BENARKAH NAJIB SASARAN PENEMBAK TEPAT?

Najib Razak hari ini tampil memberikan bukti-bukti berhubung dakwaannya sebelum ini bahawa pejabatnya di Pekan pernah menjadi sasaran penembak tepat atau sniper.

Gambar kesan tembakan dan salinan laporan polis berhubung kejadian itu juga turut disertakan.

Kata Najib sebelum ini, ketika kejadian tembakan yang mengenai tepi kaca bilik pejabatnya di Pejabat UMNO Pekan, beliau tiada di pejabat dan tembakan tersebut seolah-olah berupa amaran kepadanya.

Katanya lagi, sejak itu juga, atas nasihat polis, kawalan keselamatan keatasnya telah diperketatkan lagi.

Begitu pun, tambah bekas Perdana Menteri itu, kejadian yang berlaku pada 2017 tersebut gagal dikesan oleh pihak polis siapa yang bertanggungjawab melakukannya.

Di sebalik ada laporan polis dibuat, persoalan ramai ialah kenapa baru sekarang perkara ini didedahkan?

Betulkan kejadian itu dilakukan oleh penembak tepat atau sniper?

Bagaimanapun, jika benar seperti dakwaan awal Najib bahawa tembakan itu dilakukan oleh penembak tepat atau sniper, beberapa kemusykilan timbul di sini.

Pertama, penembak tepat jarang tersasar daripada target yang mereka disasarkan. Selalunya tembakan mereka adalah tepat.

Kemungkinan mangsa tersasar dan terlepas daripada tembakan barangkali hanya 0.1 peratus saja.

Kedua, penembak tepat tidak melepaskan tembakan ketika diketahui sasaran tidak berada di tempat yang disasarkan.

Sniper tidak suka membuang peluru, membuang peluru adalah penembak amatur.

Ketiga, penembak tepat tidak akan sesekali melepaskan tembakan amaran. Memberi amaran bukan mainan mereka. Matlamat mereka ialah mati di robek peluru.

Tetapi, ketiga-tiga perkara di atas ada dalam kes yang melibatkan Najib – tembakan tidak mengenai sasaran, tembakan dilepaskan ketika Najib tiada di tempat tersebut dan ia disebut seolah-olah sebagai amaran.

Oleh itu, benarkah ia tembakan yang dilakukan oleh penembak tepat?

Atau barangkali ia hanya kelakuan oleh mereka yang baru belajar menembak, atau pun hanya peluru sesat yang kebetulan terkena Pejabat UMNO Pekan?

– https://shahbudindotcom.net

.