MEREKA YANG MAHU TUN M JADI PM SEHINGGA HABIS PENGGAL LANGGAR KETETAPAN PH DAN WAJAR DIAMBIL TINDAKAN

Sebagaimana yang telah kerap saya tulis sebelum ini, malah saya sebut dalam ucapan semasa diskusi buku “Anwar PM Ke-8 Janji Serah Kuasa Yang Mesti Ditepati” pada 17 Julai lalu, keputusan menetapkan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri ke-8 adalah merupakan ketetapan, persetujuan dan konsensus PH sejak sebelum PRU14 lagi.

Perkara itu ditetapkan dalam Kongres PH yang diadakan di Shah Alam pada 6 Januari 2018 iaitu kira-kira empat bulan sebelum PRU14 diadakan.

Perkara-perkara yang dikonsensuskan dalam kongres tersebut serta dipersetujui oleh PKR, DAP, Amanah dan Bersatu sekiranya PH menang PRU14 ialah:-

⁃ Tun Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri.

⁃ Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.

⁃ Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8 menggantikan Tun Mahathir.

⁃ Membebaskan Anwar dengan kadar segera daripada penjara.

⁃ Memohon pengampunan penuh buat Anwar daripada Yang Dipertuan Agong agar beliau boleh kembali aktif dalam politik dan seterusnya mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Daripada lima ketetapan itu, empat daripadanya sudah pun ditunaikan, sesuai dengan mandat rakyat yang memberi kemenangan dan menjadikan PH sebagai kerajaan baru buat Malaysia.

Hanya satu konsensus lagi yang belum ditunaikan iaitu penyerahan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.

Meskipun tiada tempoh masa ditetapkan bagi peralihan jawatan itu, tetapi Tun Mahathir sendiri yang awal-awal menyebut beliau hanya memerlukan tempoh masa selama dua tahun saja memegang jawatan Perdana Menteri.

Mengambil kira bahawa selepas dua tahun menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir akan berusia 95 tahun, ia dianggap waktu yang sesuai bagi peralihan kuasa dan tepat untuk negara mempunyai seorang Perdana Menteri baru yang lebih muda serta bertenaga.

Lagi pula, dua tahun itu bermakna jatuh pada Mei 2020 dan ia sangat cantik sebagai tarikh pengunduran Tun Mahathir yang mencipta Wawasan 2020 sebelum ini.

Oleh yang demikian, bagi sesiapa yang menyokong dan mengundi PH pada PRU14 lalu, tiada sebab mereka tidak boleh faham dan hadam mengenai konsensus PH itu.

Konsensus tersebut mesti disokong sebagaimana kita semua tiada masalah apabila empat ketetapan lain dilaksanakan sebelum ini, maka persetujuan mengenai peralihan kuasa juga hendaklah dipersetujui sama.

Dalam hal ini, sesiapa yang cuba melanggar atau menodai ketetapan itu, seharusnya mereka diambil tindakan disiplin yang sewajarnya oleh PH.

Perbuatan itu jelas suatu tindakan yang bertujuan memecah-belahkan PH dan memberi ruang kepada pembangkang memanipulasinya untuk kepentingan mereka.

Baik Azmin Ali, tiga Adun Bersatu dari Selangor dan yang terbaru, Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang yang bersetuju agar Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri sehingga akhir penggal, mereka ini wajar diambil tindakan disiplin yang sama tanpa pilih kasih.

Mereka jelas telah melakukan sesuatu yang bercanggah dengan ketetapan PH secara sedar dan sengaja.

Tindakan disiplin ini adalah sebagai suatu pengajaran agar tiada pihak lain terus mengeluarkan kenyataan yang serupa yang akhirnya menjuruskan PH ke arah perpecahan sesama sendiri.

Lainlah bagi mereka yang mengundi Pas atau mengundi BN dan masih bersama parti-parti tersebut atau mereka yang menyertai mana-mana parti dalam PH setelah tidak sanggup hidup sebagai pembangkang bersama dengan UMNO selepas PRU14 berakhir, nawaitu mereka mungkin berbeza apabila menyokong agar Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri dengan lebih lama.

Mereka ini sama ada mahu melihat UMNO dan Pas pula menjadi kerajaan atau kepentingan poket dan perut melebihi segala-galanya dan pandangan mereka tak boleh pakai sama sekali.

Seperti kata A Kadir Jasin, Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, pendirian Pas dan UMNO yang mahu Tun Mahathir berkhidmat sehingga habis penggal bukanlah merupakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Ia, tegas beliau, hanya bertujuan untuk memecahkan PH.

-https://shahbudindotcom.net

.