ANWAR MAKIN KUKUH DAN PKR GAGAL DIPECAHKAN, TUN M SEMAKIN TIADA PILIHAN

Jika diperhati dan diamati, sejak awal sebaik beroleh kuasa sebagai Perdana Menteri buat kali kedua lagi, Tun Mahathir Mohamad sudah mula menampakkan sikap tidak ikhlas dan seolah-olah enggan melakukan penyerahan jawatan kepada Anwar Ibrahim, meskipun ia adalah sesuatu yang sudah diikat dengan perjanjian.

Ia ditunjukkan dengan tindakannya melantik Azmin Ali sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, walaupun ketika itu Timbalan Presiden PKR itu sudah pun mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor.

Lebih ketara tindakannya melantik Azmin itu bertujuan melaga-laga dan memecah-belahkan PKR ialah kerana Azmin sebenarnya tidak pernah sama sekali dicalonkan oleh parti itu untuk mengisi jawatan menteri.

Ini memperlihatkan Tun Mahathir telah mengkhianati parti-parti dalam PH sendiri dengan membuat perlantikan menteri mengikut kehendak hatinya semata-mata.

Jika perlantikan itu daripada kalangan pemimpin Bersatu, ia mungkin tidak menjadi masalah sesuai dengan kedudukan Tun Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu.

Tetapi, perlantikan daripada kalangan parti-lain lain seharusnya mestilah berdasarkan pencalonan daripada setiap parti.

Ia sama seperti ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun bersama BN sebelum ini, semua lantikan menteri daripada MCA, MIC, PBB atau PBS dan lain-lainnya misalnya, ia sudah tentu bukan berdasarkan pilihannya sendiri, melainkan setelah dicalonkan oleh parti-parti komponen terbabit.

Dalam hal ini, ternampak Tun Mahathir sengaja berniat jahat melantik Azmin sebagai menteri kanan untuk mewujudkan perbalahan dan keadaan tidak sihat dalam PKR.

Sudah barang tentu tujuannya ialah supaya parti itu berpecah dan dengan itu peralihan kuasa kepada Anwar sebagaimana yang dijanjikan, dapat dilengah-lengahkan atau dibatalkan sama sekali.

Sebab itu jugalah kemudian, bahkan sampai sekarang, pendirian Tun Mahathir tentang peralihan kuasa tidak pernah konsisten serta sentiasa berubah-ubah.

Di sebalik mulut manisnya sentiasa berkata akan tetap menepati janji dan mengotakan kata, tetapi tindakan serta papan caturnya sentiasa digerakkan berbeza di belakang tabir.

Selain memperalatkan Azmin, kemudian mengukuhkan kekuatan dengan menarik satu demi satu Ahli Parlimen UMNO menyertai Bersatu, terbaru beliau menjemput pula Pas, GPS dan kelompok “barua” dalam UMNO untuk turut setuju menyokong perlanjutan tempohnya sebagai Perdana Menteri.

Ada ura-ura menyebut, jika sokongan tersebut diperolehi, Tun Mahathir akan menggunakan Parlimen sebagai medan membolehkannya disokong menjadi Perdana Menteri sehingga habis penggal.

Di waktu yang lain, kelompok Azmin dan pemimpin dalam Bersatu mula bersuara mengeluarkan desakan agar beliau diberi ruang menjadi Perdana Menteri dengan lebih lama atau sehingga tamat penggal.

Jika tanpa restu Tun Mahathir, mereka ini tidak mungkin berani bersuara kerana realitinya perjanjian dan konsensus tentang peralihan kuasa kepada Anwar itu sudah pun ada sejak sebelum PRU14 lagi.

Itulah juga sebabnya, sehingga ini, meskipun ada desakan yang bertujuan demi kestabilan PH iaitu agar beliau segera menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada Anwar sebagaimana yang pernah dilakukannya kepada Pak Lah sebelum ini, ia langsung tidak pernah dipedulilannya.

Jika Tun Mahathir benar-benar ikhlas dan tiada “amalan jari lurus, kelingking berkait” dalam hatinya, apa yang susahnya untuk beliau menetapkan tarikh berundur dan menyerahkan jawatan kepada Anwar?

Bukankah ini satu-satunya cara ke arah kestabilan PH?

Sudah dua kali dapat jadi Perdana Menteri, usia sudah 94 dan kesihatan serta tenaga pun tidak sekuat mana yang tinggal, apa lagi yang mahu dikejarnya dalam dunia yang bila-bila masa boleh ditinggalkannya ini?

Lebih-lebih lagi sekarang ini, satu demi satu percubaannya untuk melemahkan Anwar dan memecah-belahkan PKR, semuanya nampak seperti tidak berjaya.

Azmin yang diperalatkan dan mahu ditonjolkannya sebagai penggantinya, sebaliknya kini berdepan pula dengan isu video seks sejenis yang dipercayai ramai beliaulah pelakunya.

Walaupun Tun Mahathir masih cuba melindungi Azmin, tindakan ini hanya menambahkan hodoh wajahnya di mata umum. Beliau seolah-olah menanggung biawak hidup saja layaknya.

Azmin dalam hal ini bukan saja makin tersudut dan terhakis sokongannya, tetapi Anwar di waktu yang sama tambah mengukuh dan mantap kedudukannya dalam PKR.

Dengan sokongan 198 daripada 222 Ketua Cabang PKR yang menyokongnya serta mahu beliau dijadikan Perdana Menteri sebagaimana yang telah dijanjikan, Tun Mahathir sebenarnya tidak banyak pilihan lagi di tangannya.

Beliau menang atas nama PH dan bertanding pun menggunakan logo PKR, seharusnya akur sajalah dengan perjanjian dan konsensus PH berhubung peralihan kuasa kepada Anwar.

Jangan sampai dikata orang tindakannya berbaik semula dengan Anwar dan sanggup pergi ke mahkamah dahulu adalah semata-mata kerana politik dan dengan harapan dapat mengkhianati dan menghalang Presiden PKR itu sekali lagi daripada menjadi Perdana Menteri.

Semakin kukuhnya kedudukan Anwar dalam PKR, sementara konsensus PH tetap tidak berubah, manakala yang bersuara mahukannya terus berkhidmat sehingga habis penggal hanyalah pemimpin picisan, mematuhi perjanjian dan lebih baik jika disertakan tarikh peralihan, inilah sebaik-baik pilihan yang tinggal buat Tun Mahathir.

– https://shahbudindotcom.net

.