak bolehkah kita bersikap rasional dengan menyedari perubahan sikap manusia menjadi ganas di jalanraya atau di dalam kenderaan tidak sama sekali disebabkan oleh bangsa, malah tidak juga kerana agama?

Tindakan mengaitkan sesuatu kejadian dengan elemen perkauman hanya akan memburukkan lagi, bukan saja jiwa kita, malah kehidupan seterusnya di negara ini.

Sementara yang didakwa menyebabkan kematian sudah pun ditahan reman, sebaiknya kita serahkan saja kepada pihak polis melakukan siasatan menyeluruh mengenai punca kejadian, sebab kematian, selain memanggil saksi-saksi yang relevan.

Ramai yang menulis dan memberi komen negatif di media sosial pun bukannya berada di tempat kejadian atau melihat dengan mata sendiri apa yang berlaku.

Mereka hanyalah tukang tambah atau memercikkan minyak perkauman semata-mata.

Maka, sempena Hari Raya Aidil Adha ini, marilah kita semua tuluskan hati dan serahkan kepada pihak berkuasa menjalankan kerja mereka tanpa kita masuk campur dengan sesuatu yang tidak perlu.

Apa yang kita semua harapkan, siasatan hendaklah dilakukan secara adil dan menyeluruh serta hukuman yang tegas hendaklah diambil tanpa mengira siapa dan kaum mana yang melakukannya.

– https://shahbudindotcom.ne

.