HAMID BADOR MULA MENGECEWAKAN MALAYSIA BARU?

Apabila Abdul Hamid Bador dilantik sebagai Ketua Polis Negara, rata-raya orangramai menyambut baik perlantikan itu melihat kepada intergriti yang dimilikinya sebelum ini.

Abdul Hamid adalah watak yang tidak sanggup bersekongkol dalam skandal 1MDB ketika beliau menganggotai pasukan petugas khas pada 2015 dengan mendedahkan wujud perbuatan cuba menyembunyikan saksi dalam siasatan yang dijalankan pasukan itu.

Beliau seterusnya bersuara agar siasatan dijalankan secara telus agar kebenaran mengenai 1MDB dapat diketahui dan dibuktikan.

Akibat daripada itu, beliau telah dipindahkan ke JPM yang merupakan tindakan “menyejuk-bekukannya”.

Beliau yang merupakan Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman ketika itu lantas mengambil keputusan berhenti daripada jawatannya.

Abdul Hamid kemudian menulis surat terbuka yang panjang kepada kerajaan dengan menyasarkan Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar, Peguam Negara Apandi Ali dan pegawai-pegawai SPRM dalam kritikannya berhubung siasatan 1MDB, sambil mengingatkan kesan perbuatan di hari muka nanti.

Ramai yang memuji tindakan beraninya bersuara dan menulis surat terbuka itu lantaran tidak ramai yang ada keberanian seperti itu.

Mudah kata, beliau adalah seorang yang berpegang kepada prinsip kebenaran, ada intergriti, tidak tunduk kepada tekanan dan sentiasa yakin Tuhan adalah saksi kepada segala kejadian.

Selepas bersara, Abdul Hamid mengambil keputusan balik kampung dengan mengusahakan tanaman sayur-sayuran di kampung halamannya di Rembau, Negeri Sembilan.

Dalam fasa mahu menyingkirkan Najib dan menumbangkan BN, beliau diketahui umum mempunyai hubungan yang rapat dengan Tun Mahathir dan sering berkunjung serta bertukar-tukar pandangan dengan Pengerusi PH itu.

Nama beliau mendadak muncul semula apabila PH menang PRU14 lalu.

Meski sudah bersara, Abdul Hamid dipanggil mengisi jawatan Pengarah Cawangan Khas, kemudian memangku jawatan Timbalan Ketua Polis Negara dan seterusnya Ketua Polis Negara melalui lantikan kontrak bagi tempoh dua tahun.

Dengan latarbelakang itu, kepercayaan, keyakinan serta harapan umum terhadapnya adalah tinggi agar PDRM yang dipimpinnya tidak tunduk kepada mana-mana tekanan sepertimana sebelum ini.

Bagaimanapun, dalam kes video seks sejenis yang didakwa melibatkan Azmin Ali, harapan orangramai mula terhakis terhadap Abdul Hamid.

Kenyataannya yang mengesahkan hasil analisis CyberSecurity bahawa video tersebut adalah tulen tetapi dalam masa yang sama mengatakan pelakunya adalah individu yang tidak dikenali, dengan segera mengundang kritikan dan kekecewaan ramai.

Kenyataan beliau itu menimbulkan kehairanan kerana ia bukan saja dilihat bersifat kenyataan politik untuk melindungi seseorang, malah kelihatan cuba untuk nampak selari dengan pendirian awal Tun Mahathir yang mengatakan video itu adalah palsu.

Selain itu, lebih keinginan pihak polis untuk mencari dalang dengan mendedahkan kononnya ada pakatan melibatkan habuan wang ringgit dalam penyebaran video itu terus menambahkan lagi kritikan umum terhadap Abdul Hamid.

Mengapakah hanya dalang dan mereka yang menyebar dicari, tetapi pelaku dalam video seolah-olah cuba disembunyi?

Apakah polis di bawah era Abdul Hamid ini tidak banyak berbeza dengan PDRM sebelum ini yang mudah tunduk kepada tekanan atau campurtangan politik?

Jika begitu, di manakah prinsip, intergriti dan paksi kebenaran yang menjadi pegangan Abdul Hamidi selama ini?

Apakah ianya sudah luntur apabila memegang jawatan IGP?

Apa pun, belum terlambat untuk Abdul Hamidi berbuat sesuatu dan menunjukkan dirinya tetap seperti dulu – baik dalam kes 1MDB atau video seks – yang benar tetap benar dan yang salah tetap salah.

Jangan sampai rakyat kecewa dengan melihat polis di era BN dan Malaysia Baru seolah-olah sama saja.

– https://shahbudindotcom.net/

.