PH AKAN KALAH PRU15 JIKA TUN M TIDAK BERUNDUR

Kepada mereka yang selalu mendesak agar Tun Mahathir Mohamad meneruskan khidmatnya sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal, sesuatu yang harus disedari ialah tindakan itu lebih mendedahkan PH kepada risiko kekalahan pada PRU15 akan datang.

Sekiranya Tun Mahathir masih Perdana Menteri dan mengetuai PH ketika itu, itulah sebenarnya yang diharap-harap serta ditunggu-tunggu oleh gabungan BN dan Pas kerana peluang mereka untuk menang akan terbuka dengan seluas-luasnya.

Sama ada dengan kekalnya Tun Mahathir sehingga PRU15 akan menyebabkan PH berpecah atau tidak, kelibat Tun Mahathir pada PRU akan datang sebenarnya tidak lagi sama seperti ketika beliau mengetuai PH menumbangkan BN pada PRU14 lalu.

Malah, jika dengan enggannya Tun Mahathir melakukan peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim dan akhirnya menyebabkan PH berpecah, kemungkinan kembalinya BN ke persada kuasa dengan bantuan Pas akan secerah langit di pagi hari.

Menjelang dan mendepani PRU14, aura Tun Mahathir memang tengah memuncak kerana beliau berdepan dengan Najib Razak yang banyak masalah dan karenah.

Tetapi, setelah beberapa bulan kembali menduduki kerusi Perdana Menteri buat kali kedua, dengan banyak janji tidak ditepati, keegoan makin meninggi untuk kembali kepada perangai Perdana Menteri ke-4, disertai dengan banyak berdalih berkenaan peralihan kuasa, sokongan terhadap Tun Mahathir jelas telah merosot dengan mendadak.

Bukan saja berdasarkan banyak kajian yang menunjukkan sokongan terhadap beliau makin merosot, malah kunjungannya ke tempat-tempat awam tidak lagi menggamit keghairahan ramai untuk bersalam atau bergambar dengannya.

Apatah lagi setelah melepasi tempoh setahunnya menjadi Perdana Menteri, bukan kerja memulihkan ekonomi dan membaiki kerosakan negara yang ditinggalkan Najib yang terlihat banyak dilakukannya, sebaliknya penuh dengan gerak kerja dan agenda politik untuk mengekalkan kuasa semata-mata.

Mesyuarat dan perjumpaan yang bersifat politik nampaknya lebih menjadi keutamaan Tun Mahathir berbanding agenda untuk rakyat dan negara.

Lantaran itu, rakyat mula kecewa. Pembaharuan yang kerap dilaungkan sebelum beroleh kuasa tampak hanya retorik apabila kuasa sudah ada dalam genggaman, sedangkan sebahagian pembaharuan itu tidak pun memerlukan kos apa-apa.

Inilah juga yang mendorong secara tiba-tiba Najib kembali popular. Rakyat ingin menunjukkan mereka boleh membalas dendam dan menyokong kembali pemimpin yang pernah dijatuhkan lantaran banyak janji tidak mahu ditepati.

Yang paling membuatkan rakyat sakit hati ialah apabila Tun Mahathir dengan selamba pernah berkata, Buku Harapan yang mengandungi janji-janji manifesto bukanlah sebuah kitab suci yang wajib dipatuhi.

Untuk itu, bagi mendepani PRU15 akan datang, PH memerlukan pemimpin baru untuk mengekalkan kemenangan dan menjadikannya tetap sebagai sebuah kerajaan.

Ia tidak ubah seperti menangnya BN dengan gemilang pada PRU 2004 lalu. Ia jelas disebabkan BN dan negara ketika itu diterajui oleh Pak Lah sebagai peneraju baru yang turut disertai dengan kegembiraan kerana meraikan persaraan seorang pemimpin yang sudah terlalu lama berkuasa.

Seorang bekas menteri pernah berkata, jika Tun Mahathir tidak berundur pada 2003 dan beliau masih kekal mengetuai BN pada PRU 2004 itu, ada kemungkinan ketika itu BN akan pertama kali hilang majoriti dua pertiganya.

Ini kerana, di sebalik beliau disifatkan telah berkhidmat dengan cemerlang, agenda politiknya yang keterlaluan dengan “membunuh” ramai musuh-musuh politiknya serta tempohnya memegang jawatan Perdana Menteri yang dianggap sudah terlalu lama, ia akan menjadi suatu beban yang tidak terduga di peti-peti undi.

Namun, dengan beliau mengumumkan pengundurannya pada 2002 dan Pak Lah mengambil alih teraju parti serta negara pada 2003, kemungkinan BN hilang majoriti dua pertiga itu telah dapat ditukar kepada kejayaan paling gemilang dengan memenangi 198 kerusi Parlimen pada 2004 itu.

Begitu juga pada PRU15 akan datang, PH memerlukan pemimpin baru yang dapat tampil dengan idea serta pendekatan baru untuk terus mengekalkan PH sebagai kerajaan.

Lagi pula, jika PH kalah di tangan Tun Mahathir pada PRU15 akan datang, ia dengan sendirinya akan mengambus segala rekod dan kecemerlangannya selama ini, sekaligus menjadikan legasinya gelap sepanjang zaman.

– https://shahbudindotcom.net

.