TIMBAL BALIK MUHIBAH KERAJAAN DAN KAKITANGAN AWAM

Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

Kerajaan dan kakitangan awam umpama aur dengan tebing

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sekali lagi menasihatkan ahli politik supaya belajar bekerjasama dengan kakitangan awam dan bagi kakitangan awam setia kepada kerajaan.

Kali ini nasihat itu ditujukan kepada Ahli Parlimen (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang termasuk beberapa orang menteri, menteri besar dan timbalan menteri, dalam dialog lebih dua jam di Putrajaya semalam.

Beliau memberi contoh bagaimana beliau menjalin kerjasama yang panjang dan produktif dengan pegawai-pegawai beliau selama menjadi Perdana Menteri.

Dr Mahathir menasihati peserta dialog jangan terlalu cepat memindah atau membuang kakitangan awam kerana tindakan seperti itu tidak akan menyelesaikan masalah.

Namun begitu Perdana Menteri bersetuju dengan pendapat bahawa bukan semua kakitangan awam menerima dan setia kepada kerajaan baru Pakatan Harapan (PH).

Banyak yang masih “setia” kepada kerajaan lama dan mengamalkan cara lama, termasuk rasuah, atas kepercayaan yang kerajaan PH tidak akan kekal.

Ini adalah realiti yang mana-mana juga kerajaan baru terpaksa hadapi apatah lagi dalam konteks Malaysia di mana kerajaan lama (Barisan Nasional) berkuasa lebih 60 tahun.

Saya pun tahu perkara ini melalui pengalaman sendiri dan daripada cerita banyak orang bahawa ada kakitangan awam enggan bekerjasama dengan kerajaan atau masih mengamalkan cara lama, termasuklah melambat-lambatkan urusan dengan tujuan diberikan sogokan.

Malahan ada kakitangan kanan kerajaan datang mengadu dan meminta nasihat mengenai ketua dan rakan sekerja mereka yang secara tersurat dan tersirat menentang hasrat dan arahan kerajaan.

Hal seumpama ini kerap berlaku apabila kerajaan cuba melakukan reformasi dengan memansuh, meminda atau membuat undang-undang baru.

Mereka menentang kerana takut hilang kuasa atau kesalahan mereka selama ini terbongkar.

Sungutan juga terdengar mengenai sesetengah pengerusi, ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) lantikan kerajaan baru yang tidak berprestasi seperti yang diharapkan.

Ada yang mengambil sikap berkonfrontasi dengan kakitangan asal dan ada juga yang mengikut telunjuk kakitangan asal.

Sungutan juga dibangkitkan mengenai agensi dan jabatan yang tidak berubah barang sedikit pun daripada zaman kerajaan dahulu sama ada dari segi kakitangan atau orientasi politik.

Saya rasa menteri yang bertanggungjawab ke atas agensi dan jabatan seperti itu wajib melakukan tindakan “fast track” merombak dan mengorientasikannya agar selaras dengan dasar dan aspirasi kerajaan baru.

Dalam hubungan ini, nama Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Jabatan Penerangan disebut khusus.

Masalah ingkar arahan, salah guna kuasa dan rasuah boleh diatasi atau setidak-tidaknya pun dikurangkan melalui pemantauan dan tindakan tegas oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Melaysia (SPRM), Jabatan Perkhidmatan Awam dan Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).

Sebaik-baiknya salam muhibah dan tawaran kerjasama Perdana Menteri ini hendaklah disambut secara ikhlas oleh kakitangan awam demi negara tanpa mengira orientasi politik dan ideologi mereka.

– https://kadirjasin.blogspot.com

.