MENARA GADING JANGAN PARTISAN, DEFENSIF & EKSKLUSIF

MOHON baca dan fahami perenggan di bawah:

“Berkenaan pensyarah yang menuduh kerajaan PH jual RM20 bilion aset negara dalam masa 400 hari itu, nama yang dia pakai adalah Abdul Muein Abadi. Dia dakwa dia pensyarah program Sains Politik UKM.

Rencananya yang bertajuk “Eksklusif: 400 hari PH jual lebih RM20 bilion aset negara” itu disiarkan, antara lain, oleh portal politik Umno-Online. Maaf cakaplah rasa macam ada konspirasi.

Naib Canselor UKM ni nama dia Prof. Ir. Dr Mohd Hamdi Abdul Shukor. Dia ni lantikan zaman kerajaan PH oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Punyalah baik kerajaan PH dan si Maszlee ni maka turut dilantiknya bekas menteri kabinet Najib, Tan Sri Abdul Wahid Omar, untuk jadi pengerusi lembaga pengarah UKM.

Jadi saya mintalah Maszlee bagi penjelasan dan pencerahan kalau dia baca blog kita ini. Takut-takut kita ni jadi mangsa mainan kayu tiga oleh “the deep state”.”

Inilah saja ulasan saya yang menyebut nama pensyarah UKM itu dan keterlibatan langsung dan tidak langsung Menteri Pendidikan, Maszlee Malik, Naib Canselor UKM, Prof. Ir. Dr Mohd Hamdi Abdul Shukor, dan Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar, dalam apa yang saya sifatkan sebagai mainan kayu tiga “the deep state” itu.

Adakah saranan yang berbunyi “jadi saya mintalah Maszlee bagi penjelasan dan pencerahan kalau dia baca blog kita ini. Takut-takut kita ni jadi mangsa mainan kayu tiga oleh “the deep state” itu” berupa percubaan mengawal dan menyekat kebebasan akademik?

Saya hanya minta Maszlee memberi penjelasan dan pencerahan. Ini hak saya kerana Maszlee adalah menteri kabinet PH dan dari parti saya (Bersatu) pula. Takkan tegur menteri pun jadi masalah besar, apatah lagi menteri setahun jagung?

Ekoran daripada itu, saya juga menampalkan komen berikut dalam Facebook saya yang berbunyi:

“Thank you for visiting my Facebook and for commenting even though you disagree with me voluntarily or because you’re paid to disagree with me.

Further to the incorrect assertion by a UKM lecturer that the PH government had sold RM20 billion worth of assets in the last 400 days, let me enlighten him and his UKM bosses on the issue. 

Khazanah in particular has undertaken divestments every year, not just recently.

For example, over the period from 2009 to 2017 under the previous government, Khazanah made 80 divestments amounting to RM45.3 billion.

In 2018, Khazanah’s divestments amounted to approximately RM3.8 billion – lower than most years before that. 

Details are as follows:

2009 RM3.108billion
2010 RM6.2 billion
2011 RM7.7 billion
2012 RM4.8 billion
2013 RM1.5 billion
2014 RM5.6 billion
2015 RM5.3 billion
2016 RM4.7 billion
2017 RM6.4 billion.


Total value of the 80 divestments was RM45.308 billion.

Thank you.”

Itu saja yang saya kata tentang pensyarah UKM ini walaupun saya dimaklumkan beliau adalah seorang yang berparti (partisan) dan kini berada di Belanda kerana belajar ijazah doktor falsafah.

Reaksi Menara Gading

Alhamdulillah, komen saya itu nampaknya telah menggoncangkan dunia akademik sektor awam. Tidak tahulah saya sama ada mereka terjaga daripada tidur atau lamunan.

Dengan dikepalai oleh Gerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak), mereka bangun menjawab, menyanggah dan mengutuk hujah ringkas saya itu.

Imaginasi mereka dan penyokong mereka menjadi begitu subur dan sensasi sehingga membuat kesimpulan bahawa saya cuba mengawal dan menyekat kebebasan akademik.

Saya sedikit pun tidak berminat menyekat kebebasan sesiapa asalkan orang atau pihak berkenaan berani memperkenalkan diri kerana dalam dunia yang dipacu oleh media sosial sekarang terlalu ramai pondan, darai dan kembiri yang baling batu sembunyi tangan.

Bagi diri saya, apa yang saya lakukan adalah sekadar memanfaatkan hak saya sebagai wartawan dan anggota masyarakat Malaysia Baru untuk bersuara.

Saya sekadar mempertikaikan motif dan tujuan tersirat pihak-pihak yang saya sebutkan itu sambil mempertahankan kerajaan daripada perbuatan putar-belit fakta dengan berselindung di sebalik kebebasan intelektual.

Untuk apa saya mengawal dan menyekat kebebasan akademik tulen?

Sebagai seorang yang rendah pendidikan akademik – setakat sijil kewartawanan saja – saya banyak belajar dan mendapat faedah daripada para cendekiawan tulen. Saya katakan tulen, bukan kangkung.

Dalam debat ini pun saya mendapat faedah besar, misalnya daripada pemikir muda Wan Ahmad Fayhsal yang membalas tulisan Abdul Muein secara waras, akademik dan berfakta.

Adakah semudah itu mereka menuduh saya cuba mengawal dan menyekat kebebasan akademik semata-mata dengan mempersoalkan tulisan seorang pensyarah?

Adakah menara gading kita sudah menjadi begitu kurang keyakinan diri, defensif dan eksklusif sehingga tidak boleh dicuit barang sedikit pun?

Atau berasa bahawa kecendekiawanan dan kebebasan berartikulasi adalah monopoli mereka dan pemberita cabuk macam saya hanya layak menulis mengenai kes curi ayam?

Untuk apa saya membelanjakan sejumlah wang yang banyak dari kocek saya sendiri untuk menghantar empat orang anak saya (setakat ini) untuk belajar di luar negara kalau tujuan saya adalah untuk mengawal dan menyekat kebebasan akademik dan kecendekiawanan?

Mungkin Saya Silap

Tetapi mungkin saya silap. Boleh jadi kita bukan lagi berada dalam era kecendekiawanan yang dipelopori oleh gergasi seperti Profesor Diraja Ungku Aziz, Almarhum Tan Sri Basir Ismail, Mendiang Tan Sri Khoo Kay Kim, Tan Sri Rashdan Baba dan Almarhum Datuk Dr Ungku Omar Ahmad.

Sebagai wartawan, saya mendapat manfaat besar mendampingi mereka dan kontemporari mereka. Generasi mereka menghargai kepelbagaian pengalaman dan percambahan media.

Pengarang dan wartawan sering dijemput menyertai debat dan dialog universiti manakala media massa pula menggunakan keintelektualan menara gading bagi menaikkan martabat ilmu dalam penerbitan masing-masing.

Ketika saya menjadi Pengarang Kumpulan Berita Harian (1986-88) akhbar Berita Harian ada kolum mingguan bernama “Ruangan Rabu” yang diwujudkan khas bagi menyiarkan tulisan cendekiawan universiti.

Tetapi sekiranya reaksi Gerak dan sekutu mereka terhadap tulisan saya mencerminkan “mindset” kakitangan akademik institusi pengajian tinggi, khususnya IPTA, saya CADANGKAN agar kerajaan tubuhkan sebuah suruhanjaya bebas penambahbaikan pendidikan tinggi negara.

Dalam konteks itu juga saya mohon kerajaan memikirkan kebaikan memecahkan Kementerian Pendidikan dengan menghidupkan semula Kementerian Pengajian Tinggi.

Saya juga mengambil maklum bahawa dalam siaran Facebooknya, pensyarah Abdul Muein memaklumkan yang dia telah “diarahkan untuk tidak lagi menulis tentang sebarang isu politik yang sensitif.”

Kenyataan itu membuktikan bahawa dia memang menulis mengenai politik. Itu keputusan universiti.

Saya tidak kata tidak boleh tulis isu politik. Yang saya timbulkan ialah saya nampak macam ada unsur konspirasi dalam rencana yang dia tulis dan disiarkan oleh portal politik Umno-Online.

Kalau saya hendak mengawal dan menyekat kebebasan bersuara, tentulah saya tidak membuka ruang komen dalam blog ini dan menyiarkan komen yang membelasah saya dan kerajaan.

-https://kadirjasin.blogspot.com

.