TUN M TIDAK MAHU JADI ALAT KEPADA DALANG, TAPI APAKAH MELINDUNGI MAKSIAT LEBIH MULIA?

Berikutan kecaman ramai terhadap pendiriannya yang dilihat berbeza antara tahun 1998 dengan sekarang apabila muncul isu video seks sejenis yang didakwa melibatkan Azmin Ali, Tun Mahathir Mohamad menolak ia sebagai sesuatu yang bercanggah.

Katanya, tidak ada percanggahan dalam pendiriannya.

Fakta pertama, Tun Mahathir berkata, beliau tidak pernah mempengaruhi mahkamah pada 1998, tetapi menjelaskan pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu diputuskan oleh mahkamah.

“Tidak ada percanggahan. Tindakan yang diambil pada 1998 tidak berdasarkan klip video.

“Mahkamah telah membuat keputusan itu. Video-video yang berikutnya tidak mempengaruhi mahkamah atau orang lain, tidak mempengaruhi saya,” kata Tun Mahathir dalam catatan terbaru di blognya.

Fakta kedua, Tun Mahathir seterusnya sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa kes video yang didakwa melibatkan Azmin itu adalah jelas permainan politik kotor yang mahukan beliau bertindak kepada individu yang dituduh.

“Sekiranya saya mengambil tindakan seperti yang diharapkan mereka, saya akan menjadi alat kepada perancangan itu.

“Saya tidak mempunyai niat untuk menjadi alat kepada mereka dan saya tidak akan menjadi sebahagian daripada politik kotor itu,” tegasnya lagi.

Bolehkah diterima hujah-hujah Tun Mahathir ini?

Dalam kedua-dua hujah yang disebut oleh beliau itu, semuanya adalah salah dan Tun Mahathir ternampak tidak memperlihatkan kejujuran serta keikhlasannya dalam berkata-kata.

Dalam fakta pertama, kenyataan Tun Mahathir yang menyebut pemecatan Anwar diputuskan oleh mahkamah adalah suatu pembohongan dan cuba memutar-belit sejarah.

Hakikatnya, Anwar telah dipecat pada 2 September 1998 sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan oleh Tun Mahathir atas kuasanya sebagai Perdana Menteri.

Pada malamnya pula, dalam mesyuarat tergempar MT UMNO, Anwar seterusnya dipecat pula sebagai ahli UMNO yang bermakna semua jawatannya dalam parti tergugur secara automatik.

Hanya selepas itu, setelah dimalukan dengan pendedahan mengaibkan melalui media-media arus perdana, barulah beliau dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa dan liwat.

Dalam kes salah guna kuasa, Anwar dihukum penjara selama lima tahun, tetapi dalam kes liwat, bellau kemudian dibebaskan di peringkat rayuan tertinggi iaitu Mahkamah Persekutuan pada tahun 2004.

Jadi, di mana wujudnya keadaan seperti yang disebut oleh Tun Mahathir bahawa pemecatan Anwar diputuskan oleh mahkamah?

Memang selepas itu Anwar ada membawa ke mahkamah untuk mencabar pemecatannya dan beliau kalah dalam kes tersebut, tetapi fakta yang seluruh dunia tahu ialah bukan tandatangan hakim yang memecatnya daripada kerajaan, sebaliknya tandatangan Tun Mahathir selaku Perdana Menteri.

Lagi pun, hanya kerana Anwar tidak berjaya mencabar pemecatannya itu dan ia disahkan oleh mahkamah sebagai tindakan yang sah, ini tidaklah bermakna mahkamah yang telah memutuskan pemecatan itu.

Hakikatnya Anwar telah dipecat sebelum beliau mencabar kesahihan pemecatannya di mahkamah.

Dalam fakta kedua, Tun Mahathir jelas bertegas tidak mahu bertindak apa-apa terhadap Azmin yang dikaitkan dengan perlakuan seks sejenis sebagaimana terpapar dalam video dan ditonton oleh majoriti rakyat Malaysia adalah semata-mata kerana tidak mahu menjadi alat atau diperalatkan oleh mereka yang menyebarkan video berkenaan.

Pendirian Tun Mahathir berkaitan perkara ini mungkin betul dan boleh diterima sekiranya video tersebut adalah palsu dan pelakunya bukan Azmin sebagaimana yang dikaitkan dan dipercayai ramai.

Selain mengapa Azmin masih tidak menyaman Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mendakwa Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu adalah pasangan seks sejenisnya yang terus menimbulkan kegairanan jika benar beliau bukan pelaku dalam video itu, keengganan Tun Mahathir menjadi alat dan diperalatkan dengan sendirinya pula mengesahkan Azmin adalah lelaki dalam video berkenaan, meskipun tidak dapat dikenalpasti oleh pihak polis setakat ini.

Tidakkah dengan tidak sedia mengambil apa-apa tindakan dan hanya kerana tidak mahu dijdikan alat, bermakna Tun Mahathir sudah jadi pelindung kepada kemaksiatan?

Mengapa pada 1998 Anwar dipecat hanya berdasarkan pengakuan seseorang yang mendakwa telah diliwat, tetapi sekarang dengan paparan dalam video yang jelas dan terang, tindakan tetap tidak mahu diambi?

Mengapa pada 1998 ia dikata isu moral dan bukan isu politik, tetapi pada 2019 dikata ini isu politik dan bukan isu moral?

Apakah tafsiran moral sudah berbeza dalam diri Tun Mahathir antara tahun 1998 dengan 2019?

Lebih daripada itu, apakah pendirian Tun Mahathir yang enggan bertindak terhadap Azmin kerana tidak mahu diperalatkan itu merupakan tindakan yang suci, mulia dan lebih terpuji daripada menjadi pelindung kepada kemaksiatan?

Mengapa tidak, selain dalang dicari, pelaku keji dalam video itu juga sepatutnya turut dihukum atas perlakuan kejinya?

– https://shahbudindotcom.net

.