JANJI TERBARU TUN M MASIH LAGI KABUR SIFATNYA

Walaupun Tun Mahathir Mohamad sekali lagi mengulangi janji akan menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim, sebenarnya tiada apa-apa yang baru dalam lafaz kata-katanya yang terbaru ini.

Ia hanyalah sekadar ulangan kepada janji-janjinya sebelum ini.

Tun Mahathir mengatakan akan menunaikan janjinya dan tidak akan memungkiri janji, tetapi dalam waktu yang sama masih menyebut penyerahan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar itu hanya akan berlaku sebaik saja beliau mengundurkan diri.

“Saya tidak akan memungkiri janji sendiri.

“Apa pun yang berlaku, saya akan berpegang pada ikrar saya.

“Saya sudah pun bersetuju bahawa apabila saya undur, Anwar akan mengambil alih daripada saya sebagai Perdana Menteri.

“Itu janji yang saya buat dan saya akan kotakan janji itu,” katanya dalam interbiu dengan saluran berita antarabangsa Turki, TRT.

Interbiu itu dirakamkan pada 29 Julai lalu iaitu hari yang sama dengan Azmin menyatakan sokongan kepada cadangan Hadi Awang agar beliau terus kekal sebagai Perdana Menteri sehingga PRU15 akan datang.

Soalnya bila Tun Mahathir akan mengundurkan diri?

Dua tahun? Dua tahun setengah? Tiga tahun?

Atau Tun Mahathir masih lagi menilai-nilai cadangan Hadi Awang yang disokong oleh Azmin Ali yang mahukannya berkhidmat sehingga habis penggal?

Kenapa dalam mengulang-ulang janji akan menyerahkan jawatan dan tidak memungkiri janji, Tun Mahathir masih enggan menyebut tarikh yang tepat tentang pengundurannya?

Susahkah memilih satu tarikh untuk berundur?

Jika pada 2002 dahulu Tun Mahathir boleh memilih 31 Oktober 2003 sebagai tarikh pengundurannya untuk Tun Abdullah Badawi menjadi penggantinya, kenapa kali ini beliau terlihat sukar melakukan sesuatu yang pernah dilakukannya?

Apa bezanya tahun 2002 dengan 2019?

Selagi Tun Mahathir tidak menetapkan tarikh untuk pengundurannya, berapa banyak pun janji penyerahan kuasa diulang-ulangnya, ia tetap sesuatu yang kabur dan sukar untuk dipercayai.

Banyak rekodnya melakukan U-Turn sebelum ini membuatkan ramai yang terus sangsi dengan kata-katanya, apa lagi jika tiada tarikh yang disebut berkenaan bila penyerahan jawatan itu akan dilakukannya.

Untuk itu, bagi menutup segala cerita berkaitan peralihan kuasa yang sudah dipersetujui dan merupakan konsensus PH, bolehkah Tun Mahathir selepas ini, jika ada interbiu dengan mana-mana media, terus saja menyebut satu tarikh yang khusus tentang Malaysia akan mempunyai Perdana Menteri baru bernama Anwar Ibrahim?

Bolehkah Tun?

– https://shahbudindotcom.net/

.