AKHIRNYA TUN M SENDIRI DEDAHKAN KEINGINAN UNTUK MUNGKIR JANJI

Sekarang ini semua perbualan dalam negara rata-rata tertumpu berkenaan isu pertemuan antara Tun Mahathir Mohamad dengan pemimpin pembangkang daripada UMNO, Pas serta GPS dan kaitannya dengan usaha memanjangkan tempoh khidmatnya sebagai Perdana Menteri dengan lebih lama.

Apalagi sebagaimana yang didedahkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Abang Haji Openg, pertemuan itu adalah atas jemputan Tun Mahathir sendiri.

Walaupun pada awalnya Tun Mahathir cuba berahsia dengan mengatakan ia adalah perjumpaan rahsia dan enggan mengesahkan sama ada Azmin Ali turut hadir atau tidak dalam perjumpaan itu, beliau akhirnya terpaksa mengalah setelah didedahkan oleh Abang Jo.

“Tidak ada rahsia apa-apa pun,” kata Tun Mahathir malam tadi.

Sebelum itu, selain enggan mengesahkan tentang kehadiran Azmin, Perdana Menteri juga berdalih mengenai pertemuan itu dengan berkata, “mereka yang nak jumpa saya, jadi saya jumpa dengan mereka”.

Tetapi dengan akhirnya terbukti beliau yang menjemput kehadiran pemimpin-pemimpin pembangkang dalam pertemuan itu, apalagi berdasarkan maklumat lain bahawa memang sah Azmin turut sama hadir, sudah tentu pertemuan itu ada kaitan dengan keinginan Tun Mahathir untuk menduduki kerusi Perdana Menteri dengan lebih lama lagi.

Ia terlihat bukan saja disebabkan Pas dan Azmin yang hadir dalam pertemuan itu, malah juga berikutan Hishammuddin Hussein adalah pemimpin UMNO yang turut dijemput.

Oleh kerana sudah diketahui secara terbuka bahawa Pas dan Azmin mahu Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri sehingga ke akhir penggal, mempelawa Hishammuddin dan GPS tidak lain adalah bertujuan memperkukuhkan lagi rancangan itu.

Dalam hal ini, meskipun Hishammuddin bukanlah pemimpin yang ada jawatan kanan dalam UMNO atau boleh dikira mewakili parti itu, peranannya boleh jadi kerana beliau dirasakan boleh memainkan peranan menarik sebahagian Ahli Parlimen parti itu untuk menyokong pemanjangan tempoh khidmat Tun Mahathir.

Apa yang paling nyata daripada semua ini ialah Tun Mahathir memang mempunyai niat serta hasrat untuk berkhidmat lebih lama sebagai Perdana Menteri dan sedang berusaha mencari jalan merealisasikannya.

Tentulah tidak mungkin perjumpaan itu untuk membincangkan soal royalti minyak dengan Pas, berkenaan akaun bank UMNO yang dibekukan atau berkaitan hak-hak Sarawak dalam Persekutuan.

Di sebalik berulang kali mengatakan akan mengotakan janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim sebagaimana yang telah dipersetujui, Tun Mahathir rupa-rupanya sedang memilih “jalan munafik” untuk memungkiri janji tersebut.

Patutlah selama ini cakap atau kata-kata beliau tidak pernah sama apabila ditanya berhubung peralihan kuasa dan tempohnya berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

Sekejap beliau mengatakan dua tahun, kemudian dua tahun setengah, selepas itu tiga tahun, kemudian lagi dikatanya sehingga ekonomi pulih dan terbaru semalam sehingga keadaan negara stabil pula.

Pokoknya jika Tun Mahathir sendiri yang selalu mengamalkan politik pecah dan perintah serta sentiasa menghuru-harakan politik negara dengan pelbagai percaturan yang dibuatnya, memang sampai bila-bila pun keadaan negara tidak akan stabil dibuatnya.

Ternampak bahawa menghuru-harakan negara dan menjadikan keadaan tidak stabil adalah sesuatu yang disengajakan oleh Tun Mahathir agar tampil mereka yang cetek politik mahukannya berkhidmat dengan lebih lama atau sehingga ke akhir penggal.

Maka, secara sengaja beliau memang ada niat mahu memungkiri janji dua tahun penyerahan kuasa sebagaimana yang awal-awal disebutnya dahulu.

Kenapa Tun Mahathir tidak berunding dengan Majlis Presiden PH jika beliau ingin lebih lama menjadi Perdana Menteri?

Mengapa perlu berunding dengan pembangkang dalam urusan yang boleh dirundingkan dalam PH?

Mengapa juga perlu dilibatkan pembangkang atau pihak luar daripada PH bagi mencapai tujuannya itu?

Apakah Tun Mahathir sudah hilang kepercayaan kepada PH dan lebih mempercayai pembangkang untuk mencapai cita-cita politiknya?

-https://shahbudindotcom.net

.