MENTERI KECIL BERFIKIRLAH YANG BESAR?

PARA anggota kabinet kerajaan Pakatan Rakyat (PH) yang dibina oleh Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri selepas 9 Mei 2018 lalu berlumba-lumba untuk menunjukkan kebolehan dan dalam masa sama untuk mencari populariti menerusi portfolio masing-masing.

Mereka mahu menunjukkan kemampuan dan kelayakan masing-masing sebagai menteri. Kemampuan mereka itu penting, kerana akan memberi gambaran mereka berjaya menjadi menteri seperti mana diharapkan oleh rakyat atau sebaliknya.


Selebihnya jika mereka dapat mencapai prestasi mampan mereka akan terus dibenar berkhidmat membangun rakyat dan negara dan tidak tercicir kalau diadakan rombakan kabinet.

Dalam banyak menteri yang berusaha keras membawa perubahan serta memenuhi aspirasi rakyat mengikut citarasa dan impian kerajaan PH, salah seorangnya ialah Menteri Pendidikan Maszlee Malik (foto). Mazslee adalah antara menteri muda yang pertama kali berada dalam kabinet. Sebelum ini beliau seorang pensyarah dan juga moderator forum-forum pendidian dan politik yang terkenal.

Beliau dilihat berjiwa Islam yang mengambil pendekatan progresif dan tidak melayani faham konsevertif seperti mana diamalkan setengah ustaz dan kumpulan di negara ini.

Seawal memegang jawatan itu, menteri ini telah muncul membuat perubahan ala-ala gimik dalam “dunia kependidikan” yang dipanggunginya apabila mengubah kasut murid daripada berwarna putih kepada warna hitam.

Alasan pengubahan warna itu kerana tidak mahu membebankan pelajar dan ibubapa dengan kasut murid yang mudah kotor. Kononnya perubahan warna itu untuk meringankan beban murid dan ibubapa dalam menjaga kebersihan dan kekemasan murid.

Cadangan Mazslee disambut negatif oleh orang ramai dan bersifat humorous. Sebagai menteri pendidikan yang bertanggungjawab kepada pembangunan jiwa, ilmu dan kemanusiaan tidak sepatutnya perubahan itu dilakukan. Maka cadangan dan idea itu dikertawakan dan diejak oleh orang ramai kerana ia satu cadangan yang remeh temeh.

Sebagai menteri pendidikan perubahan dan pembaharuan yang hendak dilakukan perlu perkara lebih besar, munasabah dan terdesak dalam dunia kependidikan negara waktu ini. Mengubah warna kasut bukan satu cadangan yang besar yang boleh dijadikan “merdu tanda” menteri bertubuh kecil itu.

Perkara paling terdesak yang perlu difokuskan oleh Mazslee ialah mencari dana untuk membantu peruntukan dalam kependidikan apabila peruntukan untuk kementerian itu telah dipotong hampir 40%.

Katanya cadangan itu bukan sahaja ditegur dan disinis oleh pemerhati dan seterus politik kerajaan, tetapi ia juga ditegur Dr Mahathir sendiri. Dalam mesyuarat kabinet, Dr Mahathir beleter panjang kepada Mazslee. Dan perkara ini disahkan sendiri oleh Mazslee semasa saya menemuinya pada suatu hari di Shah Alam.

Saya sendiri turut kurang senang dengan pengubahan warna kasut dari putih kepada hitam itu. Kononnya bila hitam tidak mudah nampak kotor. Bagi saya ia satu keterbalikan dalam pendidikan. Sepatutnya daripada hitam kepada putih. Mewarnakan kasut dengan hitam bertujuan untuk melindungi kotoran, bagi saya satu pemunafikan. Tidak sewajarnya murid-murid diajar agar berbohong terhadap diri mereka sendiri.

Murid sepatutnya didisplinkan diri dengan menjaga kebesihan termasuk memelihara kasut mereka bukannya menyembunyikan kebusukan. Daripad akasut itu juga kita dapat mengecam akan sifat dan fiil murid itu.

Khat Jawi.

Kini sekali lagi menteri itu menjadi kontroversi dengan cadangannya untuk memperkenalkan seni khat Jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu kepada murid tahap II hingga tahap IV, pada tahun hadapan. Cadangan itu kurang disenangi oleh masyarakat Cina dan mereka membantahnya.

Bantahan bukan sahaja daripada individu, aktivis budaya dan politik kaum Cina, tetapi ia turut sama ditangani oleh Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) sendiri. Dua Ngo ini sangat berpengaruh dalam masyarakat Cina di negara ini.

Gara-gara cadangan itu juga ia memberi dampak dan bebanan kepada DAP parti Cina yang menjadi rakan sekutu kerajaan hari ini. Parti itu telah mulai diasak oleh kaum Cina berhubung cadangan itu. Ia ternyata membimbangkan DAP dan dalam mesyuarat jawatankuasa mereka malam semalam mengambil masa panjang lebar membincangkan perkara berkenaan.

Kita faham kenapa orang Cina tidak bersetuju dengan kemasukan seni khat (Jawi) itu walaupun tujuannya baik untuk memperkenalkan murid dengan aspek tulisan khat dan memperkayakan  pengetahuan seni.

Masyarakat Cina khasnya budayawan mereka menyedari maksud tersirat disebalik penyerapan elemen itu dalam pendidikan. Ini kerana umum tahu tulisan Jawi adalah menjadi roh kepada budaya dan tamadun Melayu dan juga agama. Masyarakat Cina yang skeptikal sudah pasti tidak mudah menerimanya dan mereka mempunyai tanggapan ia berunsur agama.

Mereka sebenarnya takut dan bimbang ianya mempunyai unsur agama yang boleh menyerap ke dalam jiwa anak-anak mereka. Ini kerana bagi mereka tulisan Jawi hampir atau dianggap sebagai al Quran. Realiti ini  menunjukkan bahawa orang Cina di Malaysia selama ini masih belum memahami mengenai sentimenalnya tulisan Jawi kepada orang Melayu dan hubungkait ketamadunan bangsa dan agamanya.

Hal ini tidak boleh disalahkan sepenuhnya kepada mereka kerana ia sama juga dengan orang Melayu yang alergik dan mudah mencurigai dan berpersepsi dengan tulisan Cina. Bagi orang Melayu suatu waktu dahulu apabila mereka terlihat tulisan Cina ia akan terus dianggap sebagai Komunis. Begitu sekali alergik dan bencinya orang Melayu kepada tulisan Cina walaupun yang ditulis itu membawa maksud baik termasuk menjelaskan mengenai Hadith Nabi.

Jadi ia munasabah kalau orang Cina membantah cadangan kementerian pendidikan itu. Bagi mereka yang tidak memahami serta curiga dengan tulisan Jawi samalah dengan Melayu yang algergik dengan tulisan Cina tadi yang dianggapnya Komunis.

Hal sama, salah tanggap ini juga terbawa dalam soal cara kebudayaan berpakaian kebangsaan dan adat resam. Orang Melayu kurang senang dengan pemakaian Cheongsam atau Sari. Begitu juga dengan orang Cina dan India yang jahil mengenai adat dan budaya kurang senang dengan pemakaian baju kebangsaan dan baju kurang.

Sebenarnya sifat dan sikap begini perlu diubah untuk mengelakkan hal-hal yang tidak sepatunya jadi isu seperti khat Jawi itu dan ia hendaklah diterima sebagai budaya dan kesenian bersama sebagai bangsa satu negara.

Dan kepada Maszlee pula, berfikirlah membawa sesuatu yang lebih penting daripada perkara-perkara yang “furuk” seperti tulisan Jawi atau seni khat itu. Kalau pun Mazlsee hendak menyelitkan elemen agama dalam pendidikan kesenian itu, berfikirlah kesan baik dan buruknya terlebih dahulu. Ia juga tidak perlu dibuat secara tergesa-gesa dengan terus mengumumkan tanpa terlebih dahulu lumat dibincang dalam bilik mesyuarat.

Mengejar populariti tidak begitu baik kalau kesannya membalikkan cemuhan negatif dan menyusahkan. Tidak fatanah bersikap begitu.

Perlu disedari kerajaan PH hanya baharu berumur setahun jangun, jangan kerana ketidakpekaan kita kepada soal sensitivi antara kaum dilakukan. Malang kalau kerajaan setahun jagung ditolak rakyat kerana hal-hal bukan perkara dasar, dasar asas tetapi kerana obsesi dengan cita-cita peribadi dan kelompok menyelit yang bercita-cita bersar.

– http://msomelayu.blogspot.com

.