TETAPKAN SEGERA TARIKH ANWAR JADI PM, KRISIS PKR PASTI AKAN BERAKHIR

Kalau kita imbas kembali detik awal bagaimana bermulanya krisis antara Anwar Ibrahim dengan Azmin Ali sehingga ke tahap yang ada sekarang ini, ia sebenarnya berpunca daripada Tun Mahathir Mohamad sendiri.

Semuanya bermula apabila Tun Mahathir melantik Azmin sebagai Menteri Hal Ekonomi sebaik PH berjaya menubuhkan kerajaan pada 10 Mei 2018 yang lalu, sedangkan beliau ketika itu sudah pun mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor.

Di tambah dengan bidang kuasa kementerian yang diterajuinya itu diperbesarkan lagi berbanding sebelum ini yang hanya berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, sudah tentu tumpuan kepada beliau juga turut meninggi.

Di sinilah sebenarnya bermula krisis Azmin dengan Anwar kerana Timbalan Presiden PKR itu merasakan beliau adalah “anak emas” kepada Perdana Menteri dan sedang dilorongkan untuk menaik lebih tinggi dalam karier politiknya.

Selari dengan Azmin merasakan bintangnya semakin bercahaya, pendokong Tun Mahathir pula mula mendendangkan pelbagai irama lagu yang menampakkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu adalah pengganti Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-8.

Dalam banyak hal seterusnya, Tun Mahathir terus menonjolkan Azmin dengan melantiknya sebagai Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional, badan pelaburan utama kerajaan dan ini menjadikan spekulasi mengenai masa depannya tambah berkembang menjadi bualan.

Ia jugalah kemudiannya yang mendorong Rafizi Ramli mencabar Azmin dalam pemilihan PKR beberapa bulan selepas itu dengan tujuan agar proses peralihan kuasa daripada Tun Mahathir kepada Anwar tidak terganggu.

Dengan tegas Rafizi menyatakan beliau mahu menjadi Timbalan Presiden PKR adalah agar Anwar benar-benar dapat menjadi Perdana Menteri ke-8 sebagaimana yang telah dijanjikan.

Dalam hal ini tidak dipastikan apakah tujuan sebenar Tun Mahathir melantik Azmin sebagai menteri, sama ada mahu meningkatkan lagi karier politiknya, bertujuan menghalang Anwar menjadi Perdana Menteri ke-8 atau mahu menjadikan PKR berpecah kerana masih ada dendam lama, tetapi hakikatnya di situlah bermula segala-galanya krisis dalam PKR sebagaimana kelihatan semakin parah sekarang ini.

Jika hari ini Azmin masih Menteri Besar Selangor dan tidak dijadikan menteri yang kanan di peringkat pusat oleh Tun Mahathir, tidak mungkin apa yang terjadi sekarang akan berlaku dalam PKR.

Hari ini juga, walaupun berdepan dengan isu video seks yang pantas ditafsirkan palsu oleh Tun Mahathir, meskipun akhirnya disahkan ianya adalah rakaman tulen, yang nyata krisis dalam PKR sudah terlalu sukar untuk dibendung.

Ahad ini misalnya, di samping Azmin Ali mengadakan majlis doa selamat serta kesyukuran kerana berasakan namanya sudah dibersihkan oleh IGP, Abdul Hamid Bador apabila memaklumkan pelaku video seks itu tidak dapat dikenalpasti, Anwar juga pada hari dan waktu yang sama turut mengadakan majlis pelancaran zikir serta selawat Nurul Anwar di rumahnya di Bukit Segambut.

Pertembungan ini, selain masing-masing kelompok tampil menyatakan sokongan sama ada kepada Anwar atau Azmin, sebenarnya ini adalah sesuatu yang tidak sihat buat PKR sebagai parti yang memiliki kerusi paling banyak dalam PH.

Mahu tidak mahu, jika keadaan ini berterusan atau mungkin bertambah parah selepas ini, kesannya tentu akan turut menimpa kepada PH.

Maka, bagaimanakah mahu menghentikannya?

Pepatah selalu menyebut, jika sesat di hujung jalan, kembalilah ke pangkal jalan.

Dalam hal ini oleh kerana Tun Mahathir yang menjadi punca krisis, keretakan dan perbalahan dalam PKR, adalah menjadi tanggungjawab beliau juga untuk tampil menyelamatkannya.

Tun Mahathir harus sedar kini tindakannya melantik Azmin sebagai menteri adalah suatu kesilapan yang kini menjerumuskan PKR dan PH ke ambang perpecahan yang tidak tidak pernah berlaku sebelum ini.

Oleh itu, atas nama tanggungjawab dan demi masa depan PH, beliau mesti segera menetapkan tarikh pengundurannya untuk Anwar mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Jika tempohnya mahu menjadi Perdana Menteri selama dua tahun sebagaimana yang ditetapkannya pada awal dulu, tarikh itu sepatutnya ialah Mei 2020 akan datang.

Dengan segera menetapkan tarikh berundur dan Anwar ada kepastian yang benar-benar pasti akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri, perbalahan dalam PKR akan berjaya ditamatkan dan seterusnya PH dapat diselamatkan.

Apabila ada tarikh peralihan kuasa, tidak akan wujud lagi kelompok penentang dalam PKR, sesuai dengan ketetapan PH sendiri bahawa Anwar adalah Perdana Menteri ke-8 yang sudah dipersetujui.

Selagi tarikh tidak ditetapkan, perbalahan Anwar dengan Azmin pasti akan berterusan, malah akan bertambah besar yang sekaligus berisiko mengancam kedudukan PH itu sendiri.

Malah, lagi baik untuk membendung perpecahan dalam PKR ini jika Tun Mahathir dapat mengawalkan lagi tarikh pengundurannya itu.

– https://shahbudindotcom.net

.