KALAU PUN SIBUK URUSAN KERAJAAN, TAK LOGIK WALAU SEKALI AZMIN TIDAK BOLEH HADIR MESYUARAT PKR

Sibuk dengan tugas sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi adalah alasan yang diberikan oleh Azmin Ali tentang ketidakhadirannya dalam mesyuarat PKR selama ini.

Beliau bukan saja tidak hadir dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Biro Politik parti, malah juga tidak muncul dalam pemukiman PKR di Port Dickson, baru-baru ini.

Tidak hadirnya Azmin dalam semua mesyuarat itu bukanlah bermula sejak dua tiga bulan lalu, tetapi sebenarnya sejak November 2018 lagi.

Kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, kehadiran Azmin dalam mesyuarat MPP sejak pemilihan parti pada November 2018 adalah kosong dan kehadiran dalam mesyuarat Biro Politik juga kosong.

“Tidak pernah ada alasan diberikan tentang ketidakhadirannya itu,” tambah Saifuddin lagi.

Dengan tidak hadir sejak November 2018, bermakna sudah hampir 10 bulan Azmin tidak peduli tentang urusan PKR, walaupun jawatannya dalam Timbalan Presiden iaitu kedudukan nombor dua dalam parti.

Sesungguhnya ini adalah perangai paling buruk lagi teruk bagi seorang pemimpin, lebih-lebih lagi yang ada angan-angan mahu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri serta bercita-cita dalam hati ingin menduduki kerusi Perdana Menteri.

Bagaimana agaknya urusan parti ditangan pemimpin seperti ini kiranya diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri atau Perdana Menteri?

Ini kerana, walau sesibuk mana pun seorang seseorang itu dengan jawatannya dalam kerajaan, adalah tidak munasabah jika tidak dapat hadir dalam mesyuarat parti selama hampir 10 bulan lamanya.

Takkan walau sekali tak boleh hadir juga?

Jika Azmin sibuk kononnya dengan tugas sebagai menteri, pemimpin lain dalam PKR pun ramai juga yang berjawatan menteri.

Tetapi, mengapa mereka dapat hadir dan membahagikan masa untuk mesyuarat parti?

Apakah Azmin seorang saja menteri paling sibuk dalam negara ini?

Kalau Tun Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Bersatu pun dapat meluangkan masa mempengerusikan mesyuarat MPT Bersatu dan Majlis Presiden PH setiap bulan, apakah Menteri Hal Ehwal Ekonomi lebih sibuk berbanding Perdana Menteri?

Lagi pun, jika Azmin benar-benar sibuk dengan tugasnya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, apakah pencapaian dan kejayaan cemerlangnya selama ini yang boleh dirasai oleh rakyat jelata?

Apakah ekonomi dan hal ehwal perekonomian negara begitu melonjak dengan tinggi?

Apakah semua GLC yang dijaga kementeriannya berjalan dengan lebih baik berbanding sebelumnya?

Apakah janji-janji kepada peneroka Felda sebagaimana terkandung dalam manifesto PRU14 telah berjaya ditunaikan?

Kalau semuanya tidak banyak yang berbeza, apa yang Azmin sibuk sangat sampai 10 bulan berturut-turut tak boleh hadir mesyuarat PKR?

Jangan-jangan beliau ada sibuk lain tak?

– https://shahbudindotcom.net

.