KESAN GABUNGAN NAJIB-ZAHID KEPADA UMNO

 Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

Najib, Zahid dan Adnan: Burung sewarna berkumpul bersama
  1. PELANTIKANbekas Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, sebagai pengerusi lembaga penasihat Barisan Nasional (BN) tidak memeranjatkan.
  1. Ungkapan Inggeris berkata, “birds of a feather flock together” atau kalau dipadankan ke bahasa Melayu lebih kurang “burung sewarna berkumpul bersama”.
  1. Macamlah kata anak raja dari negeri selatan, “pipit sama pipit, helang sama helang”. Walaupun yang sepatutnya ialah pipit sama pipit, enggang sama enggang.
  1. Inilah cara pengerusi BN dan presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mencari burung sewarna di kalangan orang kena tuduh (OKT).
  1. Kalau kita tengok gambar yang disiarkan oleh media massa, ada tiga OKT di dalamnya – Najib, Zahid dan Datuk Seri Adnan Mansor.
  1. Zahid perlukan Najib sebagai rakan oleh sebab dia tentunya tidak berasa selamat bersama pemimpin Umno/BN yang bebas tuduhan.
  1. Pelantikan Najib berlaku sebaik saja Zahid kembali bertugas sebagai presiden Umno pada 30 Jun lalu setelah bercuti mulai 18 Disember lepas.
  1. Zahid perlukan Najib kerana amat jelas yang kepulangannya tidak dialu-alukan oleh sebahagian besar pemimpin dan ahli Umno.
  1. Ramai pemimpin dan ahli yang bersikap sederhana, waras dan berpandangan jauh mahu timbalan presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, terus pangku tugas presiden.
  1. Zahid tentunya berasa cemburu dan terancam dengan penerimaan baik ahli dan pemimpin Umno terhadap Mohamad, termasuk pemimpin senegeri Khairy Jamaluddin. Saya melihat Khairy sebagai watak menanti yang penting dalam politik Umno dan negara.
  1. Faktor Mohamad-Khairy ini telah mula menyuburkan imaginasi banyak pihak dalam dan luar Umno yang melihat gandingan mereka sebagai menjanjikan harapan perubahan dan pemulihan kepada Umno.
  1. Zahid tentu tidak berasa terancam dengan Najib bukan sahaja kerana mereka sama-sama OKT, tetapi mungkin dalam perkiraan Zahid tuduhan terhadap Najib adalah lebih berat daripada tuduhan terhadapnya.
  1. Zahid juga terpengaruh dengan reaksi dan penerimaan terhadap kempen “Bossku” dan mahu tumpang sekaki.
  1. Untuk kekal relevan kepada kelompok Melayu tradisional dan merapatkan diri dengan Pas, Zahid perlu terus menampilkan dirinya sebagai jaguh Melayu dan Islam.
  1. Tetapi Pas nampak lebih selesa dengan Mohamad daripada Najib atau Zahid. Ini mungkin kerana Pas tidak mahu terpalit dengan kes mahkamah Najib dan Zahid.
  1. Di masa yang sama, Zahid tahu dia kena jaga hati MCA dan MIC yang berupa ahli pelengkap bilangan bagi BN. MCA dan MIC lebih percaya kepada Najib daripada Zahid.
  1. Umno masih memerlukan MCA dan MIC walaupun kedua-dua buah parti itu ibarat rumput di tengah jalan. Tanpa MCA dan MIC, gabungan Umno-Pas tidak ada perwakilan bukan Melayu.
  1. Buat masa ini, kepulangan Zahid dan pelantikan Najib tidak menampakkan hasil positif. Sebaliknya Umno yang mula bersatu di bawah Mohamad, kembali berpecah, berpuak dan saling tuduh-menuduh.
  1. Nampak jelas yang ramai pemimpin dan ahli Umno serta orang Melayu yang boleh berfikir tidak setuju dengan gabungan Zahid-Najib ini.

Wallahuaklam. Terima kasih.

– https://kadirjasin.blogspot.com/

.