JIKA LEBUHRAYA GAMUDA INGIN DIAMBIL-ALIH OLEH KERAJAAN, MENGAPA PULA PLUS YANG SEDIA MILIK KERAJAAN MAHU DIJUAL KEPADA SWASTA?

Ia berikutan Maju Holding telah mengemukakan tawaran baru kepada kerajaan dan ia kini sedang diteliti oleh kabinet, meskipun tawaran sebelum ini telah pun ditolak kerana ketidakyakinan kerajaan terhadap pelan yang dicadangkan itu.

Pakej tawaran baru yang dikemukakan oleh Maju Holding kepada Plus antara ialah menawarkan RM3.5 bilion secara tunai, menanggung hutangnya berjumlah RM30 bilion, menurunkan caj tol antara 25 hingga 36 peratus dengan pertukaran tempoh konsesi dipanjangkan sehingga 30 tahun.

Hubungan baik antara pemilih Maju Holding, Abu Shahid Mohamad dengan Tun Mahathir Mohamad dikatakan menjadi antara sebab mengapa syarikat itu membuat tawaran baru kepada kerajaan.

Ada juga cakap-cakap di pasaran mengatakan Tun Mahathir telah datang ke rumah Abu Shahid baru-baru ini dan menikmati makan malam di situ.

Plus sekarang ini dimiliki oleh Khazanah (51 peratus) dan KWSP (49 peratus). Bermakna Plus adalah milik kerajaan kerana Khazanah dan KWSP adalah kepunyaan kerajaan.

Janji PH dalam manifesto PRU14 lalu ialah mahu menghapuskan tol sebagai satu cara menurunkan kos sara hidup rakyat.

Tetapi, dengan menjual pula Plus kepada Maju Holding, sebuah syarikat swasta dengan tawaran pemanjangan tempoh konsesi sehingga 30 tahun, bagaimanakah janji manifesto itu mahu ditunaikan?

Atau PH sekarang ini mahu melupakan janji menghapuskan tol itu dengan mengubahnya kepada sekadar menurunkan kadarnya saja bersama tempoh masa yang lebih lama?

Siapa yang sebenarnya untung jika Plus dijual kepada Maju Holding – syarikat tersebut atau rakyat yang telah memberi kemenangan kepada PH?

Dalam hal ini, selain penjualan Plus itu, jika dilaksanakan, secara langsung telah menodai janji manifesto kepada rakyat, ia juga adalah langkah terbalik jika dibandingkan dengan pengambil-alihan empat lebuhraya dalam bandar milik Gamuda Holding oleh kerajaan, baru-baru ini.

Dikatakan pengambil-alihan empat lebuhraya milik swasta oleh kerajaan itu adalah bertujuan untuk mengurangkan beban hidup rakyat di mana caj kesesakan yang akan diperkenalkan adalah lebih rendah berbanding kadar tol sedia ada.

Jika lebuhraya milik Gamuda diambil-alih oleh kerajaan untuk meringankan beban kepada rakyat, di mana logiknya Plus yang sedia menjadi milik kerajaan, tetapi mahu dijual kepada syarikat swasta dengan tujuan yang sama iaitu meringankan beban rakyat?

Bolehkah dipercayai syarikat swasta yang pada asas tujuannya ialah mengaut keuntungan, tiba-tiba diletakkan harapan untuk mengurangkan beban hidup yang ditanggung rakyat?

Apa yang kerajaan mahu sebenarnya dalam dua kes lebuhraya tersebut?

Mahu mengaut untung dengan membebankan rakyat atau meringankan beban rakyat dengan kerajaan turut mengaut keuntungan?

Bukankah lebih baik jika Plus terus dikekalkan ditangan kerajaan bersama dengan empat lebuhraya Gamuda yang diambil-alih juga oleh kerajaan baru-baru ini jika benar pengambil-alihan oleh kerajaan dapat memberi manfaat yang lebih baik kepada rakyat?

– https://shahbudindotcom.net

.