SURAT TERBUKA KEPADA TUN MAHATHIR DAN PIMPINAN PAKATAN HARAPAN

PAKEJ PERALIHAN YANG JELAS UNTUK KESTABILAN DAN REFORMASI

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), menggesa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil langkah yang jelas dan tetap untuk membawa kestabilan politik dalam negara ini dengan meletakkan pakej peralihan yang jelas berdasarkan perjanjian Pakatan Harapan pra-PRU14.

Pergolakan PKR, salah satu parti komponen yang utama dalam gabungan PH, sedang merisaukan rakyat dan komuniti antarabangsa kerana berpotensi untuk memecahbelahkan gabungan tersebut serta menyebabkan politik negara ini dalam keadaan kucar-kacir.

Kebimbangan kami sebagai pertubuhan masyarakat sivil yang telah dan sedang mendesak reformasi institusi dan politik di negara ini adalah agenda pembaikan kerajaan PH akan terhenti, atau lebih parah, apa yang sedang dicapai kini akan terundur kepada sistem yang lama sekiranya kestabilan politik tidak dipulihkan. Sebagai kumpulan masyarakat sivil yang tidak partisan, kerisauan kami hanya tertumpu kepada kestabilan politik dan kebertanggungjawaban dalam penggal ke-14 parlimen tanpa ada sebarang kecenderungan untuk PRU15.

Maka, kami ingin mencadangkan langkah-langkah konkrit berikut yang perlu diambil bagi mengembalikan kestabilan politik.

1. PELAN PERALIHAN KUASA UNTUK PERDANA MENTERI

Kami menggesa agar Tun Mahathir menetapkan satu tarikh antara setahun akan datang sehingga 9 Mei 2021, untuk menyerahkan kuasa kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim(DSAI), selari dengan perjanjian pra-PRU14 antara gabungan parti komponen PH. Walaupun tidak ada rangka masa yang dinyatakan dalam perjanjian itu, Tun dalam pelbagai majlis sering mengatakan tempoh peralihan akan mengambil masa 2 ke 3 tahun selepas PH membentuk kerajaan. Bagi memastikan kelancaran peralihan, DSAI perlu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri enam bulan sebelum tarikh yang ditetapkan. Dengan pelan peralihan yang jelas, ianya akan memadamkan desas-desus dan teori-teori konspirasi yang dibuat oleh mereka yang ingin mendapat laba daripada ketidakstabilan dan terpecahnya gabungan PH.

2. HADKAN TEMPOH PM KEPADA DUA PENGGAL

Ini adalah janji manifesto yang masih belum dipenuhi dan kami menggesa Tun untuk mendesak pindaan undang-undang yang berkaitan bagi memenuhi janji ini sebelum beliau meletak jawatan sebagai PM. Rasional untuk menetapkan had penggal adalah supaya Perdana Menteri akan datang tidak akan memegang kuasa terlalu lama, yang bukan sahaja akan merisikokan salah guna kuasa dan rasuah, malah akan menyebabkan kekecewaan serta timbul perasaan antagonis oleh pihak yang berminat untuk memegang jawatan perdana tersebut. Melainkan penggal pertama yang tidak dimulakan dengan parlimen yang baru kurang daripada dua tahun, penggal PM perlu dimulakan daripada masa perlantikan dan bukannya pada permulaan penggal Parlimen yang baru bagi memastikan penggal maksimum yang dibenarkan dikekalkan kepada dua penggal.

3. PENGURANGAN KUASA PERDANA MENTERI

Manifesto PH telah menjanjikan pengurangan kuasa Eksekutif pada tangan Perdana Menteri. Penyalahgunaan kuasa oleh mantan Perdana Menteri sebelum ini menjadi fakta bahawa kuasa yang terlalu banyak tertumpu pada pejabat Perdana Menteri. Melainkan undang-undang dipinda dan parlimen diperkasakan semula, terutamanya proses pelantikan utama kerajaan, tidak ada jaminan PM selepas ini tidak akan menggunakan kuasa yang ada sekarang untuk berpaut kepada jawatannya dengan menaungi kesetiaan pemimpin dan pengundi, mengakibatkan wajah buruk kleptokrasi terjelma kembali. Struktur kuasa yang lebih serata dengan menghadkan penggal PM akan mewujudkan keamanan dan kestabilan yang lebih mudah diantara ahli politik yang bercita-cita tinggi dengan mewujudkan peluang untuk kemajuan dalam kerjaya politik.

4. SEGERAKAN REFORMASI INSTITUSI

Sejumlah janji manifesto yang dijanjikan yang perlu disegerakan pelaksanaannya tanpa bertangguh lagi adalah manifesto untuk mengukuhkan institusi awam utama seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia(SUHAKAM) dan Jabatan Peguam Negara. Pindaan perlembagaan diperlukan untuk penginstitusian institusi-institusi ini dengan bebas dan perkasa agar mereka dapat menjadi badan semak dan imbang yang berkesan kepada sistem kerajaan kita. Akta drakonian yang melanggar hak asasi di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan wajib dimansuhkan segera serta undang-undang melawan perkauman dan bias gender juga perlu disemak semula untuk dipinda atau digubal di mana perlu.

5. UBAH SISTEM PILIHANRAYA YANG LEBIH INKLUSIF

Sistem pilihan raya kita secara FPTP digandingkan dengan masyarakat majmuk menggalakkan mentaliti menang dapat semua kalah dapat arang dalam kalangan ahli politik kita telah menghasilkan perbahasan politik yang ekstrim dan memecahbelahkan. Kami menggesa kerajaan dan semua pihak untuk memulakan dialog nasional bagi membincangkan untuk kita bergerak keluar daripada sistem FPTP dan menuju ke sistem kerusi Perwakilan Berkadaran berdasarkan Senarai-Parti(List-PR). Ini akan memastikan perwakilan yang lebih majmuk di dalam parlimen dan menghapuskan keperluan mereka untuk memainkan isu perkauman untuk menggerakkan pengundi. Kerusi Senarai Perwakilan Berkadaran juga dapat mengatasi perbalahan intra-gabungan untuk peruntukan kawasan pilihan raya yang biasa terjadi dengan sistem FPTP dengan membenarkan parti-parti gabungan bertanding secara terbuka dan secara sihat antara satu sama lain melalui undi parti, berbanding sebelum ini dengan cara sabotaj dan perancangan sulit. Senarai Perwakilan Berkadaran juga bukan sahaja dapat memberikan kuota kepada wanita dan kumpulan terpinggir, mandat kepada parti secara langsung juga dapat mengukuhkan parti politik dan menyukarkan untuk lompat parti. Ini adalah selari dengan aspirasi PH untuk membina negara yang lebih inklusif, progresif dan makmur.

Kami menggesa pimpinan kerajaan PH -Tun Dr Mahathir, Majlis Presiden PH dan Warisan untuk mengambil tindakan tanpa lengah lagi bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan ini. Mesej yang jelas mesti dihantar kepada semua yang kebajikan negara dan agenda reformasi mendahului kepentingan peribadi dan parti.

PH hanya mempunyai kurang empat tahun dari tempoh sepenggal untuk mengotakan janji reformasi dan kemakmuran kepada pertiwi ini. Pulihkan kestabilan politik dan pentadbiran sekarang untuk tempoh penggal yang berbaki.

Dikeluarkan bersama oleh:

– Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0)

– Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

– Gabungan Bertindak Malaysia (GBM).

– https://shahbudindotcom.net

.