RAMAI KETUA BAHAGIAN BERSATU TERANCAM?

Bersatu yang akan mengadakan pemilihan pucuk pimpinannya tahun ini akhirnya memilih sistem campuran antara yang diamalkan UMNO dan PKR.

Mesyuarat agung khas Bersatu akan diadakan pada 20 Julai ini untuk meminda perlembagaannya bagi tujuan melaksanakan sistem pemilihan yang dicadangkan itu.

Sebelum ini Bersatu menggunapakai hampir sepenuhnya perlembagaan UMNO, termasuk berkaitan kaedah pemilihan pucuk pimpinan.

Dalam pindaan yang dicadangkan, bagi pemilihan peringkat cawangan dan bahagian, Bersatu akan menggunakan sistem satu ahli satu undi atau SASU di mana semua ahli yang hadir mesyuarat berhak untuk mengundi.

Bagi pemilihan peringkat pusat pula, sistem yang akan digunakan ialah melalui perwakilan yang dipilih dari peringkat bahagian.

Bermakna, kaedah pemilihan yang memberi hak setiap ahli mengundi sepertimana yang digunapakai oleh PKR hanya dilaksanakan oleh Bersatu untuk peringkat cawangan dan bahagian saja.

Sebaliknya, bagi pemilihan pucuk pimpinan peringkat Pusat, ia akan menggunakan sistem perwakilan sebagaimana yang pernah UMNO gunakan dahulu.

UMNO ketika ini tidak lagi menggunakan sistem perwakilan, tetapi pimpinan peringkat bahagian dan pusat akan diundi oleh perwakilan cawangan-cawangan yang berjumlah hampir 150 ribu orang.

Apakah kesan perlaksanaan sistem campuran yang digunakan Bersatu ini?

Oleh kerana pemimpin Armada dan Srikandi difahamkan paling aktif membawa masuk ahli menyertai Bersatu, besar kemungkinan mereka bukan saja akan menjadi penentu di banyak cawangan dan bahagian, malah tidak mustahil ramai antaranya akan melonjak menjadi Ketua Bahagian.

Sejak sebelum PRU14 hinggalah setelah berjaya menjadi kerajaan, ramai Ketua Bahagian Bersatu didakwa tidak berapa aktif menambah ahli.

Ini kerana sebelum itu mereka sibuk membuat kerja-kerja untuk menghadapi PRU14, manakala selepasnya pula ramai yang mula kecewa kerana tidak memperolehi sebarang habuan dalam bentuk ekonomi, meskipun parti sudah menjadi kerajaan.

Lantaran itu, ahli Bersatu tidak banyak bertambah antara sebelum dan selepas PRU14 sehingga Tun Mahathir Mohamad sendiri pernah melahirkan kekecewaannya berkaitan kekurangan ahli ini.

Tapi apakan daya, ramai Ketua Bahagian ketika ini tiada kemampuan dan tidak ada daya lagi mengeluarkan wang daripada poket sendiri untuk aktiviti parti.

Setelah bertungkus lumus dan berhabis dalam PRU14 lalu, sekurang-kurangnya kini mereka berharap dapatlah peluang perniagaan atau kontrak, kalau pun tidak kedudukan di pelbagai jawatan dalam kerajaan atau GLC.

Semua ini berbeza dengan pemimpin Armada dan Srikandi kerana mereka memang aktif menjemput kawan-kawan dan keluarga menyertai Bersatu sejak dulu untuk survival dan menjaga masa depan.

Selain itu, Syed Saddiq dan Rina Harun juga difahamkan kerap memberi penekanan agar pimpinan di bahagian dan cawangan sentiasa menambah ahli.

Dengan itu, adalah dijangka akan berlaku banyak perubahan dalam kepimpinan bahagian kali ini di

mana sama ada pemimpin Armada atau Srikandi itu sendiri akan menjadi ketua di bahagian dan cawangan atau mereka akan menyokong calon tertentu yang dirasakan lebih baik daripada Ketua Bahagian sedia ada.

Meskipun demikian, oleh kerana pemilihan di peringkat pusat akan menggunakan sistem perwakilan, tidak banyak perubahan dijangka berlaku dalam barisan kepimpinannya.

Pemimpin yang ada jawatan dalam kerajaan atau yang dilihat rapat dengan pucuk pimpinan tetap akan mempunyai kelebihan untuk mengekalkan jawatan masing-masing.

– https://shahbudindotcom.net/

.