SIA2 HARAPKAN UMNO, SAMPAI MASANYA BERSATU JADI PEMILIK BARU UTUSAN

Berikutan sudah beberapa kali pekerja Utusan berdepan kelewatan pembayaran gaji, ramai yang melontarkan gesaan agar para pemimpin UMNO yang kaya raya dengan pelbagai nikmat jawatan yang pernah disandang dalam kerajaan sebelum ini tampil menghulurkan bantuan.

Kata mereka, dalam keadaan pekerja Utusan berdepan kesusahan sehingga ada yang menggantikan susu dengan sirap untuk anak-anak yang kelaparan, para pemimpin UMNO sepatutnya segera menunjukkan keprihatinan mereka.

Apatah lagi, esok adalah Hari Raya Aidil Adha dan tentulah sesuatu yang menyeksakan apabila mereka menyambut hari kegembiraan dengan tiada wang di poket masing-masing.

Selama UMNO menjadi kerajaan, Utusan adalah akhbar yang sentiasa membela dan mempertahankan para pemimpinnya, biar pun kadang-kadang pemimpin yang dipertahankan itu tidaklah sesuci mana.

Serangan Utusan kepada pembangkang juga boleh dikira konsisten, walau pun kerapkali mereka yang diserang itu bukanlah lebih jahat daripada pemimpin UMNO yang dibela itu.

Tetapi, itulah pendirian Utusan. Sesuai dengan tuan mereka adalah UMNO, apa saja dilakukan oleh pemimpin UMNO adalah betul belaka di mata Utusan.

Tambahan lagi, ketika UMNO menjadi tulang belakang kerajaan yang mentadbir negara. Bagi Utusan, membela UMNO dan para para pemimpinnya sama seperti mempertahankan kerajaan.

Tetapi, tidak sampai setahun selepas UMNO hilang kuasa, nasib pekerja Utusan mula berubah. Saiz pekerja dikecilkan, pampasan yang sepatutnya dibayar kepada pekerja yang memilih berhenti secara sukarela ditangguh-tangguh, manakala yang terus bekerja, mula-mula lewat menerima gaji dan kini langsung tidak dibayar apa-apa.

Dalam hal ini, ketidakpedulian UMNO dan para pemimpinnya terhadap nasib pekerja Utusan adalah sesuatu yang amat menyedihkan sekali.

Kenapa tiada seorang pun pemimpin UMNO datang berjumpa dan menziarahi pekerja Utusan di saat-saat mereka kesempitan sekarang?

Lupakah mereka kepada jasa Utusan selama ini?

Apakah hanya semasa menjadi kerajaan saja UMNO dan pemimpinnya dapat membantu Utusan, sedangkan para pemimpin UMNO diketahui ramai yang masih kaya-raya?

Mereka yang pernah mendapat jawatan dalam kerajaan dan liputan publisiti Utusan, sepatutnya sekaranglah menunjukkan keprihatinan dan pertolongan.

Utusan adalah milik UMNO dan UMNO kini sedang berusaha untuk menjadi kerajaan semula, tetapi dalam UMNO giat menyerang PH dan kerajaan, mereka juga tentunya bukan pilihan untuk diberi kemenangan dalam PRU akan datang kiranya gagal membantu pekerja syarikat miliknya sendiri seperti Utusan ini.

Gagal membantu Utusan adalah lambang kegagalan mutlak UMNO sebagai sebuah entiti perjuangan. MCA dan MIC pun jadi pembangkang juga, tapi adakah kita dengar pekerja syarikat milik kedua-dua parti itu ditimpa malang seperti pekerja Utusan?

Oleh itu, jika berterusan begini, lebih baik UMNO lepaskan saja pemilikan sahamnya kepada Bersatu, sebuah parti komponen dalam PH. Tiada guna UMNO terus menguasai Utusan, jika pekerjanya tiada wang untuk perbelanjaan seharian dan menyara kehidupan, di sebalik parti itu mahu kembali menjadi kerajaan.

UMNO sehingga ini terbukti gagal membela Utusan. Bukan parti itu atau para pemimpinnya tiada wang untuk membantu, masalahnya keprihatinan mereka yang jelas tiada. UMNO tidak harus bangga dan ego memiliki Utusan, tetapi di masa yang sama gagal menghulurkan bantuan.

Dengan Utusan bertukar tuan kepada Bersatu, ia dipercayai boleh kembali bernyawa. Bersatu adalah sebahagian daripada kerajaan, tentu lebih mudah menyusun dana menghidupkan syarikat media itu.

Lagi pun, Bersatu masih tiada struktur media yang tersusun untuk perjuangan masa depan dan menghadapi PRU akan datang. Bersatu tidak banyak berbeza dengan UMNO, dengan itu Utusan tidak akan berdepan sebarang masalah jika dimiliki parti itu.

Cuma, jika setelah dimiliki Bersatu nanti dan ada pekerja Utusan yang masih berhati UMNO, mereka boleh saja berhenti dan memilih haluan sendiri.

Yang boleh berubah dan sedia menyesuaikan diri, tiada masalah untuk terus kekal bersama Utusan.

Tetapi, sebagai pemilik baru, peneraju dan sebahagian ketua meja sedia ada semestinya wajib ditukar dengan orang baru.

Yang penting, Utusan mampu terus bernyawa dan sebahagian besar pekerjanya boleh meneruskan kehidupan dan membeli susu seperti biasa.

– https://shahbudindotcom.net

.