ANWAR SEBAGAI CALON PM-8 ADALAH PILIHAN PH, TUN M TIADA RUANG PILIH PENGGANTI, SEMUA PILIHANNYA SEBELUM INI TERBUKTI SALAH

Tun Mahathir Mohamad selalu berkata beliau adalah seorang yang tidak pandai dan sentiasa salah dalam memilih penggantinya.

Ini berikutan kedua-dua pemimpin yang pernah dipilihnya, Tun Abdullah Badawi sebagai penggantinya dan kemudian Najib Razak yang disokongnya dengan kuat untuk menjadi Perdana Menteri, adalah pilihan yang salah serta akhirnya lebih banyak mendatangkan kerosakan kepada negara.

Berikutan itu, Tun Mahathir telah keluar daripada persaraannya untuk memaksa Pak Lah berundur dan menubuhkan Bersatu untuk menumbangkan UMNO bagi tujuan menyingkirkan Najib.

Sekarang Tun Mahathir sekali lagi menjadi Perdana Menteri. Namun kali ini beliau menjadi Perdana Menteri melalui PH, bukan melalui BN.

PH adalah jauh berbeza dengan BN. Dalam BN, pengganti Perdana Menteri boleh ditentukan oleh Perdana Menteri di mana beliau boleh menonjolkan pemimpin yang disukainya dengan memberi pelbagai jawatan kanan dalam kerajaan supaya mudah memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO atau melantik sesiapa sebagai Timbalan Perdana Menteri agar boleh menduduki kerusi Timbalan Presiden UMNO kemudiannya dengan lebih mudah.

Sebaliknya, dalam PH, pengganti Perdana Menteri ditentu dan diputuskan oleh Majlis Presiden. Kaedah ini lebih baik dan lebih telus berbanding BN.

Tun Mahathir selaku Perdana Menteri hakikatnya tiada kuasa menentukan penggantinya tanpa persetujuan atau konsensus Majlis Presiden PH.

Kedudukan Anwar sebagai bakal Perdana Menteri ke-8 atau pengganti kepada Tun Mahathir bukanlah atas pilihan Tun Mahathir.

Pemilihan Anwar adalah merupakan ketetapan PH melalui Majlis Presiden yang kemudian disahkan dalam Kongres PH pada 6 Januari 2018 iaitu empat bulan sebelum PRU14 diadakan.

Oleh yang demikian, dengan memahami perbezaan antara PH dan BN ini, mereka yang siang malam mengampu serta membodek Tun Mahathir dan dalam masa yang sama membenci Anwar dan mahu Perdana Menteri memilih pemimpin lain sebagai penggantinya, haruslah terlebih dahulu faham realiti dan sistem yang diamalkan oleh PH.

Tun Mahathir mungkin boleh menonjolkan seseorang atau melindungi sesiapa saja daripada di dakwa di mahkamah atas kuasanya sebagai Perdana Menteri, tetapi beliau tidak boleh memilih sesuka hati atau secara sendirian mana-mana pemimpin kesukaannya sebagai penggantinya.

Pengganti Perdana Menteri mesti dirunding, dibincang, diputus dan dikonsensuskan oleh Majlis Presiden PH.

Lebih-lebih lagi, oleh kerana Anwar sudah ditetap dan dikonsensuskan sebagai Perdana Menteri selepasnya, Tun Mahathir lebih tidak boleh sewenang-wenangnya menolak Presiden PKR itu untuk digantikan dengan pemimpin lain.

Inilah kebaikan dan kelebihan PH berbanding BN.

Dalam konteks yang lain, sistem yang diamalkan oleh PH ini juga dapat mengelakkan negara daripada terjerumus kepada ulangan memiliki Perdana Menteri yang salah seperti pemilihan Pak Lah dan Najib sebelum ini.

Oleh kerana Tun Mahathir telah terbukti tidak pandai memilih penggantinya, maka sistem ini tidak memberi ruang kepada beliau melakukan salah pilih pengganti sekali lagi.

Lebih daripada itu, oleh kerana telah terbukti dan diakui sendiri oleh Tun Mahathir bahawa beliau tidak pandai serta selalu salah memilih penggantinya, memberinya ruang sekali lagi membuat pilihan tentulah merupakan suatu sikap yang juga salah.

Walaupun pilihan PH sebagai bakal Perdana Menteri ke-8 iaitu Anwar belum tentu suatu pilihan yang tepat, tetapi dalam mana-mana sistem sekalipun, pilihan yang dibuat ramai orang atau secara konsensus oleh empat parti – PKR, DAP, Amanah dan Bersatu – tentunya lebih baik berbanding pilihan yang hanya dilakukan oleh Perdana Menteri seorang diri.

Daripada sudut baiknya pula tentang Tun Mahathir tiada kuasa memilih penggantinya ini ialah beliau tidak lagi terbeban dengan sebarang penyesalan selepas berundur nanti.

Tun Mahathir boleh saja berundur dan seterusnya melakukan peralihan kuasa dengan aman dan tenang sebagai seorang negarawan tulen yang akan dikenang sepanjang zaman atas jasa-jasa yang ditinggalkannya.

Berbeza jika beliau boleh memilih penggantinya, bayangkan apa jadi andai pilihannya kali ini salah juga sebagaimana salahnya beliau memilih Pak Lah dan Najib sebelum ini?

Sudah tentu tiada kesempatan lagi untuknya dalam usia 94 ketika ini untuk membetulkan atau menjatuhkan semula pemimpin yang salah dipilihnya itu.

-https://shahbudindotcom.net/

.