NADA SUARA YANG MEYAKINKAN DARIPADA AL-SULTAN ABDULLAH

Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

Nada suara yang meyakinkan daripada Al-Sultan Abdullah

ESOK, Selasa, 30 Julai 2019, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Pahang akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Daulat Tuanku.

Dalam temu ramah dengan akhbar The Star yang disiarkan pada Ahad, 28 Julai, Al-Sultan Abdullah melahirkan harapan untuk melihat Malaysia yang bersatu, aman, stabil dan harmoni sepanjang pemerintahan baginda.

Namun begitu, baginda mengakui bahawa harapan tersebut mungkin tidak tercapai dalam masa yang singkat.

Bagi diri saya, walaupun saya kritikal terhadap tindak-tanduk dan kelakuan sesetengah raja Melayu, namun saya amat yakin bahawa seorang raja yang adil dan bijaksana boleh membantu menjadikan Malaysia bersatu, aman, stabil dan harmoni.

Sekiranya hari ini negara kita tidak mencerminkan ciri-ciri yang Al-Sultan Abdullah sebutkan itu, boleh jadi sebahagiannya disebabkan oleh tindak-tanduk dan kelakuan sebilangan kecil raja-raja kita juga.


Justeru itu, saya amat yakin sekiranya Al-Sultan Abdullah menunaikan tanggungjawab baginda seperti yang baginda janjikan dan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan maka kebimbangan baginda yang Malaysia menjadi kacau-bilau akan dijauhkan Tuhan.

Insya Allah jika baginda dan Raja-raja Melayu yang lain boleh memberi kerjasama kepada kerajaan pilihan rakyat jelata, ekonomi negara akan pulih dan kesejahteraan rakyat jelata, khususnya yang memerlukan pembelaan, akan menjadi bertambah baik.

Sebab itulah saya selalu kata bahawa tempat raja adalah di atas takhta dan bukan di dalam bilik lembaga atau di dalam hutan belantara mencari balak dan emas suasa.

Saya telah sebutkan banyak kali dan saya ulang sekali lagi, iaitu raja-raja tidak boleh berniaga, bersaing dengan rakyat jelata dan diseret ke mahkamah macam orang biasa.

Tidak mengapa kalau kerajaan pusat dan negeri hendak mengkaji semula peruntukan diraja supaya raja-raja kita boleh hidup selesa tanpa keperluan berniaga atau membuat kerja-kerja yang merendahkan martabat istana.

Begitu jugalah kalau perbelanjaan raja terlalu besar dan mewah seperti memiliki istana gergasi atau jet peribadi yang memerlukan belanja penyelenggaraan yang besar maka kerajaan berhak mengehadkannya.

Al-Sultan Abdullah yakin kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir mampu memulihkan ekonomi negara dan kebajikan rakyat jelata.

Di sini, saya amat yakin, Raja-raja Melayu boleh memainkan peranan menasihati pemimpin politik agar menumpukan perhatian kepada tugas yang diamanahkan dan bukan membuat kerja-kerja yang dilarang.

Berkenaan ulasan Al-Sultan Abdullah berkaitan serangan ke atas istana dalam media sosial, saya rasa serangan yang tidak berasas dan melampau wajib disekat dan ditangani mengikut lunas undang-undang.

Saya berkata begitu kerana saya sendiri sudah dua kali disiasat oleh polis berikutan aduan orang ramai ke atas tulisan saya mengenai raja-raja walaupun saya berhati-hati dengan fakta dan bahasa.

Bercakap bagi pihak Istana Pahang, Al-Sultan Abdullah berkata, keluarga diraja tidak berbeza daripada institusi atau istana lain yang sentiasa diperhatikan oleh rakyat jelata.

Amat tepat kata Al-Sultan Abdullah, iaitu istana akan dikecam hebat apabila dilihat cuba mempolitikkan sesuatu.

Al-Sultan Abdullah berkata, baginda sentiasa diingatkan tentang perlunya institusi raja kekal relevan dalam suasana politik negara yang lebih terbuka dan demokratik sekarang.

Saya juga tertarik dengan komen baginda bahawa jika (raja-raja) berasa mereka adalah bahan muzium maka mereka akan berakhir di dalam muzium.

Tetapi jika kehadiran (raja-raja) adalah untuk berkhidmat kepada rakyat jelata dan berada bersama mereka, baginda yakin rakyat jelata tahu bagaimana menghargainya.

Kesimpulannya, saya amat yakin kita akan melalui zaman yang lebih tenteram dan membanggakan di bawah pemerintahan Al-Sultan Abdullah berbanding dengan zaman pemerintahan raja sebelum ini.

– https://kadirjasin.blogspot.com

.